Wednesday, April 28, 2010

Kuasa dan kritikan - sebab sebenar pembunuhan adik Aminulrasyid Amzah.

Masalah utama kita ialah apabila melihat kritikan sebagai ancaman kepada kuasa, bukannya sebagai satu sumber penambahbaikan. Pengkritik biasanya dilihat sebagai parti pembangkang (kerana mereka ini suka membangkang, nama pun pembangkang, yang saya kira adalah satu konsep yang sangat salah), pengkhianat (menentang pihak berkuasa bermakna menentang negara), tidak bersyukur (polis menjaga ketenteraman siang dan malam, tanpa mengenal penat dan lelah tau), cubaan mengambil alih kuasa (cubalah jadi polis, baru ko tau macam mana!), penghasut, pembenci, menimbulkan kekacauan, dan sebagainya. Secara umumnya, budaya kritikan kita sangat terkebelakang, sama ada pengkritik ataupun yang kena kritik. Kita melihat kritikan dengan pandangan yang menakutkan, dan dengan sikap yang tidak rasional.

Asal usul sikap ini, saya kira adalah berpunca daripada roh “jiwa hamba” yang masih menghantui dalam masyarakat. Yang berada di bawah yang dikuasai itu adalah hamba. Hamba tidak mempunyai hak membantah walaupun anak isteri mereka dibawa lari, atau keluarga mereka dibunuh (sila baca sejarah), inikan pula untuk mengkritik. Budaya ini masih terbawa-bawa sama ada di kalangan orang yang berkuasa, ataupun orang yang dikuasai, hitherto. Kerana itu wujudnya I.S.A, Akta mesin cetak dan penerbitan, akta hasutan dan AUKU, yang walaupun mempunyai rasional yang baik, tetapi sangat berkecenderung untuk menutup kritikan dan pandangan yang berbeza. Lihatlah bagaimana pemimpin kita yang tidak sedia menerima kritikan, sama ada pimpinan teratas di kalangan menteri, pemimpin parti, pemimpin pejabat/jabatan, pihak berkuasa dan sebagainya. Kesombongan untuk tidak menerima kritikan ini ditutup secara pengecut dengan berselindung di balik penyalahgunaan akta-akta yang disebutkan di atas. Banyak contoh-contoh bagaimana orang yang mengkritik dikenakan tindakan yang tidak sepatutnya, dalam pelbagai bidang termasuk sukan. Dan sekarang, lihat juga bagaimana liputan terhadap kes pembunuhan Aminulrasyid ini, yang tentu sekali kritikan terhadap polis tidak akan anda dengar atau baca dalam media arus perdana.

Pada dasarnya, penambahbaikan polis sepatutnya telah berlaku lama dahulu, sekiranya polis/kerajaan sedia menerima kritikan salah tindakan mereka pada peristiwa memali 25 tahun dahulu. Saya kira sekiranya pihak berkuasa mendengar dengan tenang dan rasional pandangan pengkritik tentang tindakan polis yang didapati kurang bijak menangani peristiwa memali, tentu sekali ada penambahbaikan dalam prosedur polis sebelum menembak seseorang. Melalui penambah baikan ini, mungkin pembunuhan Aminurrasyid dapat dielakkan kerana telah ada satu garispanduan jelas yang perlu dipatuhi oleh polis, sebelum menggunakan senjata mereka.

Sesungguhnya kematian Aminulrasyid tidak seharusnya sia-sia. Ia tidak sepatutnya tamat dengan jatuhnya hukuman terhadap pegawai yang menembaknya, malahan saya berharap membawa satu revolusi dalam memperbaiki salah laku pihak berkuasa sama ada polis atau pemerintah. Malahan mungkin menjadi benchmark kepada pembebasan kita dari konkongan ketakutan terhadap yang berkuasa, seperti ketakutan Allahyarham apabila terserempak polis lalu menjadi panik walaupun kesalahan beliau tidak sebesar mana. Kita harus berani bersuara, mengkritik dan bebas memberi padangan tanpa disekat, dan tidak perlu lagi dikongkong dengan ketakutan.


Al-Fatihah.






Demi tuhan tulisan (kritikan) ini bukan untuk mencabar/menghina/menghasut sesiapa. Ia ikhlas dari saya sebagai warga Malaysia yang mahu melihat ia menjadi negara yang lebih baik.*

_______

Penegasan ini terpaksa dibuat memandangkan ceteknya sikap rasional kita dalam menerima kritikan. Malahan saya sendiri telah membuang beberapa perkara sensitif yang saya kira nanti akan disalahtafsir sebagai melanggar akta. Ya, saya penakut.

2 comments:

Anonymous said...

jgn takut..biasa jer..haha. paling2 kena berenti keje, dera kena jgk. Alhamdulillah rezki ada.

ainadilah

mukhsen_x said...

he he. anyway husband kak ain bertuah sebab ada wife yang sangat supportive dan tabah. :)