Friday, March 19, 2010

Politik (penafian)

Terdidik oleh bapa yang bersekolah di Semanggol, sejak kanak-kanak saya sudah terdedah dengan politik. Mendewasa dengan bacaan-bacaan kiri, melihat politik adalah seperti melihat sisi-sisi hitam dan gelap manusia, lalu perkara yang paling saya hindar ialah politik, walaupun dalam pertubuhan kecil seperti pertubuhan kompang. Benci terhadap politik ialah benci terhadap fundamentalnya, iaitu; kuasa. Benci terhadap manusia yang lupa diri apabila punya kuasa. Benci terhadap sikap sombong, oportunis, pura-pura, tamak, angkuh, lintah darat, bodoh, bermuka-muka, yang selalu anda nampak terpakai di wajah-wajah politikus di balik topeng muka mereka. Benci terhadap perspektif; politik adalah peluang, sama ada untuk kuasa, darjat, wang dan perghormatan.


Tetapi saya tetap suka melihat politik. Agaknya, seperti menonton perlawanan laga ayam atau sukan. Saya menyokong ini, kamu menyokong itu, mari kita lihat siapa yang menang! Dan dari situ ada drama yang dipersembahkan, bukan hanya mereka yang sedang bertinju di atas pentas, tetapi drama di kalangan penonton. Ada strategi, ada medan tempur dan ada analisis. Ya, sekadar itu sahaja saya melihat politik. Tidak lebih, dan kurang. Tidak sampai menjadi idealogi, tidak juga pemegang bendera atau ahli berdaftar. Tidak bersalam sambil mencium tangan, tidak ada rasa rendah diri pada sosok lain atas dasar pangkat politik kerana saya kira mereka dipilih oleh kita untuk memberi khidmat kepada kita. Secara mudah pangkat politik yang diperolehinya, adalah pemberian dari kita. Saya cuma hormat pada orang yang wibawa. Kalau ia pemimpin yang wibawa, maka layak untuk saya menghormatinya. Saya fikir wibawa seseorang adalah pada integriti, kebijaksanaan, kebolehan, kecekapan dan sifat-sifat baik. Kalau ada pada seorang tukang pembancuh simen dari Kemboja (dalam konteks pekerjaan dan tanggungjawabnya), maka saya akan menghormatinya, tetapi kalau tidak ada pada seorang menteri perdana, saya tidak akan menghormatinya.



Daripada penafian ini, saya fikir saya akan mulai menulis tentang politik.

2 comments:

Anonymous said...

topik menarik. aku nak tengok dari dari sudut pemikiran ko

mukhsen_x said...

he, politik memang menarik. walaupun benci, tapi menarik. hoho.