Sunday, February 14, 2010

Gerakan Anti-globalisasi dan Negara Dunia Ketiga.

Kelemahan besar gerakan anti-globalisasi (mungkin terma yang lebih tepat ialah gerakan keadilan global-saya lebih suka yang ini, anti-globalisasi korporat atau anti-kapitalis) ialah kurangnya dukungan daripada masyarakat dunia ketiga, yang ironinya menjadi salah satu subjek yang diperjuangkan oleh gerakan ini akan kebajikannya. Perkara ini terjadi memandangkan ternyata sebenarnya proses globalisasi dan liberalisme ekonomi telahpun banyak meningkatkan taraf hidup masyarakat dunia ketiga, melalui perindustrian terutamanya dan diperakui oleh ramai ahli ekonomi dengan statistik-statistik yang memperlihatkan peningkatan ekonomi secara mendadak apabila pasaran liberal diamalkan. Contohnya, di negara kita, berbanding dengan tahun 70-an dan 80-an, dasar perindustrian pada tahun 90-an dengan kewujudan zon-zon perdagangan bebas telah mengubah landskap ekonomi negara, mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup (saya masih ingat pada waktu itu, operator pengeluaran sangat berlagak dengan gaji 1K mereka dan saya sebagai pelajar sekolah pernah terfikir untuk berhenti sekolah dan kerja kilang).

Secara mudah; sekiranya pelabur tidak datang, maknanya tidak ada pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik sebagaimana yang dikatakan oleh bekas konsulat Mexico di US, “di negara miskin seperti kami, alternatif kepada pekerjaan dengan gaji yang rendah, ialah tiada pekerjaan langsung.” Hujah-hujah inilah yang dipegang oleh ahli ekonomi arus perdana lalu menunding gerakan keadilan global sebagai neo-komunis/sosialis lalu Naomi Klien itu ialah Karl Marx dan No Logo itu ialah The Comunist Manifesto. Nampaknya sekarang, mereka sedang menjuih-juih bibir, mengejek-ngejek gerakan ini sebagai gerakan kemanusiaan radikal golongan muda pencari dunia utopia yang akhirnya akan mampus seperti komunis. Kapitalis tak akan mati.


Ya, mereka mungkin tak akan mati. Tapi kita yang mungkin akan pergi mampus. Salah seekor Harimau Asia kelihatannya tidak lagi segarang dulu. Kenapa?


Saya bukannya ahli ekonomi (paling tinggi gua belajar ekonomi asas je masa sekolah menengah), lalu inilah pandangan saya sebagai rakyat marhaen yang bekerja, makan gaji dan berbelanja, iaitu; ekonomi negara kita pada masa sekarang tidak lagi segagah dulu. Perkara ini rasanya bukan saya seorang sahaja yang menyedarinya, malahan oleh ramai orang di sekitar kehidupan saya. Secara tiba-tiba, wawasan 2020 yang suatu ketika dulu bagaikan puteri yang sangat rupawan yang telah kita pikat, yang hanya menunggu hari nikah untuk kita rangkul dengan pelukan erat, kini sudah mulai menjauh. Sekarang, kita ini berdebar-debar memikirkan kemungkinan-kemungkinan pertunangan yang telah diikat itu akan putus di tengah jalan atau tertangguh untuk jangka masa yang kita sendiri tidak dapat meramalnya. Impian untuk menjadi negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020 kelihatannya nampak kabur dan diperakui sendiri oleh Mahathir (disini). Kenapa? -selain daripada menyalahkan kelembapan ekonomi dunia- KENAPA?

Secara mudah kerana kita tidak ada fundamental perindustrian yang kuat. Kita menyediaan barang yang akan dijual oleh orang lain. Revolusi perindustrian di barat memakan masa yang sangat panjang untuk menjadi sangat gagah, sedangkan revolusi perindustrian negara kita hanya melalui pembukaan zon perdagangan bebas. Revolusi industri di barat disertai dengan penciptaan dan inovasi baru, tepi revolusi industri di negara kita tugas juruteranya hanya memeriksa produk. Berbanding Taiwan dan Korea, perindustrian di negara kita didominasi oleh multinasional asing. Berbanding kedua-dua negara ini Kita gagal membina satupun industri tempatan yang benar-benar gagah. Perwaja? Proton? (heh). Kebergantungan kepada pelabur asing nampaknya hanyalah seperti bergantung kepada seutas tali yang boleh putus bila-bila masa. Mereka tidak bersimpati pun dengan keperluan negara.


Korporat Kapitalis Multinasional Global berkata kepada kita, “Nah, sekarang aku sepak punggungmu!”


Kita ini tidak lagi berguna apabila kilang-kilang di zon-zon ekonomi bebas kepunyaan kita tidak dapat menghasilkan produk yang paling murah untuk dijual oleh kapitalis korporat ini. Mereka boleh mendapatkannya di Indonesia, Filipina, India dan terutamanya China dengan harga yang lebih murah. Berapa banyak kilang-kilang terutamanya elektronik di negara kita yang telah bungkus. Akhirnya, ianya seperti putaran ganas kemiskinan, untuk mengekalkan pelabur ini, kita perlu bertahan dengan kos yang paling murah. Kerana itu, sejak tahun 1999 hingga sekarang, gaji asas pekerja kilang tidak berubah-ubah. Pendapatan ini ternyata tidak cukup bagi menampung kos hidup yang meningkat dengan sangat cepat pula. Pekerja tempatan tidak dapat bertahan dengan gaji yang tidak pun dapat menampung kos hidup dan kerana itu pengusaha kilang terpaksa menggajikan pekerja asing, lalu berlakulah diskriminasi terhadap pekerja tempatan.

Kita menyedari perkara ini, dan kerana itulah diperkenalkan pembangunan modal insan untuk melahirkan manusia yang kreatif dan inovatif dan etc. etc. (dasarnya cukup menarik, tetapi perlaksaannya dalam pendidikan yang ada sekarang sangat saya ragui kebolehberjayaannya, tetapi isu ini walaupun sangat kritikal, kita ketepi dahulu). Kita tidak mahu lagi menjadi pembuat produk semata-mata, sedangkan jenama dipegang oleh orang lain dan dijual pula kepada kita dengan harga yang tinggi. Katakanlah kita berjaya melahirkan modal insan gemilang, yang dapat menghasilkan produk yang mencapai strandard antarabangsa, tetapi adakah produk-produk baru yang dicipta ini dapat bersaing dengan jenama-jenama antarabangsa? Persoalan utama, adakah jenama produk kita mampu bersaing dengan jenama gergasi korporat? Adakah Kasut Gombak dapat bersaing dengan Nike? Proton bersaing dengan Honda? Proton gagal dalam mengeksport jenama mereka.

Secara umumnya, inilah antara hujah yang boleh dipakai oleh gerakan anti-globalisasi bagi mendapatkan dukungan daripada golongan kiri, terutamanya bagaimana penindasan dan ketidakadilan berlaku dalam gerakan ekonomi liberal neo-kapitalis melalui monopoli multinasional gergasi atau kolonialisasi cara baru.



-Penafian. Anti-globalisasi bukanlah satu gerakan nasionalis yang benci kepada pendatang, contohnya; atau gerakan jumud yang anti kepada nilai-nilai global, tidak meraikan kepelbagaian; atau politikus yang takut kepada keterbukaan maklumat di dalam internet; atau orang yang keras mempertahankan nilai tradisinya, lalu melihat nilai-nilai lain sebagai ancaman. Untuk pemahamam dengan lebih terperinci, sila baca No Logo oleh Naomi Klien yang boleh dibaca percuma di sini. No Logo telah diiktiraf sebagai “kitab suci* gerakan militan anti-korporat.”

Oh ya, Naomi Klein adalah seorang Yahudi, tetapi berita baik kepada golongan semua-ini-adalah-propaganda-yahudi, Klein juga dibenci oleh orang Yahudi. Ada Facebook “Ban Naomi Klein” yang ironinya digerakkan oleh orang Yahudi. Dalam komen-komen anda boleh lihat, betapa pendukung zionis membencinya.

*aku nak tulis “Quran” bagi menterjemahkan metafora “Bible”, tapi tak pasal je karang. :P.

No comments: