Freud berpendapat, mimpi boleh menginterpretasi keinginan bawah sedar dengan mengkelaskan maksud simbol tertentu berdasarkan imej-imej dominan. Kesilapan Freud adalah tidak menyedari atau mengabaikan perbezaan individu (malahan saya fikir secara umum, diulangi dalam teori-teori beliau yang lain). Setiap individu mempunyai imej masing-masing bagi menggambarkan sesuatu perkara. Contohnya, bagi membayangkan laut di dalam fikiran, terdapat perbezaan seperti kedudukannya (tepi pantai, atas kapal di tengah laut, dalam laut) gambaran (kelam, cerah), suasana (ceria, muram, sepi, meriah), dan sebagainya. Selain itu, imej yang wujud dalam mimpi adalah sangat tidak konsisten untuk membuat interpretasi daripadanya. Malahan, selalunya ia tidak bermaksud apa-apa, hanya imej-imej rawak yang dikutip oleh otak ketika kita sedang tidur (Apabila kita tidur, otak kita sedang berehat, tetapi tidak mati, lalu ketika inilah otak yang masih bekerja secara pasif menggerakkan mimpi kita dengan imej yang dipetik secara rawak, dan selalunya imej yang paling kuat wujud pada ketika itu).
Imej ini datangnya dari persekitaran dan pengalaman hidup kita, begitu juga naratifnya. Tetapi kerana sifat rawaknya, selalunya naratif itu adalah tidak masuk akal, aneh, absurd, dan melampau. Peristiwa-peristiwa yang mengejutkan yang kita telah alami seperti kematian keluarga terdekat mungkin akan masuk ke dalam mimpi kita apabila tidur. Imej-imej ini juga mungkin boleh datang daripada filem-filem yang kita tonton, atau imaginasi yang kita cipta apabila membaca buku. Mimpi berlaku daripada sisa-sisa kesedaran ketika kita sedang tidur. Mimpi yang paling jelas dan kuat gambarannya adalah apabila tahap kesedaran itu tinggi. Kebiasaanya awal dan penghujung waktu tidur. Mimpi juga adalah satu naratif yang tidak kita dapat kawal dengan minda sedar kerana kita sedang tidur dan otak berada dalam keadaan pasif.
Pagi tadi aku mimpi sebuah kemalangan ngeri. Langgar pokok. Penumpang belakang tak sedar diri. Ada dua orang yang tersangkut di pintu sebelah penumpang hadapan, terhimpit, seorang tersangkut celah kelangkangnya (wajahnya adalah wajah seorang kawan). Ada banyak darah yang keluar dari celah itu. Orang ramai berpusu-pusu datang. Kedua-dua yang tersangkut itu berjaya melepaskan diri, lalu terbaring di atas tar jalan. Mimpi itu fokus kepada kawan yang pecah kelangkangnya yang mengerang sehingga terangkat-angkat badannya menahan sakit. Tulang lengannya terkeluar di atas bahu. Keadaannya sungguh tersiksa. Ada suara yang mengajarnya mengucap, tapi bukan suara aku. Aku tak nampak orang lain dalam skrin mimpi tersebut kecuali mangsa, sebelum tiba-tiba muncul tangan memegang telefon bimbit menghalang penglihatan, kemudian muncul lagi satu, dan lagi satu tangan dengan telefon bimbit. Wth? Aku kata dalam hati. Mereka sedang merakam video telefon dan mengambil sudut yang lebih dekat dengan wajah mangsa mungkin sebab kamera telefon, zoom & pixelnya kecil. Tiba-tiba aku teringatkan sesuatu, lalu terus tersedar. Aku teringat aku tertengok video youtube yang menunjukkan kemalangan maut semalam (video tu tak tunjuk pun keadaan mayat, hanya yang telah bungkus dengan surat khabar). Patutlah mimpi aku tu macam dari kamera telefon. Resolusi kecil dan bergoyang. Keadaan paling horror dalam mimpi tu bukannya kemalangan, keadaan mangsa, atau penderitaannya, tapi bila kamera telefon tiba-tiba muncul. Horror! Sampai saat matipun, kamera telefon akan mengekori anda sebelum dikongsi dalam tiub.
1 comment:
Freud!!!
Post a Comment