Sunday, February 21, 2010

Lambakan Warga Asing.

(Bila memikirkan isu ini, saya teringat teori Rainwonder bahawa kita semua adalah makhluk asing. Dan sungguh, saya percaya pada teori tersebut)

Ada menteri kata, beliau terkejut dengan lambakan warga asing. Mungkin beliau pura-pura terkejut, supaya kelihatan tidak tahu apa-apa tentang isu ini. Mungkin beliau memang benar-benar tidak tahu, dan tidak diberitahu pegawainya. Mungkin pegawainya tidak diberitahu oleh penolong pegawainya. Mungkin penolong pegawainya tidak diberitahu oleh jurutekniknya. Entahlah, kita pun tidak tahu.


Tetapi tentang pekerja asing ini, saya rasa saya sudah jelaskan dalam posting bertajuk Anti-globalisasi dan Negara dunia ketiga. Tapi mungkin panjang, dan susah nak faham. Kita permudahkanlah. Ini seperti permainan bangau oh bangau. Sungguh menarik, budak tadika pun menggemarinya.


Pekerja asing, oh pekerja asing, kenapa ramai sangat? Macam mana aku tak ramai, kerja ada banyak. Kerja oh kerja, kenapa engkau banyak? Macam mana aku tak banyak, orang tempatan tak nak kerja. Orang tempatan oh orang tempatan, kenapa tak nak kerja? Macam mana kami nak kerja, gaji tak sepadan dengan kos sara hidup. Gaji oh gaji, kenapa tak sepadan? Macam mana nak sepadan, kos buruh kena kurangkan. Kos buruh oh kos buruh, kenapa nak kurangkan? Macam mana tak boleh kurang, nanti pelabur lari. Pelabur oh pelabur, kenapa engkau nak lari? Macam mana kami tak lari, memang kami pemodal, memang kami kapitalis.


Kapitalis ini yang terdiri daripada syarikat-syarikat multinasional akhirnya mengaku dengan angkuh seperti ular dalam bangau oh bangau. Kapitalis yang fokusnya adalah kebendaan, memang yang paling utama ialah bagaimana keuntungan ditingkatkan. Dan yang selalu dilupakan ialah masyarakat kelas bawah iaitu pekerja.


Menteri tersebut juga khuatir, lambakan warga asing ini boleh menjejaskan imej negara pada pandangan pelancong asing. Menurut suratkhabar tersebut, ianya boleh menjejaskan imej kawasan dengan memaparkan gambar sekumpulan warga asing yang melawat-lawat kotaraya ketika tahun baru cina yang lalu. Persoalannya, adakah kerana mereka pekerja asing, maka mereka tidak boleh melancong sebagai pelancong asing?Atau adakah kerana mereka datangnya dari negara-negara miskin? Atau adakah kerana mereka gelap sedikit? Ok, kita lihat dua gambar ini, satu yang disiarkan oleh akhbar tersebut, dan satu lagi ialah gambar yang mengalami pencerahan.


Disiarkan akhbar.

Ramainya warga asing!
Cuti panjang sempena Tahun Baru China diambil kesempatan oleh puluhan warga asing untuk bersiar-siar di bandar-bandar besar sekitar Lembah Kelang. Di ibu negara semalam, banyak kawasan tumpuan membeli belah terkemuka dipenuhi oleh golongan ini termasuk ramai yang didapati melepak sehingga menjejaskan imej kawasan sekitarnya.


Selepas pencerahan.

Ramainya warga asing!
Cuti panjang sempena Tahun Baru China diambil kesempatan oleh puluhan warga asing untuk bersiar-siar di bandar-bandar besar sekitar Lembah Kelang. Di ibu negara semalam, banyak kawasan tumpuan membeli belah terkemuka dipenuhi oleh golongan ini termasuk ramai yang didapati melepak sehingga meningkatkan imej kawasan sekitarnya.

A ah, memang, gambar nombor dua nampak lebih bergaya. Mungkin mereka lebih cerah, dan kelihatan lebih kaya.

2 comments:

kingbinjai said...

oh banyak perkara boleh diaplikasikan lagu bangau o bangau ni laa

mukhsen_x said...

ha ha, ia merupakan asas dalam falsafah pemikiran rasionalistik. wakaka.