Ketika membaca Pergolakan Pemikiran Islam yang mengumpulkan catatan-catatan Ahmad Wahib, terasakan seperti dia yang datang duduk disebelah dan berbual-bual. Ketika membacanya waktu menunggu wisel permulaan perlawanan akhir FA tempoh hari, hiruk pikuk dan sorak-sorak penonton menjadi latar yang cukup indah untuk menghayati pemikiran Ahmad Wahib. Ia seperti berbual-bual dengan seorang rakan yang boleh dikongsi pandangan, perbezaan malahan sikap dan peribadi. Ia seperti berhubung dengan seorang rakan karib. Walaupun terdapat beberapa perkara dasar yang saya kira saya tidak bersetuju, terutamanya soal plularisme dalam beragama, dan perkara-perkara yang bukan hal pengetahuan saya, seperti politik di Indonesia, tetapi secara umum terdapat satu bentuk pemikiran yang kami kongsi bersama iaitu keinginan untuk meneroka ruang-ruang pemikiran yang kelihatannya terlalu rumit dan abstrak. Saya mahu menjawab Wahib tentang pluralisme dalam beragama, tetapi saya kira saya perlu memahami lebih lanjut sejauhmana pluralisme beragama di Indonesia itu dan bagaimanakah konsepnya secara jelas, supaya tidak ada perkara yang mungkin terlepas pandang. Dalam pada itu, 31 mac yang lalu adalah ulang tahun ke 38 kematian Wahib, yang meninggal sewaktu berumur 31 tahun. Saya fikir, kini Wahib mungkin telah menemui jawapan-jawapan yang bergolak dalam pemikirannya, dan meninggalkan kita untuk kita terokai pula, sebelum jawapan yang muktamad itu datang pula kepada kita. Al-fatihah.
Dalam pada itu, rujukan manakah yang dapat saya baca untuk memahami pemikiran pluralism dalam beragama di Indonesia?
No comments:
Post a Comment