Dari tempat berdiri di sebelah pemandu, aku kira pekan kecil ini terdiri daripada dua baris bangunan lama zaman kolonial. Pemandu ini tidak perlu masuk ke bahu jalan untuk memberhentikan basnya, dan tanpa khuatir kalau-kalau ada kenderaan-kenderaan di belakang yang mungkin akan membunyikan hon. Aku mengucapkan terima kasih lalu turun dari bas, dan dia menekan pedal minyak, tergesa-gesa meneruskan perjalanannya, menyebabkan asap hitam didesak keluar dari bas uzur dan bercat merah yang terkupas dan menggelembung.
Aku kira waktu itu adalah jam lima apabila pancaran matahari kekuningan menyilaukan mata dan menggigit lengan dan wajah yang telanjang. Dengan palma tangan, aku melindungkan mata daripada sinaran cahaya matahari, dan dengan lebih tajam mataku dapat mengenali kelengangan dan hatiku merasai kesunyian pekan ini. Aku fikir aku tidak akan berlama-lama di sini.
Aku masuk ke kaki lima rumah kedai yang bercat putih lusuh, yang lantai kaki limanya hanyalah kemasan simen tanpa jubin, pecah di beberapa tempat dan memperlihatkan lapisan kasar campuran simen dan pasir. Aku melintasi rumah kedai yang ditutup dengan susunan papan vertikal, rumah kedai yang telah hilang pintu hadapannya (menampakkan bahagian dalam yang suram, kotor, meretak dan berlumut), dan rumah kedai dengan pintu besi yang boleh dilipat berlapis-lapis dengan karat dan cat biru yang telah luntur. Aku membetulkan strap bahu The North Face tiruan 40 liter supaya ia kemas mendukung di belakang badan. Seorang budak lelaki berdiri di kaki lima dan kencing ke dalam longkang.
“hei,” aku senyum padanya.
“Apa hal? Tak Boleh?” dia mengangkat dagunya, memandang padaku dengan wajah angkuh. Aku kira, dari reaksinya dia mengerti yang dibuat itu adalah kelakuan yang tidak patut, ia bukan norma, dia lakukannya bukan kerana ia adalah apa sebaiknya dan biasanya dibuat, tapi sekadar satu kelakuan berontak. Aku tidak perlu mengatakan bahawa kelakuannya itu tidak patut, kurang sopan, kotor, begitu-begini, dia telah tahu daripada awal sebelum dia berdiri di situ. Sebelum kamu menghisap rokok yang pertama, kamu telah tahu bahayanya.
“Itu kecil sangat.”
Aku melintasi budak itu dan tahu yang dia akan cepat-cepat menutup zip seluar dan tidak akan lagi kencing di tepi jalan. Di hadapan sana kelihatan sebuah kedai yang terbuka pintunya.
Bersambung...
1 comment:
Sambungan?
Post a Comment