Friday, June 18, 2010

Draf Bab 1.4 : Hasnah Pulang Dari Mahkamah.

Hujan sudah mulai mereda. Bilah pengelap cermin bergerak seragam dalam satu perpuluhan lima saat. Rintik-rintik halus yang jatuh pada cermin hadapan disapu ketepi dan ke bawah. Dua bilah itu seperti sepasang penari, yang akan menari setiap kali hujan, tetapi tidak pernah bersentuhan, sampai bila-bila. Syahdu dan melankoli hujan menjadi latar tarian dua jiwa yang sama itu, tapi selamanya tak akan menyatu. Pemain cakera melagukan it ain’t me babe, dan itu Baez dan Dylan sedang menari di atas cermin. Hasnah terasa pipinya basah dan hangat bila airmatanya jatuh menjurai. Fikirnya, mengapa kesudahannya tidak seindah yang mereka telah impikan. Dia kira, segala yang mereka harungi berdua seakan-akan tidak punya apa-apa makna, palsu dan tidak ada erti. Cinta sejati hanyalah lafaz, kata perpisahan itupun hanya lafaz. Dia memikir-mikirkan perasaannya, dan bagaimana pula perasaan lelaki itu ketika melafazkannya. Betapa mudah semuanya berubah. Dia tidak melihat isyarat merah sehinggalah ia sudah terlalu hampir. Literal.

Hasnah menekan pedal brek kuat-kuat, tayar proton saganya berhenti berpusing, tetapi kerana basah jalan menjahanamkan daya geseran, ia tetap sahaja melunjur, lalu bertembung sebuah Hilux yang sedang melintas. Hasnah merasai impak stereng tanpa beg udara pada mukanya, seperti tengkoraknya pecah, mulutnya, giginya, hidungnya, dahinya, merasai kesakitan yang maha bangsat.

Awan gelap mulai sirna, dan matahari yang tadi dilindung, muncul perlahan, dan mendung pun diganti dengan sinar keemasan, dan bumi, jalan tar, kenderaan, tiang lampu, pepohon, rumput, pemandu motorsikal dan burung gagak yang basah disimbah hujan tadi, kini dilimpah cahaya kekuningan, cukup indah, seperti mikrobutiran emas telah jatuh dari langit. Hasnah merasai kesakitan pada seluruh anggota badan, organ-organnya. Darah merata-rata. Dalam kabur-kabur Hasnah melihat seseorang menghampiri tingkap keretanya yang meretak. Dalam gambaran yang memecah kerana retakan itu, dan samar-samar dia melihat lelaki itu datang.

“Abang?”

“Akak tak apa-apa?”

“Kenapa abang tinggalkan Hasnah? Hasnah rasa macam nak mati.”

“Mengucap kak, mengucap,” lelaki itu telah membuka pintu.

Hasnah dapat lihat kini wajahnya bukanlah lelaki yang difikirkan. Perasaan malu datang. Hasnah mahu memalingkan wajahnya, tetapi parah pada anggota kepalanya tidak member izin. “Dalam waktu begini pun, engkau tetap tidak datang,” fikir Hasnah dan menghembus keluhan.

2 comments:

Ellie said...

Kehilangyang ditulis dengan cantik.

Showing not telling, bak kata Puan Nisah Haron

mukhsen_x said...

ho, ty. tengah berfikir (draf dalam kepala) untuk buat cerita pasal kehilangan, dendam & pembunuhan dengan cantik, kononnya. :)