Wednesday, March 31, 2010

Lalu hanya maaf

Duhai,

Bila sayapku patah,

Aku cuma mampu berserah,

Jatuh bebas,

Tidak memikir-mikir adakah nanti

aku akan terhempas dan mati.



Monday, March 29, 2010

PEMILIHAN CALON HULU SELANGOR

Kelihatannya, seperti ada desakan untuk meletakkan calon Umno di Hulu Selangor. Alasannya mudah, sebagaimana yang dinyatakan oleh 2 orang ahli akademik dalam berita minggu semalam (saya tidak pasti sama ada mereka telah dikangkungkan oleh Hishamuddin Rais atau tidak, nanti saya check, :) ), dan pandangan ahli UMNO dalam berita harian hari ini; iaitu ianya adalah kawasan majoriti Melayu, dan dengan andaian calon PKR dahulu menang kerana beliau adalah seorang melayu. Inilah contoh Ironinya 1Malaysia, selain isu-isu perkauman lain dalam tempoh selepas ianya dilancarkan yang seakan-akan menjadi penikam belakang idea murni PM. Inilah juga contoh klasik isu-isu dalam BN, yang merupakan antara duri-duri dalam daging BN yang tulang utamanya adalah perkauman. Perkauman adalah asas dalam BN kurna penubuhan awal parti-parti utamanya adalah untuk memperjuangkan kepentingan kaum. Kurna itu dapat ditemui politikus yang dilabel ultra Melayu dalam UMNO, ultra Cina dalam MCA dan Ultraman dalam MIC.

Secara mudah dan umum, saya ulang secara mudah dan umum untuk tidak memanjangkan artikel, kemerosotan BN pada 2008 adalah kerana masyarakat India melihat kelemahan MIC dalam memperjuangkan kepentingan mereka, Cina melihat kelemahan MCA dan kedua-dua kelompok ini pula melihat UMNO sebagai keterlaluan, malahan menjulang keris pun menjadi cukup sensasi dan dianggap ancaman (walaupun sekadar satu simbolisme komitmen pemuda UMNO untuk memperjuangkan bangsanya, kelihatannya seperti ada pihak yang terasa perutnya ditikam, anehnya bukan hanya dikalangan DAP, tetapi MCA sendiri- nah, lihat betapa sentimen perkauman itu sangat kuat).

Memendekkan cerita, timbulnya isu pemilihan calon ini adalah didasari oleh perkauman sebagaimana yang dinyatakan di atas. Pada pandangan saya, untuk kebaikan jangka masa panjang (seawalnya kalau tidak dalam piliharaya kecil ini, tetapi dalam pilihanraya umum akan datang), BN perlu mengekalkan calon MIC, dengan syarat calon baru dan tidak terlalu tua, yang fasih berbahasa melayu dan bukannya Palanivel yang merupakan kroni kuat Ultraman itu (yang tidak disukai oleh orang Melayu, dan Cina terutamanya, termasuk juga India). Pertamanya, ia penting supaya nanti tidak dijadikan bahan ketawa PR betapa kosongnya slogan 1Malaysia sekiranya calon dari UMNO dipilih. Satu point yang cukup baik dalam kempen di Hulu Selangor, malahan pilihanraya akan datang untuk PR memperlekehkan 1Malaysia bagi meraih sokongan bukan Melayu.


Keduanya, membuat unjuran sokongan secara mudah; kerana majoriti Melayu, maka calon Melayu ada peluang yang lebih baik untuk menang adalah salah (Kesalahan ini, nantilah, saya huraikan dalam post akan datang). Saya kira, calon India juga mampu meraih sokongan orang Melayu yang cukup untuk memenangi kerusi sekiranya dilihat dari unjuran yang lebih komprehensif dan terperinci yang akan saya tunjukkan nanti.

Kepada PR, terutamanya Anwar, inilah waktu yang cukup baik untuk beliau membuat penjelasan, menangkis serangan-serangan bertalu yang sedang dihadapinya kini, dalam waktu kempen nanti. Dan PR perlu meletakkan calon Melayu kerana calon dari bangsa lain adalah terlalu berisiko, terutamanya sentimen-sentimen perkauman jangka panjang seperti isu kuda tunggangan yang akan dimainkan.

Saturday, March 20, 2010

Politik pasca 2008 (Pengenalan)

Keputusan pilihanraya 2008 adalah satu kejutan. Makanya mereka menggelarkannya tsunami. Dan ada yang lupa diri, menganggapnya sebagai pengakhir hegemoni BN. Tetapi tsunami bukan selalu datang. Ia mengubah pantai sekaligus, tapi cuma sebagai satu kejutan sementara. Mungkin ia membunuh jiwa, mengkucar-kacir daratan, tapi nantinya semua akan balik seperti sediakala.


Agaknya, kerana itu Anwar tergesa-gesa dengan projek 16 Septembernya. Saya kira, bukan atas dasar tidak sabar, tetapi kesedaran bahawa peluang pada waktu itu adalah lebih baik berbanding peluang pada pilihanraya akan datang 4-5 tahun lagi, kerana pasti BN akan bangkit dengan counter-reformationnya. Tetapi bidak 16 September yang digerakkannya, hanyalah gerakan check, bukannya check-mate, raja boleh lari bersembunyi. Malah raja telah ditukar daripada Abdullah kepada Najib. Gerakan check yang punya risiko yang cukup besar, malah dengan askar-askar di belakangnya yang rapuh. Rapuh hubungan antara parti-parti dalam pakatan, malahan kerapuhan PKR sendiri. Secara umumnya Pakatan Rakyat adalah pakatan yang rapuh (Nanti akan dibincang dengan lebih terperinci).


Gerakan counter-reformasi BN sepatutnya cukup lancar dengan masih memegang kuasa persekutuan. Penggantian Abdullah, pelancaran 1Malaysia untuk meraih sokongan masyarakat Cina dan India yang berpaling pada tahun 2008 adalah strategi yang cantik. Tetapi adakah ia mampu untuk mengembalikan kekuasaan BN seperti sebelum 2008? BN sebenarnya ada banyak masalah lain (juga akan dibincang nanti) yang mereka tidak fokus kerana sedang ghairah berlari ke pintu gol lawan dalam gerakan counter attack.


Secara umumnya, waktu ini, pertengahan musim antara pilihanraya lepas, dan pilihanraya akan datang, adalah masa yang kritikal. Ternyata saya fikir, kedua-dua pihak hanya menjalankan strategi-strategi adhoc. Selepas ini, maka ini yang akan dibuat. BN menyerang PR bertahan, PR menyerang, BN bertahan. Serang-bertahan-serang-bertahan lalu melembabkan gerakan ke mana-mana. Mereka sedang lupa, dalam perlawanan mereka, yang menang bukan yang berjaya membuat pukulan K-O atau menjaringkan gol, tetapi yang paling banyak dipilih oleh penonton (rakyat) dalam pilihanraya nanti.


Contoh umum yang paling mudah, ialah apa yang telah berlaku di Perak. Betapa tidak ada hasil yang menguntungkan kedua-dua pihak untuk pilihanraya akan datang, bila mana sokongan Melayu terhadap PR tidak bertambah baik, dan sokongan bukan Melayu terhadap BN tidak bertambah baik. Ia tidak membawa apa-apa makna, sama ada untuk kebaikan parti dalam jangka masa panjang, dan untuk kebaikan rakyat Perak. PR dan BN sepatutnya punya strategi yang lebih baik, strategi jangka panjang, bukan penguasaan satu musim.

Friday, March 19, 2010

Politik (penafian)

Terdidik oleh bapa yang bersekolah di Semanggol, sejak kanak-kanak saya sudah terdedah dengan politik. Mendewasa dengan bacaan-bacaan kiri, melihat politik adalah seperti melihat sisi-sisi hitam dan gelap manusia, lalu perkara yang paling saya hindar ialah politik, walaupun dalam pertubuhan kecil seperti pertubuhan kompang. Benci terhadap politik ialah benci terhadap fundamentalnya, iaitu; kuasa. Benci terhadap manusia yang lupa diri apabila punya kuasa. Benci terhadap sikap sombong, oportunis, pura-pura, tamak, angkuh, lintah darat, bodoh, bermuka-muka, yang selalu anda nampak terpakai di wajah-wajah politikus di balik topeng muka mereka. Benci terhadap perspektif; politik adalah peluang, sama ada untuk kuasa, darjat, wang dan perghormatan.


Tetapi saya tetap suka melihat politik. Agaknya, seperti menonton perlawanan laga ayam atau sukan. Saya menyokong ini, kamu menyokong itu, mari kita lihat siapa yang menang! Dan dari situ ada drama yang dipersembahkan, bukan hanya mereka yang sedang bertinju di atas pentas, tetapi drama di kalangan penonton. Ada strategi, ada medan tempur dan ada analisis. Ya, sekadar itu sahaja saya melihat politik. Tidak lebih, dan kurang. Tidak sampai menjadi idealogi, tidak juga pemegang bendera atau ahli berdaftar. Tidak bersalam sambil mencium tangan, tidak ada rasa rendah diri pada sosok lain atas dasar pangkat politik kerana saya kira mereka dipilih oleh kita untuk memberi khidmat kepada kita. Secara mudah pangkat politik yang diperolehinya, adalah pemberian dari kita. Saya cuma hormat pada orang yang wibawa. Kalau ia pemimpin yang wibawa, maka layak untuk saya menghormatinya. Saya fikir wibawa seseorang adalah pada integriti, kebijaksanaan, kebolehan, kecekapan dan sifat-sifat baik. Kalau ada pada seorang tukang pembancuh simen dari Kemboja (dalam konteks pekerjaan dan tanggungjawabnya), maka saya akan menghormatinya, tetapi kalau tidak ada pada seorang menteri perdana, saya tidak akan menghormatinya.



Daripada penafian ini, saya fikir saya akan mulai menulis tentang politik.

Thursday, March 04, 2010

Aku dan Sekumpulan Perompak

Dari tempat berdiri di sebelah pemandu, aku kira pekan kecil ini terdiri daripada dua baris bangunan lama zaman kolonial. Pemandu ini tidak perlu masuk ke bahu jalan untuk memberhentikan basnya, dan tanpa khuatir kalau-kalau ada kenderaan-kenderaan di belakang yang mungkin akan membunyikan hon. Aku mengucapkan terima kasih lalu turun dari bas, dan dia menekan pedal minyak, tergesa-gesa meneruskan perjalanannya, menyebabkan asap hitam didesak keluar dari bas uzur dan bercat merah yang terkupas dan menggelembung.


Aku kira waktu itu adalah jam lima apabila pancaran matahari kekuningan menyilaukan mata dan menggigit lengan dan wajah yang telanjang. Dengan palma tangan, aku melindungkan mata daripada sinaran cahaya matahari, dan dengan lebih tajam mataku dapat mengenali kelengangan dan hatiku merasai kesunyian pekan ini. Aku fikir aku tidak akan berlama-lama di sini.


Aku masuk ke kaki lima rumah kedai yang bercat putih lusuh, yang lantai kaki limanya hanyalah kemasan simen tanpa jubin, pecah di beberapa tempat dan memperlihatkan lapisan kasar campuran simen dan pasir. Aku melintasi rumah kedai yang ditutup dengan susunan papan vertikal, rumah kedai yang telah hilang pintu hadapannya (menampakkan bahagian dalam yang suram, kotor, meretak dan berlumut), dan rumah kedai dengan pintu besi yang boleh dilipat berlapis-lapis dengan karat dan cat biru yang telah luntur. Aku membetulkan strap bahu The North Face tiruan 40 liter supaya ia kemas mendukung di belakang badan. Seorang budak lelaki berdiri di kaki lima dan kencing ke dalam longkang.


“hei,” aku senyum padanya.

“Apa hal? Tak Boleh?” dia mengangkat dagunya, memandang padaku dengan wajah angkuh. Aku kira, dari reaksinya dia mengerti yang dibuat itu adalah kelakuan yang tidak patut, ia bukan norma, dia lakukannya bukan kerana ia adalah apa sebaiknya dan biasanya dibuat, tapi sekadar satu kelakuan berontak. Aku tidak perlu mengatakan bahawa kelakuannya itu tidak patut, kurang sopan, kotor, begitu-begini, dia telah tahu daripada awal sebelum dia berdiri di situ. Sebelum kamu menghisap rokok yang pertama, kamu telah tahu bahayanya.


“Itu kecil sangat.”


Aku melintasi budak itu dan tahu yang dia akan cepat-cepat menutup zip seluar dan tidak akan lagi kencing di tepi jalan. Di hadapan sana kelihatan sebuah kedai yang terbuka pintunya.


Bersambung...

Wednesday, March 03, 2010

Jiwa

Hati

meluntur seperti pewarna pada baju murah

rasa gelisah jatuh ke abdomen dan menggelora

“aku rasa kesakitan

tapi ini bukan derita”

perasaan pun karam

tenggelam jauh tapi tak pernah menemui dasar

atau mana-mana tempat untuk berbaring.


Fikirku,

“Seperti satu saat yang telah berlalu

berbilion makna telahpun berlepas pergi

dan hilang bersembunyi pada tempat yang paling sukar untuk ditemui”

Tuesday, March 02, 2010

kebas yang menyelesakan

Apabila demam saya akan teringatkan comfortably numb, oleh pink Floyd. Antara sebahagian liriknya:

…When I was a child I had a fever

My hands felt just like two balloons

Now I've got that feeling once again

I can't explain,

you would not understand

This is not how I am

….

Dulu masa kecil, perasaan pada tangan itu selalu datang setiap kali aku demam. Tapi sekarang dah tak ada. Apsal eh? Dah tak dapat lagi. Mungkin aku tak rasa comfortable macam masa kecik-kecil dulu apabila tak ada orang yang meletakkan daun nona yang telah direbus pada dahi, atau memberi selimut tebal, atau menyediakan makanan sedap kerana lidah sudah tidak sensitif.

Aku rasa macam nak balik kampong.