Konon bagi memenuhi kehendak orang muda, maka UMNO pun diremajakan. Dari segi harfiah tentu sekali bukan itu yang dimaksudkan. Remaja secara umumnya dalam lingkungan usia belasan hingga 21 tahun, yang tidak layak mengundi. Saya kira apa yang dimaksudkan ialah memudakan UMNO yang ternyata tidak berupaya memenangi sokongan golongan muda, yang dirujuk pada sokongan di peti undi. (Untuk lebih jelas, kategori golongan muda ini dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun). Peremajaan UMNO inilah yang menyebabkan tertubuhnya puteri dan putera UMNO sebagai sayap baru (sedang dalam masa yang sama mendukung AUKU yang tidak membenarkan pelajar berpolitik?) sebagai platform golongan muda menyertai UMNO.
Malangnya apa yang dibuat ialah cuba untuk meremajakan UMNO secara harfiahnya. Proses itu menjadi seperti melayan orang muda sebagai remaja ingusan. Inilah mungkin salah satu contoh bagaimana konsep dan pengkelasan selalu tersilap, sebagaimana yang dikatakan oleh William James sebagai vicious intelektualism. Apabila masalah (golongan muda tidak menyokong) mereka langsung mencadangkan satu konsep penyelesaian (meremajakan UMNO) yang melaluinya telah menghapuskan banyak karektor asal permasalahan.
Soalan utamanya, apa sebenarnya yang diinginkan oleh orang muda daripada pemimpin mereka? Yang boleh berbalas mesej di facebook dan twitter? Atau sama-sama menonton bola di kedai mamak dan menyokong MU? Berkonvoi motor? Berkaraoke? Berseragam pink? Yang cool? Yang memberi wang saku? Bukan! Sebenarnya apa yang kami orang muda mahukan cukup mudah, integriti!
Integriti UMNO sebagai parti dan kerajaan cukup mendukacitakan, dengan banyak salah laku, salah urus, korupsi, menindas, flip-flop dan hipokrasi. Ia bukan sekadar rahsia umum gosip-gosip kedai kopi dan blog, malahan ditonjolkan dengan banyak sikap dan tindakan kepimpinannya dan tindakannya sebagai kerajaan. Kerana terlalu sukar menangkis lemahnya integriti ini, maka alasan yang biasa anda dengar ialah, “ eleh, kalau PR perintah pun sama juga,” ataupun “DAP 100 kali rasis dari kami, ” yang merupakan cubaan menangkis kritikan yang paling dangkal. Maka bersusah-payahlah mereka menggembur-gemburkan salah urus dan salah laku kerajaan negeri PR walaupun lucunya sewaktu pemerintahan mereka tidak langsung mereka pedulikan. Bukankan lebih baik UMNO itu memperkasakan integriti mereka sendiri. Susah sangatkah?
Mungkin orang UMNO tidak nampak jalannya, kerana dengan mata kepala mereka sendiri yang duduk di dalam UMNO melihat begitu payah mengikis sifat-sifat buruk yang sudah menjalar sampai ke akar umbi? (Ini diakui oleh UMNO sendiri akan buruknya politik wang (atau lebih tepat rasuah) di dalam UMNO.) Baik, tidak perlu basa basi lagi, sebenarnya meremajakan @ memudakan UMNO dapat dibuat dengan memperkukuhkan integritinya yang boleh sahaja dicapai saya kira dengan memenuhi perkara-perkara berikut:
1. Gugurkan sahaja pemimpin yang ternyata korup dan punya salah laku. UMNO tidak rugi apa-apa malah lebih banyak keuntungannya. Takkan semua pemimpin dalam UMNO dan kerajaan itu korup kot?
2. Menghapuskan akta yang menyekat, menindas dan jumud seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Polis, Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan sebagainya, bukan menambahkan lagi akta lain. Saya kira undang-undang sivil sedia ada sudah cukup untuk menghukum pelanggar undang-undang.
3. Bersikap adil terhadap semua pihak, malahan pembangkang sekalipun. Ingatlah, tanggungjawab sebagai pemimpin yang ditanyakan Tuhan bukan terhadap ahli parti sahaja, tetapi setiap individu dalam masyarakat walaupun yang paling membenci anda. Bukannya memerangi dan menindas orang yang berbeza idealogi (dan kaum?)
4. Media perdana yang bebas daripada tekanan dan campur tangan politik. Yang tidak berat sebelah. Yang tidak menutup salah laku sesiapa pun. Yang memberi ruang kepada sesiapa pun. Lagipun tidak ada apa yang perlu disorokkan lagi untuk media perdana berfungsi sebagai media yang adil, telus, dan terbuka kerana internet kini juga boleh sahaja kita anggap sebagai media perdana.
5. Ruang yang terbuka untuk berpendapat dan mengkritik tanpa tindakan-tindakan yang tidak adil dan tidak munasabah.
Nah, ia mudah sekali (dan “cool” kalau memang teringin cop itu), cuma yang menjadi penghalang ialah ketidakpercayaan terhadap integriti sendiri. Seperti pesalah yang takut kalau kesalahannya didedahkan bila orang mula bebas bercakap-cakap. Lalu kalau tidak membuat salah, mengapa takut?
2 comments:
ketakutan mereka adalah kemiskinan. takut kalo buta begitu akan hidup susah. biasalah, bila makan dari sumber haram setan banyak dalam perut semua beda jadi takut hatta pada bayang2 sendiri sekali pun.
power = money, money = power. :)
Post a Comment