Tuesday, April 20, 2010

puisi lama

Masa gua cari sijil-sijil tuk interview kat kampong kelmarin, gua jumpa nota-nota lama masa kerja kontrak kat Pahang beberapa tahun dulu masa umur awal 20-an. Gua fikir, tak macam Ahmad Wahib, kalau gua meninggal dunia eksiden macam dia, memang gua bawak sekali nota-nota gua masuk kubur (Gua penah eksiden major -berdarah dan masuk spital- dua kali, dan adik gua meninggal dunia sebab eksiden masa umur 21 tahun, dan sepupu gua juga meninggal sebab eksiden dalam umur belasan tahun, jadi pendedahan awal dan faktor genetik untuk mati eksiden memang telah ada).Oleh itu, kat sini gua letak beberapa puisi yang tak seberapa, yang metaforanya tidak menjangkau langit, dan secara teknikalnya tiada variasi teknik tertentu, hanya catatan sendiri tanpa tujuan penyiaran di akhbar, atau untuk menarik minat sesiapa. Ada banyak lagi yang telah ditulis waktu muda-muda, tapi gua kira tidak perlu disiarkan di sini. Sepanjang menulis puisi sejak sekolah rendah, gua fikir, semakin lama kita menulis puisi, ia menjadi semakin abstrak kerana kita tidak mahu mengulang ayat/metafora yang sama, lalu kita terpaksa mencipta metafora-metafora yang berbeza supaya tidak klise. Kerana itu saya kira, orang yang banyak pengalaman dengan puisi (membaca atau menulis) menikmati puisi yang berbeza dengan orang yang kurang pengalamannya. Disinilah timbulnya polemik seni untuk masyarakat, dan seni untuk seni, yang pada dasarnya bertitik tolak dari pengalaman pembacaan. Secara mudah, sekiranya masyarakat telah terbiasa, berikan metafora yang seberat manapun (contohnya lirik-lirik Loloq), ia akan dapat jua dihadam. Di bawah ini, ialah contoh puisi-puisi gua yang terlalu bogel. Bertelanjangan macam kanak-kanak tak cukup umur. Melulu tanpa metafora agung. Pada dasarnya disebabkan tidak terdedah dengan banyak puisi, tapi untuk membuatkan ia tidak selekeh, maka gua kata, itu kerana jiwa muda yang wujud pada ketika itu. Yang suka telanjang tanpa sembunyi-sembunyi. Hoho.


Bumiputra?

Ya, gantung saya
atau sula
campakkan ke neraka
saya tak perlukan bumiputra
perhitungan saya mudah
yang miskin itu dibantu
yang kaya tak perlu menadah
biarpun moyangnya datang dari bintang
atau keturunan binatang
semuanya dari celah kelangkang
Hina, kata Tuhan.



Kawan-kawan saya yang pemalu

Kawan-kawan saya datang dari seberang
nun di seberang selat
mereka miskin, tangan mereka berurat-urat
mereka melepa simen, atau mengikat bata
(mereka diam-diam bila tidak dibayar gaji)
mereka kepenatan, mereka terus berjalan
mereka kegelapan, kerna dibakar mentari
mereka tidak ada permit, tak ada hak asasi di ini negeri
(mereka diam-diam bila dirompak pak polisi)
mereka menyedut kretek, mereka menyanyi dangdut
mereka lapar, mereka mengikat perut
mereka berjenaka, mereka ketawa
mereka dahaga, mereka berpura tak apa-apa
(mereka diam-diam bila disepak pak imigrasi)
demi Tuhan, mereka kawan-kawan saya
punya sosok serupa dan bahasa yang sama
kalau mereka terluka, maka saya juga!

(Ini lepas melihat kawan-kawan ditangkap dalam operasi PGA)



Di Negeri Pahang

Dari hulu kampung dan tanah rancangan
bandar dan pekan
aku bernomad
di setiap celah tanahmu
utara, selatan, barat dan timur
diantara hutan dan tanah subur
dataran luas ini kelengangan
aku merasai kesunyian
seperti Sungai Pahang
yang keruh dan lesu itu
mendakap aku
erat.



____________*

Dia tersenyum malu
Bila kami membuat lucu
Tentang dia yang tak pandai membaca
“Tak boleh ambil lesen, tak boleh kawin, ha ha”
Tapi tidak ada kerutan yang memberat dahinya
Seperti dia tidak peduli, -atau sebenarnya tak mengerti
Lalu dia tidak perlu menyoal
Apa itu dasar pendidikan
Atau DEB.

Umurnya 16
Ketika dia mahu mengikut kami berlibur
Kami kata, “hoi, engkau tak cukup umur!”
Padahal kami mengerti
Dia bukan anak sekolah lagi.


_________________

*Puisi ini tak ada tajuk sebab gua tak tau nak letak tajuk apa. Tapi sebab ia menceritakan seorang kawan yang tidak pandai membaca, maka dengan tidak menulis tajuk, ia seperti satu ironi dalam puisi ini, walaupun sebenarnya bukan tujuan asal ketiadaan tajuk adalah untuk mencipta ironi. :)


5 comments:

Taf Teh said...

Young souls rebel and... love to get 'naked'??? Ye ke?

mukhsen_x said...

tak lah, it just labeling yourself something worth, ha ha.

fadz said...

the bumiputra tu sooo good!!

fadz said...

actually, its very frank, thats the beauty.. yah raw dan bogel tu bagus

mukhsen_x said...

Thanks. aku terfikir, adakah sebenarnya status bumiputra itu menguatkan atau melemahkan orang melayu.
Sejauh mana ia memperbaiki ekonomi orang melayu, dan sejauh mana secara psikologinya membuatkan orang melayu malas, tidak berdaya saing dsb. Aku masih fikir pasal benda ni dan masih tak pasti conclusion yang sebenarnya. :)