Friday, July 09, 2010

Jenaka Paul Si Kurita

Jenaka besarnya ialah betapa tahi lembunya ramalan-ramalan sama ada oleh professional yang mengulas di kaca TV, media, dan blog, atau yang tidak professional sama ada di kedai kopi, pejabat dan blog. Paul telah menghina kebijaksanaan kita, keupayaan menaakul dan meramal kita diperlekeh oleh seekor sotong kurita. Subteks daripada jenaka ini ialah, bola itu bulat. Walau betapa mahir dan luasnya pengetahuan kita tentang bola, ramalan hanyalah satu jenaka. Jangan ambil serius. Maka makhluk hodoh itu menggeletek kita dengan tentikalnya, mentertawakan diri sendiri, betapa tanpa akal pun seekor sotong boleh meramal dengan tepat.

Ia hanyalah jenaka sebagai hiburan sampingan, mengimbangi seriusnya piala dunia ini, dan sepatutnya diraikan sebagai satu jenaka, gelap dan ironis. Tapi apabila Paul dikatakan mempunyai kuasa psikik, jenaka ini menjadi lebih besar, tragedi kepada kebijaksanaan manusia. Maka kita tidak perlu gusar apabila ada masyarakat kita yang masih mempercayai benda/haiwan/manusia hikmat, ajaib, badi atau bertulah, kerana di negara-negara maju pun, masih ramai manusia-manusia begini.

No comments: