Kata Misbun, ada sesuatu yang “hilang” dalam diri Chong Wei. "Apa yang menjadikan dia begitu, saya tidak tahu”.
Saya kira Misbun tahu apa yang menjadikannya begitu. Saya kira itulah yang mungkin berlaku kepada Misbun suatu ketika dahulu. Misbun bersara ketika berusia 29 tahun. Chong Wei pada tahun ini sudahpun berusia 29 tahun. Secara puratanya, ahli sukan bertaraf dunia bersara ketika berusia 33 tahun. Mahu atau tidak, realitinya bagi kebanyakan bintang sukan, inilah masa-masa kemerosotan. Banyak sebab-sebab yang boleh dijelaskan terutama secara saintifiknya kemerosotan fizikal, kemudiannya mental dan semangat yang tidak lagi sama seperti keghairahan waktu muda dahulu.
Misbun sedar, sekiranya dia kembali kepada Chong Wei, adalah satu keajaiban sekiranya Chong Wei dapat meningkat semula. Semuanya terpulang kepada Chong Wei. Kekuatan mental dan spritualnya sendiri, keinginan dan azamnya sendiri kerana segala macam kemahiran, teknik, helah dan strategi sudahpun berada di celah ketiaknya. Walaupun tidak mustahil untuk ahli sukan bertaraf dunia menyinar semula malah dalam usia yang lebih lanjut sepertimana yang ditunjukkan oleh Dara Torres, Lance Armstrong dan Brett Favre, secara teorinya ia memang sukar. Hanya orang-orang yang benar-benar kuat semangat dan keinginannya sahaja yang dapat mencapai makam tersebut.
Bergantung harapnya kita kepada Chong Wei, adalah kerana tidak kelihatan bintang muda yang dapat memberikan harapan baru. Pengganti Chong Wei adalah kritikal kalau kita mahu terus bernyawa dalam sukan antarabangsa. Mungkin kerana itu Misbun bermatian mahu melatih anaknya Misbun Ramdan. Dengan Chong Wei sebagai sparring partner, hasilnya dalam meningkatkan prestasi Ramdan pasti mendadak. Lambatnya tindakan dalam mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Chong Wei akan menyaksikan hilangnya nama Malaysia dalam rangking 30 pemain perseorangan terbaik dunia yang bakal dikuasai China yang telahpun menguasai kategori-kategori lain.
Dominasi China dalam sukan badminton bagi peminatnya pasti akan jadi membosankan apabila Chong Wei bersara tahun depan sedangkan Cina sudah melahirkan Chen Long. Dalam masa yang sama Lin Dan terus menjarah walaupun Chong Wei sedang bersemayam di tahta rangking. Lin Dan dalam kedudukan yang lain. Kerana itulah orang menggelarkannya, “Super Dan”.
2 comments:
hebat, nampak serba serbi!
aku fikir itulah sebabnya. Daripada percaya cakap2 yang hubungan kedua2 dah renggang, ini lebih baik sikit kot. :)
Post a Comment