Wednesday, October 24, 2007

Ho ho


Masyarakat Felda adalah contoh masyarakat sosialis + kapitalis. Rohnya adalah sosialis, jasadnya adalah kapitalis. Berdasarkan gambar di atas, yang mana satu ialah aku? ho ho

Monday, August 06, 2007

Maskara 3

Aku bukan penyair
aku penipu


Lepas tingkatan 1 ini adalah pertama kali membaca puisi di hadapan khalayak. ha ha, gua tiba-tiba macam tak berapa bersedia. Gabra. Ha ha.

Friday, August 03, 2007

Antara kopi dan TV


Ini adalah puisi pertama dan terakhir saya di dalam akhbar. disiarkan pada 8 september 2002. Di celah-celah puisi kemerdekaan. Saya agak skeptikal terhadap puisi kemerdekaan kerana beranggapan ia cuma puisi slogan. Dan puisi saya pada ketika itu agak skeptikal, juga. Tetapi apa yang saya suka ialah apabila ia berkongsi ruangan dengan cerpen Lee Koek Chih ; Patung dari Rusia. Saya adalah antara peminat beliau selain meminati Azman Husen yang banyak menulis cerpen di dalam akhbar ketika itu.

Maskara 3


Lama tak online. pergi bertapa. 4 hb akan pegi maskara. Ramai-ramai jemput hadir. Sila beri tunjuk ajar.. maklumat lanjut : http://sol-jah.blogspot.com/

Sunday, June 10, 2007

tenggelam dalam biru(s)

Aku ini kapal yang karam
hilang dan tak diketahui
dalammu aku mati.

Aku tiada kerana aku tenggelam
dalammu aku tersembunyi.


Ada muzik 60-an. Kemudian rock. Ketua pemuda sedang karaoke. Metalasia. Dengan suara garau. Anak-anak dara dengan mekap tebal. Penanggah bergurau lucah. Bapa pengantin ketawa. Bersalam dengan YB. Aku lihat kamu di situ. Semua jadi sunyi. Biru(s).

Thursday, May 31, 2007

HUJAN

Budak perempuan itu memang selalu begitu
comot
ibunya gila dan selalunya dikurung di rumah
dan budak perempuan itu tidak pernah ke sekolah
“aku juga akan gila seperti ibu”
bila kami lihat ibunya bermain hujan seperti kanak-kanak
ah, sampai kini aku masih lagi mengagumi hujan
seperti kanak-kanak.

DI ATAS JAMBATAN

Di bawah air mengalir perlahan
aku lihat bayang-bayang langit dan awan
aku mahu lemas di dasarnya
tanpa udara dan cahaya
aku lihat bayang-bayang langit dan awan

Motokar dan orang yang lalu lalang
membuat sunyi tambah keras himpitannya
aku melihat ke bawah; air mengalir tenang
“adakah di sana ada syurga?”
aku lihat hanya bayang-bayang langit dan awan

Wednesday, May 30, 2007

Belum dikenalpasti

Selepas Sultan Mahmud mangkat di julang, Orang Laut mula tersisih dari istana. Mereka menghindar ke pulau-pulau kecil sekitar perairan Tanah Melayu, menjadi lanun, merompak pedagang-pedagang Eropah dan China. Salah sebuah kumpulan lanun yang tidak bernama diketuai seorang lelaki gelap dan bertubuh sasa, dengan tangkal-tangkal melilit lengan, bisep, kaki, pinggang dan dikalung di leher, dari keturunan yang pernah sangat dekat dengan istana kesultanan Melaka, lalu dia dihormati dan digeruni pengikut dan lawan.
Suatu hari kami bertemu di kuala Sungai Pahang, aku mahu mencari barang dagang untuk dibawa ke Riau, atau ke Melaka. Dia ditemani dua orang pengikutnya, yang senyap dan mengekori setiap langkah, seperti bayang-bayang, dan seperti sahaya. Kami saling kenal kerana sama-sama pernah berhamba dengan Sultan Mahmud, si homoseks yang kami bernasib baik kerana tidak punya wajah cantik. Kami juga sama-sama menyisih dari istana bila Bendahara menaiki takhta, kerana kami sama percaya pada prinsip bahawa sesekali Melayu tidak akan pernah derhaka kepada rajanya, apatah lagi mengakui orang yang telah berkomplot membunuhnya. Kata orang, itu prinsip yang bodoh, tetapi begitulah, kerana orang bijak selalunya tidak punya prinsip, lalu kami senang dengan kobodohan yang ditafsirkan sebegitu.
Namanya Saleh, dan untuk beberapa tahun setelah kami meninggalkan istana, aku lihat dia semakin kurus dan gelap, hingga aku hampir-hampir tidak dapat mengecam dengan rambut panjang dan jambang yang tidak diurusnya. Kemudian kami bersapa-sapa seperti lagaknya dua orang sahabat yang telah lama tidak bertemu, bertanya khabar itu dan ini, berbasa-basi sebelum percakapan mulai berkisar hal-hal besar lalu intonasi yang mesra mulai mendatar dan kaku.

“Aku mahu langgar Riau.”

Celaka lelaki ini, aku tahu dia punya cita-cita besar, tetapi melanggar Riau adalah cita-cita yang tidak pernah aku jangkau akan ada dalam pemikiran Orang Laut yang sejak azalinya penyetia yang membuta tuli.

“Aku mahu langgar Riau dan kahwin sama Kamariah.”

Tuesday, May 29, 2007

Ana

Dunia ini dipenuhi sampah, kamu sapu dan bakar menjadi debu dan asap, kamu lega ia lenyap, tetapi ia akan datang juga hari esok, oh bukan, malah sesaat selepas kamu bakar ia. Jadi biarkan dunia ini berputar, sehingga suatu hari mereka akan terlenyap sendiri, manusia sampah yang tamak akan membuat lebih banyak sampah, jadi jangan khuatir, tidak perlu mati-mati revolusi, mereka akan celaka sendiri-sendiri, tidak perlu disapu ombak besar atau dibakar lava gunung berapi, mereka akan membakar diri mereka selepas sedar betapa mereka hina sebagai manusia. Mereka tidak akan mati, tetapi mereka tersiksa oleh kesedaran betapa mereka wujud sebagai sampah. Kepuasan itu cuma datang sekejap, cukup sekejap hingga mereka tak pernah merasa puas, demi Tuhan sehinggalah mereka kuasai seluruh dunia dan isinya, mereka telan seperti kanibal kerana kata mereka itulah puncak perasaan kepunyaan, ia tidak akan! Selepas itulah mereka akan tersiksa bukan kepalang, bila mereka kemudian setelah tidak mampu lagi merasa apa-apa kecuali kekosongan.
Kita tidak akan menemui utopia kerana ia utopia, cuma memperakui kesucian kita sebagai bukan sampah sudah cukup menciptanya dalam pemikiran-khayalan kita. Tetapi sebenarnya siapakah kita, dalam golongan mana jasad yang sedang kita akui sebagai diri sendiri ini berdiri, malah aku juga? Dimanakah garis sempadannya?
Ah, kesunyian selalu membuat aku keliru. Di atas meja ada surat dari Ana. Aku sepatutnya renyukkan dan campak ia sebagai sampah, atau bakar menjadi debu dan asap, lalu lenyap. Tetapi ia masih di atas meja, di sebelah buku-buku yang aku baru pinjam dari perpustakaan, aku tidak lagi membukanya, tapi aku sangat pasti ia dari Ana. Kenapa kita mempunyai perasaan cinta tuan-tuan? Aku percaya ia bukan semata-mata supaya perempuan beranak dan menerus zuriat, menyambung kesinambungan manusia di muka bumi, supaya ia tidak pupus dan terus imortal. Tetapi aku juga percaya cinta itu tidak pernah suci. Semua orang menagih cinta kerana mereka percaya melalui itu mereka akan meraih sesuatu, yang selalunya dicita kebanyakan kita sebagai kebahagiaan. Kita mahu cinta kerana mahu bahagia, tanpa sedar ia penuh dengan kekotoran, tipu muslihat, kebencian, khianat dan rasa bersalah di dalam pundinya. Seperti isi surat berenvelop biru di atas meja itu, ya, pasti, aku sangat pasti seperti isi surat itulah kalau nanti aku baca ia.

Monday, May 28, 2007

Kamu Melengkapi Aku

Ini telahpun dipos dalam blog lama aku. Tapi peduli apa, aku sangat suka dengan ini puisi, kalau buka satu lagi blog pun, aku akan letak juga, ha ha.

YOU FIT INTO ME
(Margaret Atwood)

you fit into me
like a hook into an eye

a fish hook
an open eye

KAU SECOCOK PADAKU

Kau secocok padaku
Seperti cangkuk ke dalam mata

Cangkuk ikan
Mata yang terbuka

Sunday, May 27, 2007

Abstraktionisme / Intelektualisme Kejam.

Biarlah aku namakan ‘abstraktionisme kejam’ sebagai cara penggunaan konsep-konsep yang mungkin dapat diterangkan sebagai;
Kita memikirkan satu situasi konkrit dengan mengupas satu demi satu beberapa perkara yang menonjol atau penting didalamnya, dan memberi pengkelasan berdasarkannya, kemudian, bukannya dengan menambahkan karektor-karektor sedia ada kesemua kosekuen-konsekuen positif yang mungkin boleh membawa kepada pemikiran cara baru, kita terus sahaja menggunakan konsep sendiri yang serba mengurangkan, mengurangkan kekayaan fenomena asal kepada cadangan-cadangan togel yang namanya diambil secara abstrak, menganggapnya sebagai kes ‘bukan apa-apa melainkan’ konsep tersebut, dan memperlakukan seolah-olah karektor-karektor lain yang di luar konsep yang digunakan telahpun dilenyapkan… Lebih daripada separuh masalah ahli metafizik dan logik berikan kepada mereka sendiri terhadap paradok-paradok dan teka-teki dialektik alam, aku percaya dapat dikesan pada puncanya yang secara relatifnya mudah. Pengurangan secara kejam penggunaan karektor-karektor abstrak dan nama-nama kelas, yang aku yakini, sebagai salah satu dosa-dosa besar-tersendiri pemikiran rasionalistik.

(William James, 1975)

Wednesday, May 23, 2007

budaklembu

Pukul 2, waktu libur sudah tamat. Aku keluar dari kongsi yang pengap dan penuh plastik megi untuk menyambung kerja. Hanya pekerja pembinaan macam kami ini sedar betapa panasnya khatulistiwa di nusantara. Betapa matahari yang berjasa itu selalu menyiksa orang-orang miskin, dan lapar. Sarung tangan kain aku selitkan di poket belakang jeans 501 siam, bersama pemutar dawai. Jeans yang penuh dengan kesan hitam karat besi-besi, dan koyak di lutut. Inilah real rockers, dude, aku tanamkan konsep dan label kewujudan aku sebagai individu yang berhak di dunia.
”Wei, brengset lu, topi aku!”
Sukarno yang telah sedikit jauh ke depan, berpaling dan tersengih, seperti kerang bakar busuk. Di atas kepalanya dua topi bertindih, menjadikan imej keseluruhan kepalanya besar, tidak seimbang dengan badan kurus kecilnya.
”ha ha, kamu ngak perlu pakei, ini matahari udah itamkan kamu sampai ke hati!” sambil jarinya menunjukkan ke tengah dada. Aku menunjukkan isyarat jari tengah. Gelak-gelak, Sukarno membaling topi aku, terbang macam ufo, aku cuba tangkap tetapi jatuh ke tanah.
Topi besar itu mungkin hampir besar seperti topi Mexico, walaupun tetap hitam akhirnya dipanggang matahari terik, sekurang-kurangnya kepanasannya taklah terasa sangat. Masa kerja baru nak bermula, di tapak bina memang sangat panas, semuanya lapang terang tanpa tempat teduh. Semua pokok-pokok sudah hilang dan bukit-bukit lenyap jadi tanah tandus berdebu. Macam tanah tandus di Chihuahuan, ada tompok-tompok rumput layu yang ditekap di lereng cerun.
Aku pegang bahagian atas topi dengan palma tangan, dan dengan pantas menyerungkupkan kepala. Penuh dan muat-muat. Aku menyepak tanah yang berdebu dengan but getah hitam yang tingginya hingga ke betis supaya kaki aku benar-benar masuk dengan sempurna letaknya. Debu-debu berterbangan. Aku terasa macam budaklembu.
c’mon boots!

Monday, May 21, 2007

Kopi dan Sup

Di mana ibumu, sayang?
Bergelandangan seorang.

Malam kian larut
Bulan tak selalu bercahaya
Kemari
Ini kopi dan sup
Buat menghilang dahaga dan
memberi hangat.

Ini bukan dunia baik sayang
Syaitan merata-rata
Kadangkala mereka membawa api
Lampu yang akan membakar kamu
Kadangkala mereka memberi kopi dan sup
Supaya kamu tertakluk.

Friday, May 18, 2007

Membenarkan kebodohan :-o

"Ahli politik itu dipandu oleh kuasa, kerana itu mereka menjadi bodoh. Dalam sedar atau bawah sedar, dalam mimpi atau selepas mereka bangun pagi, mereka benarkan kuasa memperbodohkan cara mereka berfikir, dan cara mereka bertindak." Aku bersandar pada kerusi plastik merah kedai mamak yang tidak empuk, silangkan kaki kiri di atas peha kanan, seperti keenakan seorang cendikiawan, yang dinterbiu wartawan akhbar. Nasre hanya tersengih dan dia menggaru kepala, "kamu," katanya, "kamu penyair dipandu oleh cinta, kerana itu kamu menjadi bodoh." Kemudian mengulang frasa yang aku sebut, "dalam sedar atau bawah sedar, dalam mimpi atau selepas kamu bangun pagi, kamu benarkan cinta memperbodohkan cara kamu berfikir, dan cara kamu bertindak".

Oh lihat, betapa bodohnya politikus ini, dia pemelagiat!

apa-apapun

(Ia pun diam-diam menjadi cinta
seperti telah engkau maklom
dan hilang semula
seperti telah engkau maklom)

fata
mor
gana

Thursday, May 17, 2007

seorang budak dirogol dan mayatnya dicampak ke dalam semak

Kupu-kupu
Terbang rendah
Antara celah-celah
Rumput liar
Yang tidak aku tahu
spesisnya.

Aku sunyi
Terbaring dan kaku
Matahari tengah hari
Tidak menyakitkan tubuhku
Yang telanjang
Dan mulai reput.

Ulat-ulat
Cepatlah
Lenyapkan jasadku
Dari dunia.

:-P

Apabila aku mulai ragu-ragu untuk menulis, celakalah, ia pun menjadi racun, menjalar dalam urat saraf, dibawa oleh darah ke otak. Ragu-ragu itu kemudiannya membengkak, menyempitkan pemikiran-pemikiran, dan menepu, menjadi bodoh seperti ahli politik, neraka betul, aku baru setahun setengah di universiti. Agaknya aku dimakan sumpah akujanji.

Tuesday, February 20, 2007

diskriminas

Kamu ialah sejenis rumput
dilukiskan dengan tergesa-gesa
pada sebuah lukisan
pemandangan desa
aku boleh lihat garisan hijau
dengan strok cincai
yang disengaja.
”Aku” katamu
seperti puisi
pada minum petang feudal
dan formal.

Monday, February 19, 2007

3 kaedah membaca "Hujan" (ho ho)

Hari ahad yang mendung. Sangat kool membaca sebuah tulisan Zaharah Nawawi dalam Mingguan Malaysia.

HUJAN
Hujan semakin lebat
Payung tuaku yang patah jemari
Terbalik ke atas lalu terlipat
Tatkala diterjah titis-titis dingin
Beserta angin
Yang kian keras datangnya.

Anda boleh menikmatinya dengan hanya menvisualkan sebagai imej sebenar, seorang yang sedang mengharung hujan lebat dengan angin ribut dan payung terlipat. Kedinginan dan tak berdaya. Imej melankoli dan sedikit tragedi. Sebuah gambaran mudah yang indah. Atau anda membuka selimut dingin pada sajak ini, sama ada mengupas satu-satu, baris demi baris, perkataan demi perkataan, atau boleh sahaja menyingkap daripada keseluruhan imej yang cuba digambarkan, menikmatinya sebagai sebuah jasad yang lengkap, tidak berpisah pada setiap baris dan katanya. Lalu sosoknya ialah sebuah misteri yang cantik dan menghairahkan. Seperti gambar nude seorang feminis.

Tuesday, February 13, 2007

anti kolonial

"Adalah sangat salah menyatakan kepada seorang manusia, 'bagi aku potong kaki kamu dan gantikan dengan kaki palsu, yang lebih bagus dan cantik,' bagi aku biarlah kita berjalan dengan dua kaki kita sendiri."

Ngugi wa Thiong’o

Wednesday, January 17, 2007

NATIVITI

sori, ini aku petik dari majalah NATIVITI:

"Rasa gua kita hanya patut baca buku yang menggigit dan menyengat. kalau buku yang kita baca tak kasi kejuts macam tengkorak kena hentak, apa kes beb?"

-Franz Kafka

Biasanya bagi aku, secara sifir mudahnya, penulisan atau buku yang bagus adalah yang dapat menggerakkan aku, sama ada secara ideanya atau secara semangatnya untuk menulis pula. Nativiti aku dapat dari Vovin dua hari lepas, dan sejak itu, ia telah menggerakkan aku menulis dua buah cerpen dan tiga buah sajak. Jadi Nativiti memang sudah menghentak tengkorak aku. Moga-moga menghentak tengkorak korang pulak.
(Oho, kalaulah ia sirkulasi bulanan)

Thursday, January 11, 2007

resolusi

Mereka berlima menyewa sebuah rumah di perumahan pangsa 4 tingkat PKNS, punya dua bilik tidur dan satu bilik stor di seksyen 6, Shah Alam. Rumah mereka di tingkat yang paling bawah, lantainya melekat ke tanah. Sekiranya hujan lebat, terutamanya dalam musim monsun, air yang agak hanyir akan masuk ke rumah mereka dari lantai yang telah retak di bahagian dinding. Bilik akan menjadi lembab dan di bawah tikar getah, air berwarna hitam melekat padanya seperti gam yang disapukan pada kertas. Kadangkala mereka terpaksa melapik helaian kertas akhbar yang tebal sekiranya air masuk terlalu banyak dan menggenangi lantai.

“Guna simen kalis air,” cadang Redza, seorang pelukis pelan sebuah syarikat jururunding arkitek, yang kemudiannya mereka adukan pada tuan rumah. Tuan rumah mahu PKNS bertanggungjawab kerana bayaran perkhidmatan telah dibayar setiap bulan. Dua kali mereka mengadu pada PKNS, dan jurutekniknya datang sebelum lenyap dalam kabinet fail, pangkalan data, carta alir kerja dan pembahagian tugas, sistem-sistem yang membentuk makhluk gergasi birokrasi yang digeruni.

Rumah ini sempit, lembab dan suram. Satu-satunya hiasan dinding adalah gambar Osama Laden sedang tersenyum yang digunting Husen daripada akhbar The Star, digantung seperti gambar dewa.