I try to comprehend, but this is complicated world. I will not say goodbye, in a hope that you understood.
Wednesday, August 03, 2011
Friday, March 18, 2011
Inilah interloknya yang sebenar.
Saya percaya watak-watak dalam novel Interlok hanyalah imaginasi (1)Abdullah Hussein, dan bagaimana watak-watak itu bertembung juga hanyalah satu imiganisasi, dengan latar belakang pra merdeka yang real. Temanya adalah perpaduan kaum, dan saya percaya Abdullah Hussein menulis novel ini dengan sedaya upaya menunjukkan betapa pentingnya kaum-kaum utama, Melayu, Cina dan India bersepadu, dan saling bantu membantu (2).
secara asasnya, Interlok dibidas malahan sehingga dibakar dan minta diharamkan. adalah disebabkan watak seorang pariah. Persoalannya, tidak adakah pariah yang datang ke Tanah Melayu? Mereka dikapalkan dan dihantar tentu sekali bersama pariah-pariah yang lain. Maka, apabila Abdullah Hussein memilih untuk menulis tentang seorang pariah, apakah yang menyebabkan mereka marah? Agaknya mereka tidak bersetuju apabila Abdullah Hussein mengangkat seorang pariah sebagai hero?
Tidak, kemarahan sebenar bukan itu. Saya percaya ramai yang membakar interlok tidak membaca pun keseluruhan novel. Bukan itu yang menjadi hal. Perkataan pariah dalam interlok hanyalah pencetus kepada perasaan tidak puas hati yang telah lama membuku. Sebagai kaum yang paling terkebelakang diantara 3 kaum utama ini, penghinaan selalu sahaja dilemparkan kepada mereka. Ungkapan dan perkataan yang menghina kaum India selalu sahaja disebut, seperti keling, hitam, gelap, paria sama ada secara sedar atau tidak, di belakang, mahupun terang terang, malahan di kaca TV. (2) Semua ini puncanya adalah daripada prejudis perkauman, sama ada oleh orang India sendiri, ataupun kaum lain. Prasangka yang tidak ditangani secara baik ini boleh sahaja bertukar menjadi tragedi.
Sebagai sebuah karya sastera, Interlok tidak sepatutnya diubah walau satu perkataan pun, dan saya percaya unsur-unsur perkauman dan pernghinaan terutamanya terhadap kaum India tidak wujud sama sekali di dalam novel ini (4). Walau bagaimana pun untuk ia menjadi teks komponen sastera di sekolah, tidak begitu sesuai atas kemungkinan provokasi-provokasi di dalam bilik darjah yang boleh menimbulkan ketegangan disebabkan kurang matangnya kita menilai sastera. Sedangkan ahli akademik dan penulis sendiri boleh sahaja gagal menginterpretasi karya sastera ini, inikan pula pelajar tingkatan 5. Saya kira banyak lagi karya-karya sastera berbahasa melayu yang baik yang boleh dijadikan teks. Penyelesaian terbaik, kerajaan perlu menarik balik Interlok dengan perakuan bukan sebab ia karya rasis, dan membayar pampasan kepada Abdullah Hussein, atau gantikan sahaja karya beliau yang lebih baik, iaitu imam. Atau karya lain seperti Siapa kekah bidan sepiah.
Sesungguhnya interlok yang ditulis Abdullah Hussein itu tidak benar,imaginasi seorang novelis, tetapi interlok yang berlaku disebabkan novel inilah realiti yang sebenarnya untuk rujukan perhubungan kaum di Malaysia. Penuh prejudis masing-masingnya.
___________________________________________________________________
(1) Watak rekaan. Tidak berkaitan dengan yang hidup atau mati.
(2) Pada dasarnya usaha-usaha kerajaan membentuk perpaduan kaum terutamanya melalui sayembara telah menyaksikan banyak karya sastera atau teks lain berwatakkan Ali-Ah Chong-Muthu, termasuk juga saya kira Interlok. Sama ada ditulis dengan niat memenangi sayembara, atau menaikkan nama penulis atau benar-benar tulus ikhlas untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kita, adalah mesti diakui hubungan antara kaum kita secara realitinya tidak sama sebagaimana imaginasi penulisan-penulisan perpaduan ini. Kerana itu saya kira, kebanyakan karya-karya sebegini akhirnya menjadi karya propaganda kerajaan, berbanding sebuah karya sastera yang tulen dan baik walaupun memenangi banyak hadiah dan diiktiraf.
(3) Dalam iklan 1Malaysia di kedai kopi, ada disebut "hitam" kepada watak Sathia.
(4) Entah bagaimana Uthaya Sankar dan rakan-rakan mahukan 100 pembetulan lain seperti papadom, tuak, berkulit hitam, anjing orang putih dan lain-lain lagi. Akhirnya nanti karya ini akan menjadi sarkas apabila orang cina dan melayu mahu membuat pembetulan juga.
Sunday, September 05, 2010
perubahan
- Maka saya pun berubah lagi. Kali ini pun mungkin bukan yang penghabisan. Wittgenstein selepas menulis Tractatus juga memilih jalan ini, tetapi kemudiannya kecewa. Malahan Ibrahim Yaakob, Tan Malaka, dan Ho Chi Minh juga memilih jalan ini sebelum berevolusi.
- Akses saya kepada internet sangat terhad di tempat kerja. Dan saya tidak berkeinginan lagi untuk memasang internet di rumah sewa. Maka saya tidak mengemaskini blog. Tetapi saya tetap menulis.
- CERKAS salinan yang saya peroleh telah habis. Maka ia sold-out.
- Banyak perkara menarik dan baharu di tempat baru.
- Dari tingkap rumah saya di tingkat 4, saya boleh lihat beberapa remaja sekitar awal 20-an sedang minum coca-cola di tingkat bawah blok pangsa sebelah. Ada perempuan seorang. Seperti bersantai sambil minum coca-cola di bulan puasa itu belum cukup angkuh, mereka campur sebotol ubat batuk.
- Masjid di tempat saya cukup hidup dengan aktivitinya
Monday, July 12, 2010
CERKAS

Untungnya juga, sekiranya anda membeli buku ini, pada tahun 2024 nanti, bila gua menang hadiah nobel, ia akan jadi koleksi rare yang boleh dijual berkali-kali ganda daripada harga asal. Pelaburan yang lebih menguntungkan daripada pemasaran pelbagai tingkat yang rumit.
Beli direct dari gua, nanti gua bagi hadiah percuma, amacam? Dan dengan cara ini juga, anda membantu orang miskin yang memerlukan kerana 100% keuntungan daripada jualan akan disalurkan kepada beliau. Sila e-mail kepada mukhsen_xatyahoodotcom.
Terima Kaseh dan salam mesra.
Friday, July 09, 2010
Jenaka Paul Si Kurita
Jenaka besarnya ialah betapa tahi lembunya ramalan-ramalan sama ada oleh professional yang mengulas di kaca TV, media, dan blog, atau yang tidak professional sama ada di kedai kopi, pejabat dan blog. Paul telah menghina kebijaksanaan kita, keupayaan menaakul dan meramal kita diperlekeh oleh seekor sotong kurita. Subteks daripada jenaka ini ialah, bola itu bulat. Walau betapa mahir dan luasnya pengetahuan kita tentang bola, ramalan hanyalah satu jenaka. Jangan ambil serius. Maka makhluk hodoh itu menggeletek kita dengan tentikalnya, mentertawakan diri sendiri, betapa tanpa akal pun seekor sotong boleh meramal dengan tepat.
Ia hanyalah jenaka sebagai hiburan sampingan, mengimbangi seriusnya piala dunia ini, dan sepatutnya diraikan sebagai satu jenaka, gelap dan ironis. Tapi apabila Paul dikatakan mempunyai kuasa psikik, jenaka ini menjadi lebih besar, tragedi kepada kebijaksanaan manusia. Maka kita tidak perlu gusar apabila ada masyarakat kita yang masih mempercayai benda/haiwan/manusia hikmat, ajaib, badi atau bertulah, kerana di negara-negara maju pun, masih ramai manusia-manusia begini.
Monday, July 05, 2010
jesus kristus pun tak mampu menyelamatkan anda.
Tidak overrated. Tidak ada selebriti (Lihat sahaja betapa buruknya Anelka, selain selebriti lain yang tidak tidak menyerlah). Tidak ada peminat wanita yang I-suka-Ronaldo-sebab-dia-cute. Tidak ada mentaliti kelab (Perlu diingat, bola sepak kelab dan negara adalah berbeza. Macam kapitalis dan komunis. Kerana itu Mourinho tidak peduli pada World Cup). Maka inilah Korea Utara.
dan German. ho ho.
Maka perlawanan German dan Sepanyol nanti adalah pertembungan yang paling menarik. Antara pemain-pemain superstar yang bergabung, menentang sebuah teamwork super. Ini adalah final.
Tuesday, June 29, 2010
Mungkin
Monday, June 28, 2010
40 ulama dan perubahan UMNO.
Secara asasnya, UMNO mahukan imej-imej Islamik yang telah dikalahkan oleh PAS. Kemimpinan sedia ada tidak mempunyai imej-imej Islamik ini walaupun merupakan parti Melayu yang secara amnya Islam. UMNO adalah merupakan parti nasionalis semi sekular yang konservatif dan kelihatannya tetap mahu mempertahankan pegangan ini. Perubahan imej PAS daripada parti teokonservatif yang keras kepada parti yang lebih liberal menimbulkan ancaman kepada UMNO. Saya percaya, kemasukan kumpulan ulama ini hanyalah usaha-usaha kosmetik bagi menarik golongan Melayu atas pagar yang menyokong PAS seperti artis yang bertudung ketika ke mahkamah syariah untuk urusan cerai atau ditangkap khalwat.
Apa yang diusahakan ini adalah untuk menarik golongan atas pagar yang tidak menyokong UMNO kerana beranggapan UMNO tidak Islamik, dan kumpulan ini cukup sedikit kerana lebih ramai telah pun berdiri di dalam pagar PAS. Dasar UMNO yang konservatif tidak berubah. Saya tertanya-tanya mengapa UMNO tidak mahu menjadi lebih liberal. Ia boleh menarik sokongan cukup banyak, daripada penyokong PKR, DAP dan golongan muda atas pagar. Sedang PAS bergerak ke arah itu, mengapa tidak UMNO? Saya kira mungkin KJ boleh diharap. Hanya masalahnya pemimpin atasan dan orang-orang tua yang masih terperangkap dengan idea konservatif terlalu banyak kuasa dalam UMNO dan kerajaan.
Friday, June 18, 2010
Draf Bab 1.4 : Hasnah Pulang Dari Mahkamah.
Hujan sudah mulai mereda. Bilah pengelap cermin bergerak seragam dalam satu perpuluhan lima saat. Rintik-rintik halus yang jatuh pada cermin hadapan disapu ketepi dan ke bawah. Dua bilah itu seperti sepasang penari, yang akan menari setiap kali hujan, tetapi tidak pernah bersentuhan, sampai bila-bila. Syahdu dan melankoli hujan menjadi latar tarian dua jiwa yang sama itu, tapi selamanya tak akan menyatu. Pemain cakera melagukan it ain’t me babe, dan itu Baez dan Dylan sedang menari di atas cermin. Hasnah terasa pipinya basah dan hangat bila airmatanya jatuh menjurai. Fikirnya, mengapa kesudahannya tidak seindah yang mereka telah impikan. Dia kira, segala yang mereka harungi berdua seakan-akan tidak punya apa-apa makna, palsu dan tidak ada erti. Cinta sejati hanyalah lafaz, kata perpisahan itupun hanya lafaz. Dia memikir-mikirkan perasaannya, dan bagaimana pula perasaan lelaki itu ketika melafazkannya. Betapa mudah semuanya berubah. Dia tidak melihat isyarat merah sehinggalah ia sudah terlalu hampir. Literal.
Hasnah menekan pedal brek kuat-kuat, tayar proton saganya berhenti berpusing, tetapi kerana basah jalan menjahanamkan daya geseran, ia tetap sahaja melunjur, lalu bertembung sebuah Hilux yang sedang melintas. Hasnah merasai impak stereng tanpa beg udara pada mukanya, seperti tengkoraknya pecah, mulutnya, giginya, hidungnya, dahinya, merasai kesakitan yang maha bangsat.
Awan gelap mulai sirna, dan matahari yang tadi dilindung, muncul perlahan, dan mendung pun diganti dengan sinar keemasan, dan bumi, jalan tar, kenderaan, tiang lampu, pepohon, rumput, pemandu motorsikal dan burung gagak yang basah disimbah hujan tadi, kini dilimpah cahaya kekuningan, cukup indah, seperti mikrobutiran emas telah jatuh dari langit. Hasnah merasai kesakitan pada seluruh anggota badan, organ-organnya. Darah merata-rata. Dalam kabur-kabur Hasnah melihat seseorang menghampiri tingkap keretanya yang meretak. Dalam gambaran yang memecah kerana retakan itu, dan samar-samar dia melihat lelaki itu datang.
“Abang?”
“Akak tak apa-apa?”
“Kenapa abang tinggalkan Hasnah? Hasnah rasa macam nak mati.”
“Mengucap kak, mengucap,” lelaki itu telah membuka pintu.
Hasnah dapat lihat kini wajahnya bukanlah lelaki yang difikirkan. Perasaan malu datang. Hasnah mahu memalingkan wajahnya, tetapi parah pada anggota kepalanya tidak member izin. “Dalam waktu begini pun, engkau tetap tidak datang,” fikir Hasnah dan menghembus keluhan.
Thursday, June 17, 2010
melayu
walaupun ini bukan contoh yang terbaik berdasarkan konsep asas urban dictionary itu adalah kamus, tetapi inilah salah satu maksud Malay yang diberikan.
Selain itu, maksud-maksud yang lain juga menjurus kepada perkara-perkara yang sama, iaitu melayu malas dan terlalu bergantung pada status bumiputra dan bantuan kerajaan, berfikiran sempit, tidak rasional, bodoh dan lembab pemikirannya.
Secara umumnya, mungkin apa yang telah ditulis di dalam urban dictionary dalam mendefinasikan Malay itu bersifat rasis, atau pandangan yang kurang matang, (contohnya menuduh melayu emosional, padahal diri sendiri menulis secara emosional-from my personal experiences!! malays are too dependant on our stupid REALLY REALLY STUPID RACIST government) tetapi itulah pandangan yang saya percaya dimiliki oleh ramai rakan-rakan bukan Melayu di Malaysia. Mungkin majoriti bukan Melayu mempunyai pandangan sama seperti maksud-maksud yang telahpun di tulis di dalam laman web tersebut.
Dan kita sebagai Melayu mungkin akan merasa marah dan kecil hati terhadap apa yang telah ditulis, mungkin kita akan menjadi benci kepada kaum lain, mungkin kita jadi bertambah curiga, mungkin kita mahu melibas kepala mereka dengan parang panjang, atau menikam perut mereka dengan keris;
tetapi sekiranya kita menerima pandangan ini secara terbuka dan berlapang dada, saya kira ia lebih mudah, dan lebih baik pula, kerana kita akan berusaha menjadi lebih rajin, lebih bijak dan terbuka. Kalau memang kita telah sedia rajin dan bijak, menerima pandangan sebegini, menambahkan lagi kerajinan dan kebijaksanaan kita. Dan hasilnya tentu sahaja lebih baik. Tentu sahaja lebih baik berbanding melolong-lolong seperti anjing.
Maka apabila saya melihat kemunculan kumpulan-kumpulan pejuang melayu seperti PERKASA BANGKIT, GERTAK, Pro-WARIS dan sebagainya yang katanya memperjuangkan hak-hak melayu, saya sangat-sangat menunggu kemunculan kumpulan melayu yang memperjuangkan penghapusan hak-hak melayu. Mungkin Persatuan Melayu Menentang Status Bumiputra, atau singkatannya, PEMALAS.
Oh Ya, kerana membaca maksud di Urban Dictionary, saya cuba untuk menjadi lebih rajin lagi. :)
Thursday, May 20, 2010
saya malas
Tuesday, May 18, 2010
Berfikir sejenak
Monday, May 03, 2010
Double Trouble
Ketika konsert ini, beberapa perkara yang saya terfikir, betapa semakin mundurnya industri muzik kita. Tidak ada sesiapa pun lagi dapat menggugat Search dan Wings setelah berpuluh tahun. Saya juga terfikir, lirik lagu zaman rock kapak dahulu berkali ganda lebih baik berbanding kumpulan rock masa kini. Lihat sahaja perbezaan antara gema di indera loka ini, dan tercipta untukmu oleh unggu. Ungu macam budak tadika, lalu kalau konsert mereka tidak mendapat sambutan, memang patut pon.(padan muka, sokong sangat muzik Indonesia, ha ha).
Tercipta untukmu (UNGGU)
Gema di Inderaloka (Wings)
******
Dan untuk para anarkis semua, enjoylah video dan lagu ini. (Masa ni gua duduk kat area depan, tapi tak la depan sangat sampai kena sembur air. lambat sampai, depan dah pack. Video ni bukan gua amik, gua cilok kat youtube).
Opera Hidup (Wings)
Sunday, May 02, 2010
PAS : daripada teokonservatif menuju demokratik sosialis (Pengenalan)
Terdapat banyak salah konsep apabila mengaitkan Islam dan PAS. Secara asasnya, ya, mungkin boleh diterima walaupun tidak sepenuhnya bahawa PAS = Islam, tetapi adalah sangat salah apabila menyatakan Islam = PAS. Pemahaman logik A=B maka B=A adalah tidak boleh dipakai apabila merujuk Islam dan PAS. Tetapi logaritma inilah yang telah dipakai sejak dahulu, malah sehingga sekarang oleh ahli PAS, maka kerana itu wujud dakwaan-dakwaan seperti; UMNO kafir, sokong PAS masuk syurga, menentang PAS bermakna menentang Islam dan sebagainya. Pernyataan-pernyataan ini juga menjadi pegangan ramai ahli PAS, kerana ia secara mudah, logik! PAS itu Islam, maka orang yang bukan PAS itu, bukan Islam (kafir), PAS itu Islam, Kalau bukan Islam tidak boleh masuk syurga, PAS itu Islam, maka menentang PAS bermakna menentang Islam, berjuang untuk PAS itu adalah berjuang untuk Islam, maka mati dalam perjuangan PAS adalah mati syahid.
Dakwaan-dakwaan tidak tepat inilah yang berlaku apabila logaritma logik A=B maka B=A diguna pakai dalam pemikiran orang-orang PAS. Kesilapan yang paling besar ialah mereka terlupa bahawa UMNO juga adalah parti Islam secara logik. UMNO = Melayu. Melayu = Islam, maka UMNO = Islam. Logik ini juga salah, tetapi seharusnya apabila PAS menerima logik mereka, maka mereka juga harus menerima logik bahawa UMNO juga adalah parti Islam.
Berdasarkan pernyataan di atas ini dan sebab-sebab lain juga, saya tidak mahu melihat PAS sebagai parti Islam, kerana ia akan menjadi satu pemahaman yang salah, hanya memandang ia sebagai sebuah parti dengan perjuangan yang Islamik menurut justifikasi mereka. Dengan ini juga, saya bebas untuk mengkritik PAS, kerana kalau melihat PAS sebagai parti Islam, mengkritik PAS nanti akan dilihat sebagai mengkritik Islam pula. Islam itu adalah agama yang suci, yang telah dilengkapkan kesuciannya, sedang PAS itu tidak. PAS juga kotor.
Friday, April 30, 2010
Inikah ketua polis yang anda harapkan?
![]() |
"Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dengan cara mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya," katanya dalam laporan The Star online
*******
Inilah contoh betapa kita sangat tidak rasional. Sangat mengecewakan apabila ia keluar dari mulut seorang ketua polis. Langsung tidak profesional. Kalau En. Ketua Polis tak faham lagi, rakyat bukan mempersoalkan tugas, rakyat mempersoalkan tindakan. Katakan terdapat seorang guru merotan pelajarnya hingga mati, dan tindakan guru itu dikecam dan dikritik, adakah patut guru-guru lain tidak lagi dedikasi dengan tugasnya? atau pengarah JPM berkata,
"Biarlah apa yang nak dikatakan oleh ahli politik, tapi saya ingin tahu sama ada anda mahu kami mendidik anak-anak anda atau tidak.
"Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi mendidik pelajar dengan ikhlas dan jujur, biarkan sahaja anak murid mahu jadi bodoh, perompak atau penyamun dan gagal dalam SPM."
________________
*orang saya? peh, macam gangster.
Wednesday, April 28, 2010
Kuasa dan kritikan - sebab sebenar pembunuhan adik Aminulrasyid Amzah.
Masalah utama kita ialah apabila melihat kritikan sebagai ancaman kepada kuasa, bukannya sebagai satu sumber penambahbaikan. Pengkritik biasanya dilihat sebagai parti pembangkang (kerana mereka ini suka membangkang, nama pun pembangkang, yang saya kira adalah satu konsep yang sangat salah), pengkhianat (menentang pihak berkuasa bermakna menentang negara), tidak bersyukur (polis menjaga ketenteraman siang dan malam, tanpa mengenal penat dan lelah tau), cubaan mengambil alih kuasa (cubalah jadi polis, baru ko tau macam mana!), penghasut, pembenci, menimbulkan kekacauan, dan sebagainya. Secara umumnya, budaya kritikan kita sangat terkebelakang, sama ada pengkritik ataupun yang kena kritik. Kita melihat kritikan dengan pandangan yang menakutkan, dan dengan sikap yang tidak rasional.
Asal usul sikap ini, saya kira adalah berpunca daripada roh “jiwa hamba” yang masih menghantui dalam masyarakat. Yang berada di bawah yang dikuasai itu adalah hamba. Hamba tidak mempunyai hak membantah walaupun anak isteri mereka dibawa lari, atau keluarga mereka dibunuh (sila baca sejarah), inikan pula untuk mengkritik. Budaya ini masih terbawa-bawa sama ada di kalangan orang yang berkuasa, ataupun orang yang dikuasai, hitherto. Kerana itu wujudnya I.S.A, Akta mesin cetak dan penerbitan, akta hasutan dan AUKU, yang walaupun mempunyai rasional yang baik, tetapi sangat berkecenderung untuk menutup kritikan dan pandangan yang berbeza. Lihatlah bagaimana pemimpin kita yang tidak sedia menerima kritikan, sama ada pimpinan teratas di kalangan menteri, pemimpin parti, pemimpin pejabat/jabatan, pihak berkuasa dan sebagainya. Kesombongan untuk tidak menerima kritikan ini ditutup secara pengecut dengan berselindung di balik penyalahgunaan akta-akta yang disebutkan di atas. Banyak contoh-contoh bagaimana orang yang mengkritik dikenakan tindakan yang tidak sepatutnya, dalam pelbagai bidang termasuk sukan. Dan sekarang, lihat juga bagaimana liputan terhadap kes pembunuhan Aminulrasyid ini, yang tentu sekali kritikan terhadap polis tidak akan anda dengar atau baca dalam media arus perdana.
Pada dasarnya, penambahbaikan polis sepatutnya telah berlaku lama dahulu, sekiranya polis/kerajaan sedia menerima kritikan salah tindakan mereka pada peristiwa memali 25 tahun dahulu. Saya kira sekiranya pihak berkuasa mendengar dengan tenang dan rasional pandangan pengkritik tentang tindakan polis yang didapati kurang bijak menangani peristiwa memali, tentu sekali ada penambahbaikan dalam prosedur polis sebelum menembak seseorang. Melalui penambah baikan ini, mungkin pembunuhan Aminurrasyid dapat dielakkan kerana telah ada satu garispanduan jelas yang perlu dipatuhi oleh polis, sebelum menggunakan senjata mereka.
Sesungguhnya kematian Aminulrasyid tidak seharusnya sia-sia. Ia tidak sepatutnya tamat dengan jatuhnya hukuman terhadap pegawai yang menembaknya, malahan saya berharap membawa satu revolusi dalam memperbaiki salah laku pihak berkuasa sama ada polis atau pemerintah. Malahan mungkin menjadi benchmark kepada pembebasan kita dari konkongan ketakutan terhadap yang berkuasa, seperti ketakutan Allahyarham apabila terserempak polis lalu menjadi panik walaupun kesalahan beliau tidak sebesar mana. Kita harus berani bersuara, mengkritik dan bebas memberi padangan tanpa disekat, dan tidak perlu lagi dikongkong dengan ketakutan.
Al-Fatihah.
Demi tuhan tulisan (kritikan) ini bukan untuk mencabar/menghina/menghasut sesiapa. Ia ikhlas dari saya sebagai warga Malaysia yang mahu melihat ia menjadi negara yang lebih baik.*
_______
Friday, April 23, 2010
Tanah dan air

Kami minimal, hutan ini kecukupan
kami juga minimal di mata mereka
tidak dinampak
tapi kami tidak animal
mereka yang.
Kami tidak meminta tanahair
hanya tanah dan air.
Kami kecukupan, mereka yang
tidak.
Thursday, April 22, 2010
Sapa nak bertaruh?

Wednesday, April 21, 2010
puisi-puisi
O kewujudan, ia hinggap di belakangku
Seperti hering besar yang hodoh
Apabila matahari terik
Ia menggelapkan seluruh
Jasad
Malah ia berkata
“Engkau bukan sekutu, atau bangkaiku”
Tapi aku terbang dengan ia
Malahan aku menjadi ia
PERASAAN
Perasaan tidak patut dituliskan
ia tidak pun punya erti
tidak ada jawapan, lalu tidak ada kebenaran
tidak kongkrit, tidak juga logik
lalu simpan
jangan bajai, biar ia mati.
KEBENARAN
Kebenarannya
Kita tidak pun mencari kebenaran
Kita ciptai, dari ilusi-ilusi sendiri
Daripada keinginan-keinginan
yang kita sembunyikan
Seperti aku yang mahukan engkau
aku kata cinta kebenarannya.
FIKIRANKU
seperti laut
Ombak yang bising dan meribut
Masih tak membongkar rahsia
Jurang gelap dan terasingnya.
DUKA
Aku berlindung daripada kedukaan
Dengan kedua-dua belah tapak tangan
Aku menutupi muka
Sedang hati merasainya.
Tuesday, April 20, 2010
puisi lama
Bumiputra?
Ya, gantung saya
atau sula
campakkan ke neraka
saya tak perlukan bumiputra
perhitungan saya mudah
yang miskin itu dibantu
yang kaya tak perlu menadah
biarpun moyangnya datang dari bintang
atau keturunan binatang
semuanya dari celah kelangkang
Hina, kata Tuhan.
Kawan-kawan saya yang pemalu
Kawan-kawan saya datang dari seberang
nun di seberang selat
mereka miskin, tangan mereka berurat-urat
mereka melepa simen, atau mengikat bata
(mereka diam-diam bila tidak dibayar gaji)
mereka kepenatan, mereka terus berjalan
mereka kegelapan, kerna dibakar mentari
mereka tidak ada permit, tak ada hak asasi di ini negeri
(mereka diam-diam bila dirompak pak polisi)
mereka menyedut kretek, mereka menyanyi dangdut
mereka lapar, mereka mengikat perut
mereka berjenaka, mereka ketawa
mereka dahaga, mereka berpura tak apa-apa
(mereka diam-diam bila disepak pak imigrasi)
demi Tuhan, mereka kawan-kawan saya
punya sosok serupa dan bahasa yang sama
kalau mereka terluka, maka saya juga!
(Ini lepas melihat kawan-kawan ditangkap dalam operasi PGA)
Di Negeri Pahang
Dari hulu kampung dan tanah rancangan
bandar dan pekan
aku bernomad
di setiap celah tanahmu
utara, selatan, barat dan timur
diantara hutan dan tanah subur
dataran luas ini kelengangan
aku merasai kesunyian
seperti Sungai Pahang
yang keruh dan lesu itu
mendakap aku
erat.
____________*
Dia tersenyum malu
Bila kami membuat lucu
Tentang dia yang tak pandai membaca
“Tak boleh ambil lesen, tak boleh kawin, ha ha”
Tapi tidak ada kerutan yang memberat dahinya
Seperti dia tidak peduli, -atau sebenarnya tak mengerti
Lalu dia tidak perlu menyoal
Apa itu dasar pendidikan
Atau DEB.
Umurnya 16
Ketika dia mahu mengikut kami berlibur
Kami kata, “hoi, engkau tak cukup umur!”
Padahal kami mengerti
Dia bukan anak sekolah lagi.
_________________
*Puisi ini tak ada tajuk sebab gua tak tau nak letak tajuk apa. Tapi sebab ia menceritakan seorang kawan yang tidak pandai membaca, maka dengan tidak menulis tajuk, ia seperti satu ironi dalam puisi ini, walaupun sebenarnya bukan tujuan asal ketiadaan tajuk adalah untuk mencipta ironi. :)
Monday, April 19, 2010
Ahmad Wahib
Thursday, April 15, 2010
Pseudonym for pseudonym is pseudonym
Monday, April 12, 2010
Hoben jang hoben!
Tetapi saya sangat gemar ke stadium menonton bola sekiranya ada kelapangan dan uang, terutamanya sekiranya ia melibatkan negeri tempat saya dibesarkan. Lalu saya kira saya tetap peminat bola, mungkin dari perspektif yang lain. Bukan peminat kesenian permainannya, tetapi keghairahannya. saya sangat menyukai keghairahannya, sifatnya sebagai sukan rakyat. Saya tidak dapat menghayati keseniannya dan merasa bosan menontonnya di TV kecuali babak-babak gol. Saya tidak akan dapat menikmati keghairahan bolasepak dengan duduk di kedai mamak sambil makan tosei dan minum teh tarik, menonton pemain asing, di negara asing dan bahasa yang asing. Kerana itu, berbanding menonton perlawanan maschester-chelsea contohnya, saya lebih senang menonton siaran ulangan spongebob. Saya kira keghairahan bolasepak adalah di stadium (tetapi kerana mengerti kesenian ping-pong, mungkin sekiranya ada siaran langsung pada pukul 3 pagi, saya sanggup untuk bangun dan kalau ada kumpulan penyokong yang mahu berkumpul di kedai mamak, saya akan pergi).
Keghairahan bolasepak ialah memakai jersi pasukan sokongan, bersorak dan menjerit bersama orang lain yang memakai jersi yang sama, dan nun di sana ada kelompok yang lain yang memakai jersi yang lain, dan kami “bermusuh.” Kerana itu saya kira, ketika menonton bolasepak di kedai mamak, ada yang memakai jersi pasukannya untuk merasai keghairahan ini, tetapi ia tetap jauh berbeza dengan pengalaman di stadium. Di stadium, kami punya interaksi secara langsung dengan pemainan di padang.
Kami bersorak memberi sokongan terhadap pasukan, menyanyi, memukul gendang, mengibar bendera, membuat ombak, menggantung banner, memaki, memprovok penyokong lawan, memprovok pemain lawan, memprovok pemain sendiri sekiranya mereka membuat kesilapan, memprovok pengadil sekiranya dilihat seperti berat sebelah, memprovok polis malahan memprovok mascot TMnet (provokasi-provokasi ini, contohnya “refree bodoh!” yang menggema satu stadium, bukan bermaksud refree itu memang bodoh. Kami mengerti refree itu hanyalah manusia biasa, yang mungkin pandangan matanya boleh tersilap, dan tentu pandangan matanya lebih tepat berbanding kami yang duduk lebih jauh daripada satu-satu eksiden di padang, dan lebih memahami pula peraturan bola sepak (lebih pandai), tetapi ia hanyalah satu cara bagi menghangatkan suasana)* Inilah kehebatan sebenar bola sepak, stadium! Dan saya kira, secara asasnya dalam semangat kesukanan, penyokong dalam apa-pun acara sukan, adalah sifat tempatannya. Walau betapa lemahnya sesuatu pasukan, kerna ia tempatan, maka itulah pasukan yang perlu kita sokong.
Kerana itu saya cukup meluat apabila ada yang menyatakan, “saya peminat bola, tetapi tidak menonton permainan tempatan kerana permainan kita tidak sehebat pemain antarabangsa” (secara umumnya inilah maksudnya, walaupun ayatnya berbeza). Ya, benar ranking kita tercorot. Ya benar, ada banyak kelemahan dan kekalutan dalam pengurusan dunia bola sepak kita**. Tetapi beginilah, katakan anda punya seorang anak yang tidak comel dan lembab. Dan jiran anda pula mempunyai anak yang comel dan pintar. Adakah anda memuji, mengagungkan, menyokong, membelikan buku pelajaran anak jiran anda itu dan dalam masa yang sama menghina, dan mengabaikan anak sendiri? Adakah anda sedar bahawa anak anda itu adalah darah daging anda, maka ketidakcomelan dan kelembapannya adalah refleksi dari anda sendiri? Samalah seperti bola sepak kita, ia adalah refleksi keupayaan kita yang sebenarnya. Maka sekiranya anda punya anak yang tidak comel dan lembab, adalah penting untuk anda sebagai ibu bapa menyokong, mendorong, dan membantunya supaya ia dapat mengatasi kekurangan-kekurangan tersebut. Bukannya memakai jersi MU ketika menonton MU menentang Malaysia, contohnya.***
*Saya kira provokasi-provokasi penonton ini sedikit sebanyak menggambarkan keinginan-keinginan kami di luar yang tidak dapat diterjemah. Fikirkan pemain itu sebagai pemimpin, pengadil itu sebagai hakim, dan polis itu sebagai penguatkuasa (err.. polislah), dan hanya di dalam stadium kami bebas mengkritik dan memaki golongan ini. - Tetapi tidaklah sehingga membakar kerusi seperti penyokong Kelantan. Sikap penyokong Kelantan ini telah menguatkan pandangan saya bahawa sokongan masyarakat Kelantan terhadap pembangkang bukanlah atas dasar kematangan politik, tetapi emosi kenegerian dan anti-federal semata-mata. Nantilah saya akan bincangkan dalam artikel “masyarakat Kelantan daripada pandangan orang luar”.
** Contohnya pengurusan atasan yang dikuasi istana dan ahli politik. Saya kira ini menutup ruang teguran dan kritikan, yang sangat penting dalam membangunkan bola sepak.
***Saya mengesyaki, sokongan masyarakat terhadap bolasepak asing bukanlah pada kesenian semata-mata, kerana ada juga golongan yang tidak mengerti kesenian bola sepak memakai jersi MU dan menonton perlawanannya pada pukul 3 pagi di kedai mamak. Saya kira kegilaan golongan ini pada bolasepak asing ialah kerana dipengaruhi oleh pandangan ia sebagai budaya popular, hip, dan trendy. Nilai komersil yang digerakkan dalam medialah, sama ada secara langsung (iklan) dan tidak langsung (ruang bola sepak eropah yang tiga kali ganda lebih besar ruangnya di dalam bahagian sukan suratkhabar berbanding bolasepak tempatan) yang menyebabkan bola sepak asing lebih diagungkan.



