Sunday, September 05, 2010

perubahan

  • Maka saya pun berubah lagi. Kali ini pun mungkin bukan yang penghabisan. Wittgenstein selepas menulis Tractatus juga memilih jalan ini, tetapi kemudiannya kecewa. Malahan Ibrahim Yaakob, Tan Malaka, dan Ho Chi Minh juga memilih jalan ini sebelum berevolusi.
  • Akses saya kepada internet sangat terhad di tempat kerja. Dan saya tidak berkeinginan lagi untuk memasang internet di rumah sewa. Maka saya tidak mengemaskini blog. Tetapi saya tetap menulis.
  • CERKAS salinan yang saya peroleh telah habis. Maka ia sold-out.
  • Banyak perkara menarik dan baharu di tempat baru.
  • Dari tingkap rumah saya di tingkat 4, saya boleh lihat beberapa remaja sekitar awal 20-an sedang minum coca-cola di tingkat bawah blok pangsa sebelah. Ada perempuan seorang. Seperti bersantai sambil minum coca-cola di bulan puasa itu belum cukup angkuh, mereka campur sebotol ubat batuk.
  • Masjid di tempat saya cukup hidup dengan aktivitinya

Selamat berpuasa, ulangtahun kemerdekaan, berhari raya dan selamat hari Malaysia.

Monday, July 12, 2010

CERKAS



Buku ini adalah cetakan terhad. Di dalamnya ada satu cerpen pendek gua, sebagai penampilan pertama dalam sebuah buku. Sinaganaga yang tidak tersentuh emosi dan perasaannya ketika menonton Lagenda Budak Setan pun menitik ayer mata bila baca cerpen gua, ha ha (serius, ini bukan strategi pemasaran berkeyakinan tinggi gaya Rozmey semata-mata. Ini betul-betul).

Untungnya juga, sekiranya anda membeli buku ini, pada tahun 2024 nanti, bila gua menang hadiah nobel, ia akan jadi koleksi rare yang boleh dijual berkali-kali ganda daripada harga asal. Pelaburan yang lebih menguntungkan daripada pemasaran pelbagai tingkat yang rumit.

Beli direct dari gua, nanti gua bagi hadiah percuma, amacam? Dan dengan cara ini juga, anda membantu orang miskin yang memerlukan kerana 100% keuntungan daripada jualan akan disalurkan kepada beliau. Sila e-mail kepada mukhsen_xatyahoodotcom.

Terima Kaseh dan salam mesra.

Friday, July 09, 2010

Jenaka Paul Si Kurita

Jenaka besarnya ialah betapa tahi lembunya ramalan-ramalan sama ada oleh professional yang mengulas di kaca TV, media, dan blog, atau yang tidak professional sama ada di kedai kopi, pejabat dan blog. Paul telah menghina kebijaksanaan kita, keupayaan menaakul dan meramal kita diperlekeh oleh seekor sotong kurita. Subteks daripada jenaka ini ialah, bola itu bulat. Walau betapa mahir dan luasnya pengetahuan kita tentang bola, ramalan hanyalah satu jenaka. Jangan ambil serius. Maka makhluk hodoh itu menggeletek kita dengan tentikalnya, mentertawakan diri sendiri, betapa tanpa akal pun seekor sotong boleh meramal dengan tepat.

Ia hanyalah jenaka sebagai hiburan sampingan, mengimbangi seriusnya piala dunia ini, dan sepatutnya diraikan sebagai satu jenaka, gelap dan ironis. Tapi apabila Paul dikatakan mempunyai kuasa psikik, jenaka ini menjadi lebih besar, tragedi kepada kebijaksanaan manusia. Maka kita tidak perlu gusar apabila ada masyarakat kita yang masih mempercayai benda/haiwan/manusia hikmat, ajaib, badi atau bertulah, kerana di negara-negara maju pun, masih ramai manusia-manusia begini.

Monday, July 05, 2010

jesus kristus pun tak mampu menyelamatkan anda.

Bak kata Mansor, cokehead lu jangan percaya. Sama ada Freud atau Maradona. Halunisasi kokain memang nampak meyakinkan dan bergaya.

Tidak overrated. Tidak ada selebriti (Lihat sahaja betapa buruknya Anelka, selain selebriti lain yang tidak tidak menyerlah). Tidak ada peminat wanita yang I-suka-Ronaldo-sebab-dia-cute. Tidak ada mentaliti kelab (Perlu diingat, bola sepak kelab dan negara adalah berbeza. Macam kapitalis dan komunis. Kerana itu Mourinho tidak peduli pada World Cup). Maka inilah Korea Utara.

dan German. ho ho.

Maka perlawanan German dan Sepanyol nanti adalah pertembungan yang paling menarik. Antara pemain-pemain superstar yang bergabung, menentang sebuah teamwork super. Ini adalah final.

Tuesday, June 29, 2010

Mungkin

Kata penyokong England , kalau gol lampard dikira England mungkin boleh menang. Aku rasa kalu gol Lampard dikira, German akan menang jugak, mungkin 6-2.

Monday, June 28, 2010

40 ulama dan perubahan UMNO.

Tanpa kemasukan 40 ulama itupun UMNO telah pun Islam. Maka apabila UMNO merasa seronok dengan kemasukan kumpulan 40 itu, maka kita tertanya-tanya atas dasar apa? Adakah sama seronoknya DAP apabila masuknya orang Melayu ke dalam parti mereka atau seronoknya PAS apabila orang bukan Islam menyertai PAS? Maka adakah sebelum ini UMNO tidak disokong ulama sama seperti DAP tidak disokong Melayu dan PAS tidak disokong oleh bukan Islam? Adakah sebelum ini tidak ada ulama dalam UMNO sehingga perlu heboh-heboh? Malahan kumpulan ulama ini katanya “bukan untuk berpolitik walaupun UMNO adalah sebuah parti politik,” lalu menunjukkan yang mereka tidak akan aktif untuk merebut jawatan sama ada dalam parti atau untuk menjadi calon pilihanraya.

Secara asasnya, UMNO mahukan imej-imej Islamik yang telah dikalahkan oleh PAS. Kemimpinan sedia ada tidak mempunyai imej-imej Islamik ini walaupun merupakan parti Melayu yang secara amnya Islam. UMNO adalah merupakan parti nasionalis semi sekular yang konservatif dan kelihatannya tetap mahu mempertahankan pegangan ini. Perubahan imej PAS daripada parti teokonservatif yang keras kepada parti yang lebih liberal menimbulkan ancaman kepada UMNO. Saya percaya, kemasukan kumpulan ulama ini hanyalah usaha-usaha kosmetik bagi menarik golongan Melayu atas pagar yang menyokong PAS seperti artis yang bertudung ketika ke mahkamah syariah untuk urusan cerai atau ditangkap khalwat.

Apa yang diusahakan ini adalah untuk menarik golongan atas pagar yang tidak menyokong UMNO kerana beranggapan UMNO tidak Islamik, dan kumpulan ini cukup sedikit kerana lebih ramai telah pun berdiri di dalam pagar PAS. Dasar UMNO yang konservatif tidak berubah. Saya tertanya-tanya mengapa UMNO tidak mahu menjadi lebih liberal. Ia boleh menarik sokongan cukup banyak, daripada penyokong PKR, DAP dan golongan muda atas pagar. Sedang PAS bergerak ke arah itu, mengapa tidak UMNO? Saya kira mungkin KJ boleh diharap. Hanya masalahnya pemimpin atasan dan orang-orang tua yang masih terperangkap dengan idea konservatif terlalu banyak kuasa dalam UMNO dan kerajaan.

Friday, June 18, 2010

Draf Bab 1.4 : Hasnah Pulang Dari Mahkamah.

Hujan sudah mulai mereda. Bilah pengelap cermin bergerak seragam dalam satu perpuluhan lima saat. Rintik-rintik halus yang jatuh pada cermin hadapan disapu ketepi dan ke bawah. Dua bilah itu seperti sepasang penari, yang akan menari setiap kali hujan, tetapi tidak pernah bersentuhan, sampai bila-bila. Syahdu dan melankoli hujan menjadi latar tarian dua jiwa yang sama itu, tapi selamanya tak akan menyatu. Pemain cakera melagukan it ain’t me babe, dan itu Baez dan Dylan sedang menari di atas cermin. Hasnah terasa pipinya basah dan hangat bila airmatanya jatuh menjurai. Fikirnya, mengapa kesudahannya tidak seindah yang mereka telah impikan. Dia kira, segala yang mereka harungi berdua seakan-akan tidak punya apa-apa makna, palsu dan tidak ada erti. Cinta sejati hanyalah lafaz, kata perpisahan itupun hanya lafaz. Dia memikir-mikirkan perasaannya, dan bagaimana pula perasaan lelaki itu ketika melafazkannya. Betapa mudah semuanya berubah. Dia tidak melihat isyarat merah sehinggalah ia sudah terlalu hampir. Literal.

Hasnah menekan pedal brek kuat-kuat, tayar proton saganya berhenti berpusing, tetapi kerana basah jalan menjahanamkan daya geseran, ia tetap sahaja melunjur, lalu bertembung sebuah Hilux yang sedang melintas. Hasnah merasai impak stereng tanpa beg udara pada mukanya, seperti tengkoraknya pecah, mulutnya, giginya, hidungnya, dahinya, merasai kesakitan yang maha bangsat.

Awan gelap mulai sirna, dan matahari yang tadi dilindung, muncul perlahan, dan mendung pun diganti dengan sinar keemasan, dan bumi, jalan tar, kenderaan, tiang lampu, pepohon, rumput, pemandu motorsikal dan burung gagak yang basah disimbah hujan tadi, kini dilimpah cahaya kekuningan, cukup indah, seperti mikrobutiran emas telah jatuh dari langit. Hasnah merasai kesakitan pada seluruh anggota badan, organ-organnya. Darah merata-rata. Dalam kabur-kabur Hasnah melihat seseorang menghampiri tingkap keretanya yang meretak. Dalam gambaran yang memecah kerana retakan itu, dan samar-samar dia melihat lelaki itu datang.

“Abang?”

“Akak tak apa-apa?”

“Kenapa abang tinggalkan Hasnah? Hasnah rasa macam nak mati.”

“Mengucap kak, mengucap,” lelaki itu telah membuka pintu.

Hasnah dapat lihat kini wajahnya bukanlah lelaki yang difikirkan. Perasaan malu datang. Hasnah mahu memalingkan wajahnya, tetapi parah pada anggota kepalanya tidak member izin. “Dalam waktu begini pun, engkau tetap tidak datang,” fikir Hasnah dan menghembus keluhan.

Thursday, June 17, 2010

melayu

Terdapat beberapa maksud yang diberikan terhadap perkataan Malay dalam laman web urban dictionary di sini http://www.urbandictionary.com/define.php?term=malay

walaupun ini bukan contoh yang terbaik berdasarkan konsep asas urban dictionary itu adalah kamus, tetapi inilah salah satu maksud Malay yang diberikan.

I’m not malay. But been living with them almost whole my life. I first realised that malay are rediculous when I entered UiTM in West M’sia. My perception toward them changed. I aggree that they’re lazy in so many things & talk big but do less. I always feel frustrated when dealing with them either in government or private sector & most of the time I end up push them or scold them. If government dont have a policy to help them, i think they’re end up jobless. Malays are too emotional than rationale in handling issues.

from my personal experiences!! malays are too dependant on our stupid REALLY REALLY STUPID RACIST government.


Selain itu, maksud-maksud yang lain juga menjurus kepada perkara-perkara yang sama, iaitu melayu malas dan terlalu bergantung pada status bumiputra dan bantuan kerajaan, berfikiran sempit, tidak rasional, bodoh dan lembab pemikirannya.

Secara umumnya, mungkin apa yang telah ditulis di dalam urban dictionary dalam mendefinasikan Malay itu bersifat rasis, atau pandangan yang kurang matang, (contohnya menuduh melayu emosional, padahal diri sendiri menulis secara emosional-from my personal experiences!! malays are too dependant on our stupid REALLY REALLY STUPID RACIST government) tetapi itulah pandangan yang saya percaya dimiliki oleh ramai rakan-rakan bukan Melayu di Malaysia. Mungkin majoriti bukan Melayu mempunyai pandangan sama seperti maksud-maksud yang telahpun di tulis di dalam laman web tersebut.

Dan kita sebagai Melayu mungkin akan merasa marah dan kecil hati terhadap apa yang telah ditulis, mungkin kita akan menjadi benci kepada kaum lain, mungkin kita jadi bertambah curiga, mungkin kita mahu melibas kepala mereka dengan parang panjang, atau menikam perut mereka dengan keris;

tetapi sekiranya kita menerima pandangan ini secara terbuka dan berlapang dada, saya kira ia lebih mudah, dan lebih baik pula, kerana kita akan berusaha menjadi lebih rajin, lebih bijak dan terbuka. Kalau memang kita telah sedia rajin dan bijak, menerima pandangan sebegini, menambahkan lagi kerajinan dan kebijaksanaan kita. Dan hasilnya tentu sahaja lebih baik. Tentu sahaja lebih baik berbanding melolong-lolong seperti anjing.

Maka apabila saya melihat kemunculan kumpulan-kumpulan pejuang melayu seperti PERKASA BANGKIT, GERTAK, Pro-WARIS dan sebagainya yang katanya memperjuangkan hak-hak melayu, saya sangat-sangat menunggu kemunculan kumpulan melayu yang memperjuangkan penghapusan hak-hak melayu. Mungkin Persatuan Melayu Menentang Status Bumiputra, atau singkatannya, PEMALAS.

Oh Ya, kerana membaca maksud di Urban Dictionary, saya cuba untuk menjadi lebih rajin lagi. :)

Thursday, May 20, 2010

saya malas

konon-konon busy, tapi gua malas nak menulis. haha. tengok movie, baca buku, tengok movie baca buku. Gua tampal komik strip gua dulu-dulu la. tersiar dlm kosmo kira-kira dua tahun, pastu gua kena buang. hoho.




Tuesday, May 18, 2010

Berfikir sejenak

"Kebanyakan orang fikir mereka sedang berfikir sedangkan mereka hanyalah menyusun semula prejudis-prejudis mereka."

William James


Adakah William James tidak prejudis ketika mengungkapkan pandangannya ini? Mungkin ya, dan mungkin tidak.

ok,
persoalan asal sebenarnya ialah, adakah pragmatism prejudis terhadap idea-idea non-praktikal dan pada pandangan mereka non-praktikal?

Monday, May 03, 2010

Double Trouble

Ketika konsert ini, beberapa perkara yang saya terfikir, betapa semakin mundurnya industri muzik kita. Tidak ada sesiapa pun lagi dapat menggugat Search dan Wings setelah berpuluh tahun. Saya juga terfikir, lirik lagu zaman rock kapak dahulu berkali ganda lebih baik berbanding kumpulan rock masa kini. Lihat sahaja perbezaan antara gema di indera loka ini, dan tercipta untukmu oleh unggu. Ungu macam budak tadika, lalu kalau konsert mereka tidak mendapat sambutan, memang patut pon.(padan muka, sokong sangat muzik Indonesia, ha ha).

Tercipta untukmu (UNGGU)

Menatap indahnya senyuman diwajahmu
Membuat ku terdiam dan terpaku
Mengerti akan hadirnya cinta terindah
Saat kau peluk mesra tubuhku

Banyak kata
Yang tak mampu kuungkapkan
Kepada dirimu

Aku ingin engkau slalu
Hadir dan temani aku
Disetiap langkah
Yang meyakiniku
Kau tercipta untukku
Sepanjang hidupku

Aku ingin engkau slalu
Hadir dan temani aku
Disetiap langkah
Yang meyakiniku
Kau tercipta untukku
Meski waktu akan mampu
Memanggil seluruh ragaku
Ku ingin kau tau
Kuslalu milikmu
Yang mencintaimu
Sepanjang hidupku

Aku ingin engkau slalu
Hadir dan temani aku
Disetiap langkah
Yang meyakiniku
Kau tercipta untukku
Meski waktu akan mampu
Memanggil seluruh ragaku
Ku ingin kau tau
Kuslalu milikmu
Yang mencintaimu

Gema di Inderaloka (Wings)

Waktu pintumu kubuka setengah
Gemersik menikam melantun suara
Ku tinjau sejenak untuk periksa
Bergema di lembah Inderaloka

Suaramu membisik merdu di kalbu memanggilku

Kubuka sepenuh pintu dayamu
Dan melangkah masuk ke dalam tamanmu
Aku tak pasti apa akan berlaku
Kalau ku ditangkap pengawalmu

Mungkin aku kan terkorban dalam merinduimu

Tapi kenapa kau hadir saja
Dalam setiap mimpi-mimpi ku
Dan meninggalkan kunci dan peta
Kalau aku kau tak ingini

Kasih, siapa aku di sisimu

Kiniku berada dalam tamanmu
Tiada aku takut akan kematian
Kerana hidup dan mati sama untukku
Telah ku lalui berulang kali

[solo]

Keindahan tamanmu tiada bermakna
Jika wajahmu tidak ku temui
Biarku terlantar dimamah waktu
Aku tetap akan menunggumu

Kasih, siapa aku, aku di sisimu

Ku pakukan kakiku ke tanahmu
Biar berdarah menjadi sungai
Agar tak bisa dicabut oleh sesiapa
Yang mahu menghalauku keluar

Siapa aku di sisimu... Kasih...

******

Dan untuk para anarkis semua, enjoylah video dan lagu ini. (Masa ni gua duduk kat area depan, tapi tak la depan sangat sampai kena sembur air. lambat sampai, depan dah pack. Video ni bukan gua amik, gua cilok kat youtube).





Opera Hidup (Wings)


Hidup bagaikan pentas opera
Tirai hidup dibuka
Ceritapun bermula...
Oh..Oh..Oh..Oh..

Hidup bagaikan pentas opera
Musik hidup bergema
Asyik insan bermula
Oh..Oh..Oh..Oh..

Lakonkan dengan semangat kejujuran
Sinarilah hatimu oh kesucian
Oh..rempuh api kepalsuan
Pastikan keadilan
Pastikan jaya

Hidup bagaikan pentas opera
Rentak lakon bermula
Siapakah wiranya
Oh..Oh..Oh..Oh..

Kita kecewa dan menderita
Lumrah alam biasa
Pastikah kau wiranya
Oh..Oh..Oh..Oh..


__________

Dalam pada itu gua bukan peminat tegar Wings dan Search masa muda-muda dulu. he he. Mereka mainstream.

Sunday, May 02, 2010

PAS : daripada teokonservatif menuju demokratik sosialis (Pengenalan)

Terdapat banyak salah konsep apabila mengaitkan Islam dan PAS. Secara asasnya, ya, mungkin boleh diterima walaupun tidak sepenuhnya bahawa PAS = Islam, tetapi adalah sangat salah apabila menyatakan Islam = PAS. Pemahaman logik A=B maka B=A adalah tidak boleh dipakai apabila merujuk Islam dan PAS. Tetapi logaritma inilah yang telah dipakai sejak dahulu, malah sehingga sekarang oleh ahli PAS, maka kerana itu wujud dakwaan-dakwaan seperti; UMNO kafir, sokong PAS masuk syurga, menentang PAS bermakna menentang Islam dan sebagainya. Pernyataan-pernyataan ini juga menjadi pegangan ramai ahli PAS, kerana ia secara mudah, logik! PAS itu Islam, maka orang yang bukan PAS itu, bukan Islam (kafir), PAS itu Islam, Kalau bukan Islam tidak boleh masuk syurga, PAS itu Islam, maka menentang PAS bermakna menentang Islam, berjuang untuk PAS itu adalah berjuang untuk Islam, maka mati dalam perjuangan PAS adalah mati syahid.

Dakwaan-dakwaan tidak tepat inilah yang berlaku apabila logaritma logik A=B maka B=A diguna pakai dalam pemikiran orang-orang PAS. Kesilapan yang paling besar ialah mereka terlupa bahawa UMNO juga adalah parti Islam secara logik. UMNO = Melayu. Melayu = Islam, maka UMNO = Islam. Logik ini juga salah, tetapi seharusnya apabila PAS menerima logik mereka, maka mereka juga harus menerima logik bahawa UMNO juga adalah parti Islam.

Berdasarkan pernyataan di atas ini dan sebab-sebab lain juga, saya tidak mahu melihat PAS sebagai parti Islam, kerana ia akan menjadi satu pemahaman yang salah, hanya memandang ia sebagai sebuah parti dengan perjuangan yang Islamik menurut justifikasi mereka. Dengan ini juga, saya bebas untuk mengkritik PAS, kerana kalau melihat PAS sebagai parti Islam, mengkritik PAS nanti akan dilihat sebagai mengkritik Islam pula. Islam itu adalah agama yang suci, yang telah dilengkapkan kesuciannya, sedang PAS itu tidak. PAS juga kotor.

Friday, April 30, 2010

Inikah ketua polis yang anda harapkan?

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan membidas kritikan pelbagai pihak berhubung kematian remaja berusia 14 tahun - Aminulrasyid Amzah dan berkata beliau sedia mengarahkan anggotanya supaya tidak lagi mengawal jika itu kehendak rakyat.

"Biarlah apa yang nak dikatakan oleh ahli politik, tapi saya ingin tahu sama ada anda mahu kami menguatkuasakan undang-udnang atau tidak.

"Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dengan cara mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya," katanya dalam laporan The Star online

*******

Inilah contoh betapa kita sangat tidak rasional. Sangat mengecewakan apabila ia keluar dari mulut seorang ketua polis. Langsung tidak profesional. Kalau En. Ketua Polis tak faham lagi, rakyat bukan mempersoalkan tugas, rakyat mempersoalkan tindakan. Katakan terdapat seorang guru merotan pelajarnya hingga mati, dan tindakan guru itu dikecam dan dikritik, adakah patut guru-guru lain tidak lagi dedikasi dengan tugasnya? atau pengarah JPM berkata,

"Biarlah apa yang nak dikatakan oleh ahli politik, tapi saya ingin tahu sama ada anda mahu kami mendidik anak-anak anda atau tidak.

"Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi mendidik pelajar dengan ikhlas dan jujur, biarkan sahaja anak murid mahu jadi bodoh, perompak atau penyamun dan gagal dalam SPM."


________________

*orang saya? peh, macam gangster.


Wednesday, April 28, 2010

Kuasa dan kritikan - sebab sebenar pembunuhan adik Aminulrasyid Amzah.

Masalah utama kita ialah apabila melihat kritikan sebagai ancaman kepada kuasa, bukannya sebagai satu sumber penambahbaikan. Pengkritik biasanya dilihat sebagai parti pembangkang (kerana mereka ini suka membangkang, nama pun pembangkang, yang saya kira adalah satu konsep yang sangat salah), pengkhianat (menentang pihak berkuasa bermakna menentang negara), tidak bersyukur (polis menjaga ketenteraman siang dan malam, tanpa mengenal penat dan lelah tau), cubaan mengambil alih kuasa (cubalah jadi polis, baru ko tau macam mana!), penghasut, pembenci, menimbulkan kekacauan, dan sebagainya. Secara umumnya, budaya kritikan kita sangat terkebelakang, sama ada pengkritik ataupun yang kena kritik. Kita melihat kritikan dengan pandangan yang menakutkan, dan dengan sikap yang tidak rasional.

Asal usul sikap ini, saya kira adalah berpunca daripada roh “jiwa hamba” yang masih menghantui dalam masyarakat. Yang berada di bawah yang dikuasai itu adalah hamba. Hamba tidak mempunyai hak membantah walaupun anak isteri mereka dibawa lari, atau keluarga mereka dibunuh (sila baca sejarah), inikan pula untuk mengkritik. Budaya ini masih terbawa-bawa sama ada di kalangan orang yang berkuasa, ataupun orang yang dikuasai, hitherto. Kerana itu wujudnya I.S.A, Akta mesin cetak dan penerbitan, akta hasutan dan AUKU, yang walaupun mempunyai rasional yang baik, tetapi sangat berkecenderung untuk menutup kritikan dan pandangan yang berbeza. Lihatlah bagaimana pemimpin kita yang tidak sedia menerima kritikan, sama ada pimpinan teratas di kalangan menteri, pemimpin parti, pemimpin pejabat/jabatan, pihak berkuasa dan sebagainya. Kesombongan untuk tidak menerima kritikan ini ditutup secara pengecut dengan berselindung di balik penyalahgunaan akta-akta yang disebutkan di atas. Banyak contoh-contoh bagaimana orang yang mengkritik dikenakan tindakan yang tidak sepatutnya, dalam pelbagai bidang termasuk sukan. Dan sekarang, lihat juga bagaimana liputan terhadap kes pembunuhan Aminulrasyid ini, yang tentu sekali kritikan terhadap polis tidak akan anda dengar atau baca dalam media arus perdana.

Pada dasarnya, penambahbaikan polis sepatutnya telah berlaku lama dahulu, sekiranya polis/kerajaan sedia menerima kritikan salah tindakan mereka pada peristiwa memali 25 tahun dahulu. Saya kira sekiranya pihak berkuasa mendengar dengan tenang dan rasional pandangan pengkritik tentang tindakan polis yang didapati kurang bijak menangani peristiwa memali, tentu sekali ada penambahbaikan dalam prosedur polis sebelum menembak seseorang. Melalui penambah baikan ini, mungkin pembunuhan Aminurrasyid dapat dielakkan kerana telah ada satu garispanduan jelas yang perlu dipatuhi oleh polis, sebelum menggunakan senjata mereka.

Sesungguhnya kematian Aminulrasyid tidak seharusnya sia-sia. Ia tidak sepatutnya tamat dengan jatuhnya hukuman terhadap pegawai yang menembaknya, malahan saya berharap membawa satu revolusi dalam memperbaiki salah laku pihak berkuasa sama ada polis atau pemerintah. Malahan mungkin menjadi benchmark kepada pembebasan kita dari konkongan ketakutan terhadap yang berkuasa, seperti ketakutan Allahyarham apabila terserempak polis lalu menjadi panik walaupun kesalahan beliau tidak sebesar mana. Kita harus berani bersuara, mengkritik dan bebas memberi padangan tanpa disekat, dan tidak perlu lagi dikongkong dengan ketakutan.


Al-Fatihah.






Demi tuhan tulisan (kritikan) ini bukan untuk mencabar/menghina/menghasut sesiapa. Ia ikhlas dari saya sebagai warga Malaysia yang mahu melihat ia menjadi negara yang lebih baik.*

_______

Penegasan ini terpaksa dibuat memandangkan ceteknya sikap rasional kita dalam menerima kritikan. Malahan saya sendiri telah membuang beberapa perkara sensitif yang saya kira nanti akan disalahtafsir sebagai melanggar akta. Ya, saya penakut.

Friday, April 23, 2010

Tanah dan air




Dia tidak memakai sepatu, berjalan di tanah gersang setelah pepohon tumbang. Ini tidak tanahair kami katanya, itu tidak balak kami yang dibawa pergi. Kami tidak kanibal, mereka yang.

Kami minimal, hutan ini kecukupan
kami juga minimal di mata mereka
tidak dinampak
tapi kami tidak animal
mereka yang.
Kami tidak meminta tanahair
hanya tanah dan air.
Kami kecukupan, mereka yang
tidak.

Thursday, April 22, 2010

Sapa nak bertaruh?

Saya cuba untuk tidak menulis politik kerana saya kira saya bencikannya, tetapi ternyata ia sangat mendesak. Beberapa hari saya memikirkan sebab-sebab desakan ini, dan akhirnya saya fikir saya silap apabila menyatakan kerana suka melihat politik seperti melihat satu perlawanan sukan. Saya kira, apa yang dinyatakan itu adalah atas tujuan saya untuk merendah-rendahkan politik kita sebagai tidak intelektual, dan ya politik kita tidak, malah lebih rendah daripada itu; tidak rasional.

Sebenarnya kerana apa saya suka melihat politik adalah kerana kecintaan saya pada negara ini, seperti cinta seorang anak terhadap ibunya, tidak perlu penjelasan panjang bagaimana kecintaan itu. Tiang-tiang yang medokong sebuah negara adalah kepimpinannya, rosak ia rosaklah negara. Kepimpinan pula ditentukan melalui politik, rosak politik, rosaklah kepimpinan. Maka saya mahukan kepimpinan yang baik supaya ibu yang saya cintai ini tidak rosak kerananya. Kerana itu, keinginan saya ini seharusnya menjelaskan bahawa tidak ada langsung kecenderungan saya ke arah mana-mana parti, yang baik itu baiklah, yang buruk itu buruklah.
BN sebagai parti pemerintah sungguh buruk, dan pembangkang juga tidaklah sebaik yang diharap, tetapi perubahan adalah sangat perlu, dan kerana itu dominasi BN perlu dikekang. Inilah fahaman saya secara umum pada masa ini.

Keadaan ini berlaku adalah kerana buruknya politik di negara kita, lalu akhirnya yang mendaki tangga kepimpinan itu adalah individu-individu yang bersikap buruk. Orang yang mempunyai sikap baik tentu sekali tidak akan melobi dan merasuah. Orang yang bersikap baik tentu sekali tidak memaki dan memfitnah. Orang yang bersikap baik tentu sekali tidak rasis dan chauvinis. Orang yang bersikap baik tentu sekali tidak akan lupa prinsip apabila disogokkan wang.

Baik, lupakan ini, kita lihat situasi di Hulu Selangor. BN telah memilih calon yang lebih sesuai berbanding PR. Sesuai di sini bukan bermakna lebih baik, dan saya yakin Zaid 3 kali lebih baik berbanding Kamalanathan malahan isu arak dan kuda lumba, telah menaikkan 1 takuk rating Zaid bagi diri saya, bukan kerana saya menyokong dia minum atau berjudi, tetapi bagaimana dia menghadapi serangan peribadi ini*. Malangnya saya kira, kepimpinan PR seperti agak naïf apabila memilih Zaid. Mereka saya kira memilih Zaid berdasarkan dia sebagai individu yang paling berkaliber, bukan kesesuaiannya dengan pengundi di Hulu Selangor dan sifat pilihanraya kecil itu. Zaid lebih sesuai di kawasan bandar.


Er, perbincangan ini akan jadi sangat panjang, banyak lagi yang perlu diterangkan, tapi ada banya kerja lain aku nak buat. Lainlah kalau gua dapat bayaran tuk tulis kat sini, hoho. Gua bagi keputusan terus la.

1. Kamalanathan (BN) (29,623)
2. Zaid (PKR) (21,547)
Majoriti: 8,090
Jumlah undi: 52,091
Peratus mengundi: 80.76%
Undi rosak: 921


Kalau perkiraan aku ini tepat,atau BN menang dengan lebih besar, aku akan membuka satu blogpolitik. Tapi kalau Zaid menang aku akan puasa 1 hari.** (sapa nak bet? Hoho.)

_____________________
*Cuma gua fikir, kalau dah mengaku ni dia boleh kena sebat tak?
**Ye lah, sekurang-kurangnya situasi menang-menang bagi aku.





Wednesday, April 21, 2010

puisi-puisi

MALAHAN
O kewujudan, ia hinggap di belakangku
Seperti hering besar yang hodoh
Apabila matahari terik
Ia menggelapkan seluruh
Jasad
Malah ia berkata
“Engkau bukan sekutu, atau bangkaiku”
Tapi aku terbang dengan ia
Malahan aku menjadi ia


PERASAAN
Perasaan tidak patut dituliskan
ia tidak pun punya erti
tidak ada jawapan, lalu tidak ada kebenaran
tidak kongkrit, tidak juga logik
lalu simpan
jangan bajai, biar ia mati.



KEBENARAN
Kebenarannya
Kita tidak pun mencari kebenaran
Kita ciptai, dari ilusi-ilusi sendiri
Daripada keinginan-keinginan
yang kita sembunyikan
Seperti aku yang mahukan engkau
aku kata cinta kebenarannya.



FIKIRANKU
seperti laut
Ombak yang bising dan meribut
Masih tak membongkar rahsia
Jurang gelap dan terasingnya.



DUKA
Aku berlindung daripada kedukaan
Dengan kedua-dua belah tapak tangan
Aku menutupi muka
Sedang hati merasainya.

Tuesday, April 20, 2010

puisi lama

Masa gua cari sijil-sijil tuk interview kat kampong kelmarin, gua jumpa nota-nota lama masa kerja kontrak kat Pahang beberapa tahun dulu masa umur awal 20-an. Gua fikir, tak macam Ahmad Wahib, kalau gua meninggal dunia eksiden macam dia, memang gua bawak sekali nota-nota gua masuk kubur (Gua penah eksiden major -berdarah dan masuk spital- dua kali, dan adik gua meninggal dunia sebab eksiden masa umur 21 tahun, dan sepupu gua juga meninggal sebab eksiden dalam umur belasan tahun, jadi pendedahan awal dan faktor genetik untuk mati eksiden memang telah ada).Oleh itu, kat sini gua letak beberapa puisi yang tak seberapa, yang metaforanya tidak menjangkau langit, dan secara teknikalnya tiada variasi teknik tertentu, hanya catatan sendiri tanpa tujuan penyiaran di akhbar, atau untuk menarik minat sesiapa. Ada banyak lagi yang telah ditulis waktu muda-muda, tapi gua kira tidak perlu disiarkan di sini. Sepanjang menulis puisi sejak sekolah rendah, gua fikir, semakin lama kita menulis puisi, ia menjadi semakin abstrak kerana kita tidak mahu mengulang ayat/metafora yang sama, lalu kita terpaksa mencipta metafora-metafora yang berbeza supaya tidak klise. Kerana itu saya kira, orang yang banyak pengalaman dengan puisi (membaca atau menulis) menikmati puisi yang berbeza dengan orang yang kurang pengalamannya. Disinilah timbulnya polemik seni untuk masyarakat, dan seni untuk seni, yang pada dasarnya bertitik tolak dari pengalaman pembacaan. Secara mudah, sekiranya masyarakat telah terbiasa, berikan metafora yang seberat manapun (contohnya lirik-lirik Loloq), ia akan dapat jua dihadam. Di bawah ini, ialah contoh puisi-puisi gua yang terlalu bogel. Bertelanjangan macam kanak-kanak tak cukup umur. Melulu tanpa metafora agung. Pada dasarnya disebabkan tidak terdedah dengan banyak puisi, tapi untuk membuatkan ia tidak selekeh, maka gua kata, itu kerana jiwa muda yang wujud pada ketika itu. Yang suka telanjang tanpa sembunyi-sembunyi. Hoho.


Bumiputra?

Ya, gantung saya
atau sula
campakkan ke neraka
saya tak perlukan bumiputra
perhitungan saya mudah
yang miskin itu dibantu
yang kaya tak perlu menadah
biarpun moyangnya datang dari bintang
atau keturunan binatang
semuanya dari celah kelangkang
Hina, kata Tuhan.



Kawan-kawan saya yang pemalu

Kawan-kawan saya datang dari seberang
nun di seberang selat
mereka miskin, tangan mereka berurat-urat
mereka melepa simen, atau mengikat bata
(mereka diam-diam bila tidak dibayar gaji)
mereka kepenatan, mereka terus berjalan
mereka kegelapan, kerna dibakar mentari
mereka tidak ada permit, tak ada hak asasi di ini negeri
(mereka diam-diam bila dirompak pak polisi)
mereka menyedut kretek, mereka menyanyi dangdut
mereka lapar, mereka mengikat perut
mereka berjenaka, mereka ketawa
mereka dahaga, mereka berpura tak apa-apa
(mereka diam-diam bila disepak pak imigrasi)
demi Tuhan, mereka kawan-kawan saya
punya sosok serupa dan bahasa yang sama
kalau mereka terluka, maka saya juga!

(Ini lepas melihat kawan-kawan ditangkap dalam operasi PGA)



Di Negeri Pahang

Dari hulu kampung dan tanah rancangan
bandar dan pekan
aku bernomad
di setiap celah tanahmu
utara, selatan, barat dan timur
diantara hutan dan tanah subur
dataran luas ini kelengangan
aku merasai kesunyian
seperti Sungai Pahang
yang keruh dan lesu itu
mendakap aku
erat.



____________*

Dia tersenyum malu
Bila kami membuat lucu
Tentang dia yang tak pandai membaca
“Tak boleh ambil lesen, tak boleh kawin, ha ha”
Tapi tidak ada kerutan yang memberat dahinya
Seperti dia tidak peduli, -atau sebenarnya tak mengerti
Lalu dia tidak perlu menyoal
Apa itu dasar pendidikan
Atau DEB.

Umurnya 16
Ketika dia mahu mengikut kami berlibur
Kami kata, “hoi, engkau tak cukup umur!”
Padahal kami mengerti
Dia bukan anak sekolah lagi.


_________________

*Puisi ini tak ada tajuk sebab gua tak tau nak letak tajuk apa. Tapi sebab ia menceritakan seorang kawan yang tidak pandai membaca, maka dengan tidak menulis tajuk, ia seperti satu ironi dalam puisi ini, walaupun sebenarnya bukan tujuan asal ketiadaan tajuk adalah untuk mencipta ironi. :)


Monday, April 19, 2010

Ahmad Wahib

Ketika membaca Pergolakan Pemikiran Islam yang mengumpulkan catatan-catatan Ahmad Wahib, terasakan seperti dia yang datang duduk disebelah dan berbual-bual. Ketika membacanya waktu menunggu wisel permulaan perlawanan akhir FA tempoh hari, hiruk pikuk dan sorak-sorak penonton menjadi latar yang cukup indah untuk menghayati pemikiran Ahmad Wahib. Ia seperti berbual-bual dengan seorang rakan yang boleh dikongsi pandangan, perbezaan malahan sikap dan peribadi. Ia seperti berhubung dengan seorang rakan karib. Walaupun terdapat beberapa perkara dasar yang saya kira saya tidak bersetuju, terutamanya soal plularisme dalam beragama, dan perkara-perkara yang bukan hal pengetahuan saya, seperti politik di Indonesia, tetapi secara umum terdapat satu bentuk pemikiran yang kami kongsi bersama iaitu keinginan untuk meneroka ruang-ruang pemikiran yang kelihatannya terlalu rumit dan abstrak. Saya mahu menjawab Wahib tentang pluralisme dalam beragama, tetapi saya kira saya perlu memahami lebih lanjut sejauhmana pluralisme beragama di Indonesia itu dan bagaimanakah konsepnya secara jelas, supaya tidak ada perkara yang mungkin terlepas pandang. Dalam pada itu, 31 mac yang lalu adalah ulang tahun ke 38 kematian Wahib, yang meninggal sewaktu berumur 31 tahun. Saya fikir, kini Wahib mungkin telah menemui jawapan-jawapan yang bergolak dalam pemikirannya, dan meninggalkan kita untuk kita terokai pula, sebelum jawapan yang muktamad itu datang pula kepada kita. Al-fatihah.

Dalam pada itu, rujukan manakah yang dapat saya baca untuk memahami pemikiran pluralism dalam beragama di Indonesia?

Thursday, April 15, 2010

Pseudonym for pseudonym is pseudonym

“Peace!” that cameraman hold up his left hand, showing a sign; a peace sign, with his middle and index fingers vertically pointed to the sky, to form a V shape, or rabbit ears if u are more imaginative, or playboy logo if you are more creative. Or an antenna which send signal to satellite a peace message to all humankind and spread it out to the whole world to stop war, terrorism and oppression, if you are more cynical. “Whatever,” you thought, so you hold up your hand, show that stupid peace sign, simulate to what that cameraman had showed. Oh, how should you smile? You thought, show your shiny teeth, or keep your lips close with wide smile or you should not smile at all (and actually you are not happy at the moment, PMS maybe); which one is prettier in a picture? You had to make a decision before that cameraman push the button. At the same time, you tighten your tiny muscle around your tired eyes; you don’t want it shut while the camera flashes it sharp light. But you don’t want it to be too tight, that your eyes won’t look natural. You are ready now, you feigned the sweetest smile (you choose to show your shiny teeth), your beautiful and natural eyes look directly to the camera and you hold up your hand with proud gesture to symbolizing a peace sign. And, snap! The flash hurt your eyes a little, but you sure that you didn’t shut your eyelid. White light spread around you and in a second, it was gone, lost nowhere you know. But what around you did not moving anymore, include yourself. You are now is in a picture, kept in a card reader. In fact, you are a picture. With fake peace sign, fake smile, fake gazing eye, copied from the real world, to the fake one. But if you thought that the real world is actually fake, than you are now completely fake of the fake. Yes dear, this life has faked us out.

F***!

Monday, April 12, 2010

Hoben jang hoben!

Saya tidak bermain bola sepak. Mungkin atas dasar kemahiran kinestatik saya adalah pada tangan, bukan pada kaki. Kegilaan sukan saya adalah pada ping-pong (dan beberapa tahun kebelakangan ini, badminton kerana kesukaran untuk mendapatkan teman ping-pong sepermainan). Kerana saya tidak bermain bola, saya tidak memahami keperinciannya, contohnya, bagaimana sepakan melengkung itu dibuat, apakah perbezaan antara formasi, kelebihan dan kekurangannya, bagaimana perasaannya menggelecek 3 orang pemain lawan, sehingga saya tidak dapat menghargai sepenuhnya kesenian permainan ini berbanding ping-pong. Kerana bermain ping-pong, saya mengerti setiap stroke, topspin atau backspin, defensive atau offensive, variasi-variasi servis, teknik setiap servis itu perlu dihantar dan dibalas, bagaimana pergelangan itu perlu diputar, berapa pantas ia perlu dibuat, perasaannya ketika memutar, perasaannya ketika smash, perasaannya dan teknik membalas apabila pihak lawan menghantar bola spin yang aneh, loop yang kencang secara tiba-tiba, hook yang melencong, atau pukulan chop yang seperti anti-graviti.


Tetapi saya sangat gemar ke stadium menonton bola sekiranya ada kelapangan dan uang, terutamanya sekiranya ia melibatkan negeri tempat saya dibesarkan. Lalu saya kira saya tetap peminat bola, mungkin dari perspektif yang lain. Bukan peminat kesenian permainannya, tetapi keghairahannya. saya sangat menyukai keghairahannya, sifatnya sebagai sukan rakyat. Saya tidak dapat menghayati keseniannya dan merasa bosan menontonnya di TV kecuali babak-babak gol. Saya tidak akan dapat menikmati keghairahan bolasepak dengan duduk di kedai mamak sambil makan tosei dan minum teh tarik, menonton pemain asing, di negara asing dan bahasa yang asing. Kerana itu, berbanding menonton perlawanan maschester-chelsea contohnya, saya lebih senang menonton siaran ulangan spongebob. Saya kira keghairahan bolasepak adalah di stadium (tetapi kerana mengerti kesenian ping-pong, mungkin sekiranya ada siaran langsung pada pukul 3 pagi, saya sanggup untuk bangun dan kalau ada kumpulan penyokong yang mahu berkumpul di kedai mamak, saya akan pergi).


Keghairahan bolasepak ialah memakai jersi pasukan sokongan, bersorak dan menjerit bersama orang lain yang memakai jersi yang sama, dan nun di sana ada kelompok yang lain yang memakai jersi yang lain, dan kami “bermusuh.” Kerana itu saya kira, ketika menonton bolasepak di kedai mamak, ada yang memakai jersi pasukannya untuk merasai keghairahan ini, tetapi ia tetap jauh berbeza dengan pengalaman di stadium. Di stadium, kami punya interaksi secara langsung dengan pemainan di padang.


Kami bersorak memberi sokongan terhadap pasukan, menyanyi, memukul gendang, mengibar bendera, membuat ombak, menggantung banner, memaki, memprovok penyokong lawan, memprovok pemain lawan, memprovok pemain sendiri sekiranya mereka membuat kesilapan, memprovok pengadil sekiranya dilihat seperti berat sebelah, memprovok polis malahan memprovok mascot TMnet (provokasi-provokasi ini, contohnya “refree bodoh!” yang menggema satu stadium, bukan bermaksud refree itu memang bodoh. Kami mengerti refree itu hanyalah manusia biasa, yang mungkin pandangan matanya boleh tersilap, dan tentu pandangan matanya lebih tepat berbanding kami yang duduk lebih jauh daripada satu-satu eksiden di padang, dan lebih memahami pula peraturan bola sepak (lebih pandai), tetapi ia hanyalah satu cara bagi menghangatkan suasana)* Inilah kehebatan sebenar bola sepak, stadium! Dan saya kira, secara asasnya dalam semangat kesukanan, penyokong dalam apa-pun acara sukan, adalah sifat tempatannya. Walau betapa lemahnya sesuatu pasukan, kerna ia tempatan, maka itulah pasukan yang perlu kita sokong.


Kerana itu saya cukup meluat apabila ada yang menyatakan, “saya peminat bola, tetapi tidak menonton permainan tempatan kerana permainan kita tidak sehebat pemain antarabangsa” (secara umumnya inilah maksudnya, walaupun ayatnya berbeza). Ya, benar ranking kita tercorot. Ya benar, ada banyak kelemahan dan kekalutan dalam pengurusan dunia bola sepak kita**. Tetapi beginilah, katakan anda punya seorang anak yang tidak comel dan lembab. Dan jiran anda pula mempunyai anak yang comel dan pintar. Adakah anda memuji, mengagungkan, menyokong, membelikan buku pelajaran anak jiran anda itu dan dalam masa yang sama menghina, dan mengabaikan anak sendiri? Adakah anda sedar bahawa anak anda itu adalah darah daging anda, maka ketidakcomelan dan kelembapannya adalah refleksi dari anda sendiri? Samalah seperti bola sepak kita, ia adalah refleksi keupayaan kita yang sebenarnya. Maka sekiranya anda punya anak yang tidak comel dan lembab, adalah penting untuk anda sebagai ibu bapa menyokong, mendorong, dan membantunya supaya ia dapat mengatasi kekurangan-kekurangan tersebut. Bukannya memakai jersi MU ketika menonton MU menentang Malaysia, contohnya.***



___________________


*Saya kira provokasi-provokasi penonton ini sedikit sebanyak menggambarkan keinginan-keinginan kami di luar yang tidak dapat diterjemah. Fikirkan pemain itu sebagai pemimpin, pengadil itu sebagai hakim, dan polis itu sebagai penguatkuasa (err.. polislah), dan hanya di dalam stadium kami bebas mengkritik dan memaki golongan ini. - Tetapi tidaklah sehingga membakar kerusi seperti penyokong Kelantan. Sikap penyokong Kelantan ini telah menguatkan pandangan saya bahawa sokongan masyarakat Kelantan terhadap pembangkang bukanlah atas dasar kematangan politik, tetapi emosi kenegerian dan anti-federal semata-mata. Nantilah saya akan bincangkan dalam artikel “masyarakat Kelantan daripada pandangan orang luar”.


** Contohnya pengurusan atasan yang dikuasi istana dan ahli politik. Saya kira ini menutup ruang teguran dan kritikan, yang sangat penting dalam membangunkan bola sepak.


***Saya mengesyaki, sokongan masyarakat terhadap bolasepak asing bukanlah pada kesenian semata-mata, kerana ada juga golongan yang tidak mengerti kesenian bola sepak memakai jersi MU dan menonton perlawanannya pada pukul 3 pagi di kedai mamak. Saya kira kegilaan golongan ini pada bolasepak asing ialah kerana dipengaruhi oleh pandangan ia sebagai budaya popular, hip, dan trendy. Nilai komersil yang digerakkan dalam medialah, sama ada secara langsung (iklan) dan tidak langsung (ruang bola sepak eropah yang tiga kali ganda lebih besar ruangnya di dalam bahagian sukan suratkhabar berbanding bolasepak tempatan) yang menyebabkan bola sepak asing lebih diagungkan.





Dan sungguh (ho ho), saya menulis artikel ini bukan atas sebab N.S memenangi piala FA (hoben Jang hoben!). Dan saya cukup kagum dan tersentuh dengan penyokong kedah, yang sempat bersalam dan mengucapkan tahniah selepas perlawanan tamat. N.S memang hebat, dan kedah juga. :) -gua pakai jersi merah sebab tak suka kaler kuning, hoho.

Friday, April 09, 2010

Saya ialah

Saya fikir apa yang telah saya nyatakan itu telah disalah anggap. Ia cukup merungsingkan. Saya selalu sahaja memikirkan perkara ini, lalu ia cukup mengganggu. Malahan permohonan maaf saya juga saya fikir telah ditolak mentah-mentah. Ya, tentu sekali saya ini tidak konsisten. Saya ini berubah-ubah, tetapi perasaan saya, tidak! Fikiran saya, ya terlalu terbuka, tetapi perasaan saya tidak! (Malahan keterbukaan itu kadang-kala menjadi hipokrit. Kadangkala saya memakai bulu musang, dan kadangkala ayam. Ya, kadangkala saya begini, dan kadangkala begitu. Keterbukaan saya, saya kira telah meletakkan saya dalam situasi serba payah. Melihan dari sudut itu, dan dari perinci ini dan berdiri di tengah-tengah. Malahan kadang-kala percakapan-percakapan saya juga. Malahan kadangkala saya menipu. Malahan kadangkala saya kurang ajar. Dan selalu saya tersalah bicara). Banyak perkara-perkara yang saya fikir, kalau boleh saya mahu ulang semula dan buatkan yang lain.


Atau adakah sebenarnya ia hanya fikiran saya? Sebenarnya, hakikatnya ia bukan apa-apa. Ia tidak memberi kesan apa-apa pun padanya. Saya ini langsung tidak punya makna, lantas saya tidak perlu khuatir? Malahan saya tidak perlu meminta maaf, kerana yang saya nyatakan itu langsung tidak bererti! Seperti angin yang menderu di sekeliling kereta yang bergerak laju dan tertutup tingkapnya. Dan dia berada di dalam, tidak melihat dan merasaipun untuk ambil peduli.

Thursday, April 08, 2010

Undang-undang Tuhan VS Undang-undang Manusia

Berdasarkan kepercayaan agama samawi, Tuhan/Allah meletakkan manusia di muka bumi ini berserta dengan peraturan-peraturannya yang digariskan di dalam kitab-kitab yang diturunkan. Peraturan-peraturan ini, dikuatkuasakan sebagai undang-undang. Manusia yang tidak mempercayai Tuhan juga (iaitu tidak mengamalkan peraturan yang telah ditetapkan Tuhan) menetapkan peraturan dan mengamalkan undang-undang ciptaan sendiri. Secara asasnya, dalam hidup bermasyarakat, walau betapa mundur/kuno atau modennya, manusia memerlukan undang-undang. Kerana apa? Kerana tanpa undang-undang masyarakat akan hidup dalam kucar-kacir (tidak AMAN). Kerana apa? Kerana sifat memenuhi kehendak sendiri (NAFSU) dalam diri manusia memungkinkan seseorang itu berlaku zalim/tidak adil terhadap manusia yang lain. Kerana apa? Kerana kita sentiasa cenderung untuk memenuhi tuntutan NAFSU inilah.


Matlamat undang-undang manusia ialah bagi mewujudkan masyarakat yang AMAN damai. Manakala matlamat undang-undang Tuhan pula ialah bagi mengawal NAFSU. Dua matlamat ini kelihatannya selari, tetapi sebenarnya banyak perbezaannya kerana matlamat undang-undang Tuhan itu mencakupi matlamat undang-undang manusia, manakala matlamat undang-undang manusia itu kadang-kala tidak mencakupi matlamat undang-undang Tuhan.


Kedua-dua matlamat itu juga ada kalanya berkonflik. Kerana apa? Pertamanya kerana masyarakat yang amai damai itu boleh dilihat dengan mata kasar, dinilai dengan statistik, manakala mengekang nafsu itu sangat absurd. Sekiranya akal itu terletak di dalam otak, fizikal nafsu itu tidak bertempat di dalam jasad manusia. Keduanya (yang paling utama), tanpa kawalan ketat terhadap nafsu pun, masyarakat dapat juga hidup dalam suasana yang adil. Maka tanpa mengamalkan peraturan yang ditetapkan Tuhan juga, manusia dapat hidup aman damai/ harmoni dan tanpa ketakutan. Contohnya, masyarakat yang mengamalkan seks bebas juga boleh hidup dalam suasana yang aman damai dan adil.(1)


Pertembungan-pertembungan inilah yang mendasari permasalah-permasalah kita masyarakat Islam apabila peraturan Tuhan itu mahu diamalkan, ambil contoh isu Kartika bilamana ketetapan hukuman terhadapnya kelihatan cukup payah untuk dilaksana (Saya kira, selain pertembungan hukum Tuhan dan manusia ini, dalam isu Kartika, masyarakat juga melihat peraturan Tuhan(Islam) itu kejam, persoalan kejam ini saya akan jawab nanti, kerana ia memerlukan perbincangan yang lebih dalam dan panjang, terutamanya berkaitan dengan ketuhanan).


Maka, dalam pertembungan antara undang-undang Tuhan dengan undang-undang manusia ini, secara logik pihak manakah yang lebih benar? Secara logik, matlamat manakah yang lebih mencakupi dan mendasar? Perbandingan mudah, anda bertolak dari rumah ke tempat kerja setiap hari antara pukul 7.00-7.15 pagi. Kerana apa? Kerana anda tidak mahu lewat ke tempat kerja. Kerana apa? Kerana anda tidak mahu dimarahi bos. Kerana apa? Kerana anda tidak mahu dibuang kerja. Mana perkara yang lebih utama, lewat ke tempat kerja ataupun dibuang kerja? Manakah sebab yang lebih mendasar (pokok) yang menyebabkan anda bertolak jam 7.00-7.15 pagi? Jawapannya ialah, kerana anda tidak mahu dibuang kerja. Andainya bos anda tidak akan membuang anda sekiranya selalu lewat, tentu sekali anda tidak kisah pukul berapa anda mahu datang ke tempat kerja. Maka sama jugalah seperti sekiranya manusia itu tidak bernafsu (seperti malaikat), tentu sahaja mereka tidak perlu khuatir akan berlakunya ketidakadilan dalam masyarakat.


Kesimpulannya, undang-undang Tuhan itu lebih tepat dan benar secara logik, kerana ia menangani perkara dasar. Hanya kerana kita ini selalu memikir secara singkat, maka kita lebih senang mengungkapkan, “saya bertolak dari rumah ke tempat kerja pukul 7 supaya tidak lewat ke tempat kerja,” berbanding “saya bertolak dari rumah ke tempat kerja pukul 7 supaya tidak dibuang kerja.” Hanya kerana kita ini berfikir secara singkat, maka kerana itu kita menganggap undang-undang Tuhan itu tidak tepat. Kita tidak melihat perkara asas, kerana biasanya yang asas itu tidak tertonjol, seperti akar pokok, atau batang cerucuk, yang tenggelam di dalam tanah.


_______________________________


(1) Selebihnya adalah persoalan jiwa; iaitu adakah masyarakat itu bahagia? “duh, memanglah bahagia, tak payah risau kena tangkap dengan pencegah maksiat, boleh membuat seks dengan pasangan yang pelbagai, bertukar-tukar pasangan, membuka bisnes pelacuran..” sekali lagi, adakah masyarakat itu bahagia? “Emm.. gunalah kondom, atau bina sahaja rumah perlindungan anak luar nikah.” Fikir dengan lebih dalam, adakah masyarakat itu bahagia? Fikir secara mendalam juga bermakna berfikir secara rasional. Berfikir secara rasional juga bermakna berfikir secara terbuka. Berfikir secara terbuka juga adalah berfikir tanpa dipengaruhi nafsu (individualistik, keinginan untuk memenuhi keinginan sendiri tanpa memikirkan orang lain), berfikir tanpa nafsu akhirnya anda akan menemui jawapan kepada peraturan Tuhan. Secara mudah, kerana apa kita mahu berkeluarga? Selain seks, banyak sebab-sebab yang rasional dan logik kerana apa manusia itu berkeluarga yang saya kira kita semua telah maklom. Seks bebas adalah antitesis kepada konsep berkeluarga. Sila tanya tiger wood kenapa.


PS- Bagi orang Islam, nafsu itu perlu diperang, malahan dianggap lebih besar berbanding perang mengangkat senjata. Tentu sekali ia akan menghadkan keseronokan-keseronokan dunia. Ya, tentu sekali saya selalu kalah. Atas dasar ini, tulisan di atas tidak menggambarkan bahawa saya ini adalah seorang yang warak, ia hanyalah perkongsian-perkongsian pemikiran yang mungkin tidak tepat dan longgar.

Monday, April 05, 2010

Maskara 20

(Sepatutnya gua baca tuk open mike, tapi terok betul, Naga bagi gua first pulak) Performance anxiety adalah masalah besar hidup saya, daripada dulu sampai sekarang, (ya la, gua memang orang yang pemalu ya amat, ha ha) maka saya kira menghadapi gejala parkinson adalah lebih baik daripada mengelak walaupun terpaksa jadi peserta pertama (Last gua berdiri atas stage adalah ketika maskara 3, 3 tahun dulu rasanyalah). Yang baiknya, selepas itu saya dapat duduk menikmati sepenuhnya persembahan para jemputan, tanpa perlu anxiety lagi. Tentu sekali persembahan yang cukup hebat, dan memuaskan walaupun audien tak seramai Maskara 19, dengan banyak pertembungan mungkin, seperti perlawanan NS-Selangor yang gua ada ura-ura nak pegi, MU-Chelsea, Frinjan, dan sebagainya. Nasib baik performer semuanya adalah lelaki (kecuali penyanyi Dr. Zubin), kalau semuanya perempuan dan audien tak seramai Maskara 19, mungkin boleh menimbulkan feminism polemic seperti diskriminasi gender, ha ha.


Salute kepada Dr. Ahmad Razali, kerana perkongsian puisi-puisinya walaupun beliau seorang sahaja yang rambutnya berbeza pada malam itu, (yang saya perasan la, kalau yang pakai cap dan bercukur gua tak tau beruban ke tak, hoho). Saya syak, beliau membaca puisi cinta adalah atas hasutan Naga, dan ianya memang cukup bermakna. Rahimidin, saya sukakan puisi-puisi kerohanian beliau, dan ketika mula-mula membaca perjalanan salik, saya terus terpikat dan akhirnya dapat juga mendapatkan buku tersebut, :).


Brother-brother seperti Meor, Syed Amran dan Nik Jabit, saya kira adalah kelompok seniman sejati dalam kelasnya yang lebih baik daripada penyanyi-penyanyi plastik yang banyak melata. Lagu-lagu yang penuh makna dan puitis yang kita boleh layan sambil berfikir, merenung dan merasa. Akustika dua kugiran muda juga tidak menghampakan. The Primary dan Ninjaseni & the gang, memberikan nafas-nafas baru dalam scene muzik golongan muda, terutama lirik yang berbeza. (The primary, selain smell like teen spirit tu, ada juga disarm eh?:)


Dua orang penulis tersohor, Nazri M. Anuar dan Dugong Senyum membacakan sebahagian daripada buku mereka yang baharu terbit. Kedua-duanya bagus, dan kedua-duanya menyuntik humor dalam karya mereka. Nazri dengan Novel karipap-karipap cintanya, dan Dugong dengan Salah Lorong. Nazri mengedarkan karipapnya secara percuma dan secara tidak adil. Hahaha. (gua baru baca sebahagian buku tu, sungguh bagus tuk sebuah buku ringan. (ringan yang bukan bermaksud picisan, kerana ada juga buku berat yang picisan). Secara umum, ia tidak dangkal seperti novel cinta popular lain. Pembacaan yang pantas kerana kita tidak mahu lepaskannya, sebagaimana membaca siapa kekah bidan sepiah. Macam makan karipap. Dan keyakinan lu untuk ia menjadi best-seller adalah berasas, bro. tahniah. -Kalau lu bagi gua buku free tu, mesti malam ni jugak gua buat ulasan, wakaka).


Kelainan pada malam itu saya kira adalah persembahan Dr. Zubin, dengan tariannya berserta persembahan muzik dengan iringan nyanyian. Rugi kepada sesiapa yang tidak hadir, untuk menikmati kelainan ini dalam maskara, di tepi rumah pena. Secara keseluruhannya, maskara memang tidak pernah menghampakan audien, dan kepada sendiket sojah, kudos!


ini gua cilok dari blog zuldeanz hoho.

Thursday, April 01, 2010

Demokrasi membuat kita gila



Demokrasi kita bukan setiakawan dan muafakat

demokrasi kita kebencian dan tipu muslihat

demokrasi kita bukan perbincangan dan penyelesaian

demokrasi kita berkelahi dan menjadi tak peduli

demokrasi kita bukan mencari yang terbaik

demokrasi kita mencari siapa yang paling licik

demokrasi kita bukan mencari pemimpin tempat mengadu

demokrasi kita mencari pedagang projek dan pembina banglo

demokrasi kita bukan menyatukan segala rakyat

demokrasi kita memecah perpaduan dan mengerat-ngerat

demokrasi kita bencana

demokrasi kita curiga

demokrasi kita nista

demokrasi kita fitnah

demokrasi kita sumpah seranah

demokrasi kita pura-pura

demokrasi kita celaka

demokrasi kita kegilaan

kegilaan mereka pada kuasa

kerna mahu jadi seperti tuhan yang mengatur-atur

yang dipuja dan disembah

yang tinggi duduknya, yang hambanya perlu tunduk menekur dan menyerah

bisu dan terkekang, tak berdaya dan lemah

dan ikut menurut dengan mulut tertutup.

Dan bodoh, dan ketakutan.


Sebenarnya kami ini rakyat yang punya mata dan melihat

ada hati dan akal fikiran

lalu kami tunggu moga-moga ada malaikat yang datang menyelamat

-ah, tapi akhirnya kami juga turut gila

kerna kadang tertawa, dan kadang menangis

kadang terpesona, kadang benci menyala

kadang terharu, kadang rasa tertipu

kadang terpikat, kadang meluat

kadang megah, kadang menjadi marah

kadang hormat, kadang menyumpah

kadang penuh impian, kadang putus harapan

penasaran

lalu kata mereka kami ini, mudah lupa..

oh, bukan begitu tuan-tuan

sebenarnya kami ini terluka

kerna selalu sahaja diperdaya.

Wednesday, March 31, 2010

Lalu hanya maaf

Duhai,

Bila sayapku patah,

Aku cuma mampu berserah,

Jatuh bebas,

Tidak memikir-mikir adakah nanti

aku akan terhempas dan mati.



Monday, March 29, 2010

PEMILIHAN CALON HULU SELANGOR

Kelihatannya, seperti ada desakan untuk meletakkan calon Umno di Hulu Selangor. Alasannya mudah, sebagaimana yang dinyatakan oleh 2 orang ahli akademik dalam berita minggu semalam (saya tidak pasti sama ada mereka telah dikangkungkan oleh Hishamuddin Rais atau tidak, nanti saya check, :) ), dan pandangan ahli UMNO dalam berita harian hari ini; iaitu ianya adalah kawasan majoriti Melayu, dan dengan andaian calon PKR dahulu menang kerana beliau adalah seorang melayu. Inilah contoh Ironinya 1Malaysia, selain isu-isu perkauman lain dalam tempoh selepas ianya dilancarkan yang seakan-akan menjadi penikam belakang idea murni PM. Inilah juga contoh klasik isu-isu dalam BN, yang merupakan antara duri-duri dalam daging BN yang tulang utamanya adalah perkauman. Perkauman adalah asas dalam BN kurna penubuhan awal parti-parti utamanya adalah untuk memperjuangkan kepentingan kaum. Kurna itu dapat ditemui politikus yang dilabel ultra Melayu dalam UMNO, ultra Cina dalam MCA dan Ultraman dalam MIC.

Secara mudah dan umum, saya ulang secara mudah dan umum untuk tidak memanjangkan artikel, kemerosotan BN pada 2008 adalah kerana masyarakat India melihat kelemahan MIC dalam memperjuangkan kepentingan mereka, Cina melihat kelemahan MCA dan kedua-dua kelompok ini pula melihat UMNO sebagai keterlaluan, malahan menjulang keris pun menjadi cukup sensasi dan dianggap ancaman (walaupun sekadar satu simbolisme komitmen pemuda UMNO untuk memperjuangkan bangsanya, kelihatannya seperti ada pihak yang terasa perutnya ditikam, anehnya bukan hanya dikalangan DAP, tetapi MCA sendiri- nah, lihat betapa sentimen perkauman itu sangat kuat).

Memendekkan cerita, timbulnya isu pemilihan calon ini adalah didasari oleh perkauman sebagaimana yang dinyatakan di atas. Pada pandangan saya, untuk kebaikan jangka masa panjang (seawalnya kalau tidak dalam piliharaya kecil ini, tetapi dalam pilihanraya umum akan datang), BN perlu mengekalkan calon MIC, dengan syarat calon baru dan tidak terlalu tua, yang fasih berbahasa melayu dan bukannya Palanivel yang merupakan kroni kuat Ultraman itu (yang tidak disukai oleh orang Melayu, dan Cina terutamanya, termasuk juga India). Pertamanya, ia penting supaya nanti tidak dijadikan bahan ketawa PR betapa kosongnya slogan 1Malaysia sekiranya calon dari UMNO dipilih. Satu point yang cukup baik dalam kempen di Hulu Selangor, malahan pilihanraya akan datang untuk PR memperlekehkan 1Malaysia bagi meraih sokongan bukan Melayu.


Keduanya, membuat unjuran sokongan secara mudah; kerana majoriti Melayu, maka calon Melayu ada peluang yang lebih baik untuk menang adalah salah (Kesalahan ini, nantilah, saya huraikan dalam post akan datang). Saya kira, calon India juga mampu meraih sokongan orang Melayu yang cukup untuk memenangi kerusi sekiranya dilihat dari unjuran yang lebih komprehensif dan terperinci yang akan saya tunjukkan nanti.

Kepada PR, terutamanya Anwar, inilah waktu yang cukup baik untuk beliau membuat penjelasan, menangkis serangan-serangan bertalu yang sedang dihadapinya kini, dalam waktu kempen nanti. Dan PR perlu meletakkan calon Melayu kerana calon dari bangsa lain adalah terlalu berisiko, terutamanya sentimen-sentimen perkauman jangka panjang seperti isu kuda tunggangan yang akan dimainkan.