Thursday, April 08, 2010

Undang-undang Tuhan VS Undang-undang Manusia

Berdasarkan kepercayaan agama samawi, Tuhan/Allah meletakkan manusia di muka bumi ini berserta dengan peraturan-peraturannya yang digariskan di dalam kitab-kitab yang diturunkan. Peraturan-peraturan ini, dikuatkuasakan sebagai undang-undang. Manusia yang tidak mempercayai Tuhan juga (iaitu tidak mengamalkan peraturan yang telah ditetapkan Tuhan) menetapkan peraturan dan mengamalkan undang-undang ciptaan sendiri. Secara asasnya, dalam hidup bermasyarakat, walau betapa mundur/kuno atau modennya, manusia memerlukan undang-undang. Kerana apa? Kerana tanpa undang-undang masyarakat akan hidup dalam kucar-kacir (tidak AMAN). Kerana apa? Kerana sifat memenuhi kehendak sendiri (NAFSU) dalam diri manusia memungkinkan seseorang itu berlaku zalim/tidak adil terhadap manusia yang lain. Kerana apa? Kerana kita sentiasa cenderung untuk memenuhi tuntutan NAFSU inilah.


Matlamat undang-undang manusia ialah bagi mewujudkan masyarakat yang AMAN damai. Manakala matlamat undang-undang Tuhan pula ialah bagi mengawal NAFSU. Dua matlamat ini kelihatannya selari, tetapi sebenarnya banyak perbezaannya kerana matlamat undang-undang Tuhan itu mencakupi matlamat undang-undang manusia, manakala matlamat undang-undang manusia itu kadang-kala tidak mencakupi matlamat undang-undang Tuhan.


Kedua-dua matlamat itu juga ada kalanya berkonflik. Kerana apa? Pertamanya kerana masyarakat yang amai damai itu boleh dilihat dengan mata kasar, dinilai dengan statistik, manakala mengekang nafsu itu sangat absurd. Sekiranya akal itu terletak di dalam otak, fizikal nafsu itu tidak bertempat di dalam jasad manusia. Keduanya (yang paling utama), tanpa kawalan ketat terhadap nafsu pun, masyarakat dapat juga hidup dalam suasana yang adil. Maka tanpa mengamalkan peraturan yang ditetapkan Tuhan juga, manusia dapat hidup aman damai/ harmoni dan tanpa ketakutan. Contohnya, masyarakat yang mengamalkan seks bebas juga boleh hidup dalam suasana yang aman damai dan adil.(1)


Pertembungan-pertembungan inilah yang mendasari permasalah-permasalah kita masyarakat Islam apabila peraturan Tuhan itu mahu diamalkan, ambil contoh isu Kartika bilamana ketetapan hukuman terhadapnya kelihatan cukup payah untuk dilaksana (Saya kira, selain pertembungan hukum Tuhan dan manusia ini, dalam isu Kartika, masyarakat juga melihat peraturan Tuhan(Islam) itu kejam, persoalan kejam ini saya akan jawab nanti, kerana ia memerlukan perbincangan yang lebih dalam dan panjang, terutamanya berkaitan dengan ketuhanan).


Maka, dalam pertembungan antara undang-undang Tuhan dengan undang-undang manusia ini, secara logik pihak manakah yang lebih benar? Secara logik, matlamat manakah yang lebih mencakupi dan mendasar? Perbandingan mudah, anda bertolak dari rumah ke tempat kerja setiap hari antara pukul 7.00-7.15 pagi. Kerana apa? Kerana anda tidak mahu lewat ke tempat kerja. Kerana apa? Kerana anda tidak mahu dimarahi bos. Kerana apa? Kerana anda tidak mahu dibuang kerja. Mana perkara yang lebih utama, lewat ke tempat kerja ataupun dibuang kerja? Manakah sebab yang lebih mendasar (pokok) yang menyebabkan anda bertolak jam 7.00-7.15 pagi? Jawapannya ialah, kerana anda tidak mahu dibuang kerja. Andainya bos anda tidak akan membuang anda sekiranya selalu lewat, tentu sekali anda tidak kisah pukul berapa anda mahu datang ke tempat kerja. Maka sama jugalah seperti sekiranya manusia itu tidak bernafsu (seperti malaikat), tentu sahaja mereka tidak perlu khuatir akan berlakunya ketidakadilan dalam masyarakat.


Kesimpulannya, undang-undang Tuhan itu lebih tepat dan benar secara logik, kerana ia menangani perkara dasar. Hanya kerana kita ini selalu memikir secara singkat, maka kita lebih senang mengungkapkan, “saya bertolak dari rumah ke tempat kerja pukul 7 supaya tidak lewat ke tempat kerja,” berbanding “saya bertolak dari rumah ke tempat kerja pukul 7 supaya tidak dibuang kerja.” Hanya kerana kita ini berfikir secara singkat, maka kerana itu kita menganggap undang-undang Tuhan itu tidak tepat. Kita tidak melihat perkara asas, kerana biasanya yang asas itu tidak tertonjol, seperti akar pokok, atau batang cerucuk, yang tenggelam di dalam tanah.


_______________________________


(1) Selebihnya adalah persoalan jiwa; iaitu adakah masyarakat itu bahagia? “duh, memanglah bahagia, tak payah risau kena tangkap dengan pencegah maksiat, boleh membuat seks dengan pasangan yang pelbagai, bertukar-tukar pasangan, membuka bisnes pelacuran..” sekali lagi, adakah masyarakat itu bahagia? “Emm.. gunalah kondom, atau bina sahaja rumah perlindungan anak luar nikah.” Fikir dengan lebih dalam, adakah masyarakat itu bahagia? Fikir secara mendalam juga bermakna berfikir secara rasional. Berfikir secara rasional juga bermakna berfikir secara terbuka. Berfikir secara terbuka juga adalah berfikir tanpa dipengaruhi nafsu (individualistik, keinginan untuk memenuhi keinginan sendiri tanpa memikirkan orang lain), berfikir tanpa nafsu akhirnya anda akan menemui jawapan kepada peraturan Tuhan. Secara mudah, kerana apa kita mahu berkeluarga? Selain seks, banyak sebab-sebab yang rasional dan logik kerana apa manusia itu berkeluarga yang saya kira kita semua telah maklom. Seks bebas adalah antitesis kepada konsep berkeluarga. Sila tanya tiger wood kenapa.


PS- Bagi orang Islam, nafsu itu perlu diperang, malahan dianggap lebih besar berbanding perang mengangkat senjata. Tentu sekali ia akan menghadkan keseronokan-keseronokan dunia. Ya, tentu sekali saya selalu kalah. Atas dasar ini, tulisan di atas tidak menggambarkan bahawa saya ini adalah seorang yang warak, ia hanyalah perkongsian-perkongsian pemikiran yang mungkin tidak tepat dan longgar.

2 comments:

Taf Teh said...

Apa??? Nak kena interview Tiger Wood!!!


;-0

mukhsen_x said...

eh, silap. sila tanya wifenya, elin Nordegren . hoho