Melihat polemik perkauman yang memang selalu hangat apabila tibanya Perhimpunan Agung UMNO, saya kira satu kesilapan besar apabila ia dibuat sejurus sebelum PRU13. Ia tidak baik untuk BN, terutamanya dengan cita-cita untuk merampas semula Selangor. Saya melihat, perhimpunan ini tidak lebih sebagai serangan membabi-buta terhadap pembangkang, yang dari segi strateginya tidak membawa apa-apa kebaikan terhadap BN secara keseluruhan.
(Secara umumnya mungkin mereka berjaya menakut-nakutkan orang Melayu, tetapi majoriti golongan yang termakan hasutan ini sememangnya telahpun menyokong UMNO, manakala Melayu terpelajar terutama golongan muda melihat perkara ini dengan lebih terbuka fikirannya terutamanya dengan adanya media alternatif sedangkan kepada masyarakat bukan Melayu (terutama orang Cina), saya kira akan semakin menjauhkan diri dari UMNO atau secara khusus parti yang bersama UMNO dalam BN.)
Sangat jelas perhimpunan ini memang dijadikan sebagai pentas kempen pilihanraya, dengan modus operandi UMNO yang tidak berubah, momokan akan terancamnya kuasa Melayu sekiranya pembangkang berkuasa dengan DAP sebagai kambing hitam pengancam utama orang Melayu dan Islam sehingga memerlukan jihad. DAP dijadikan sebagai axis of evil memperdayakan PAS yang dijadikan kuda tunggangannya, sedangkan PKR tidak lebih sekadar kayu tunggul. Perjuangan ini disucikan dengan mempergunakan konsep jihad, ironisnya meniru apa yang telah dibuat oleh PAS sebelum ini.
Polemik perkauman setiap kali perhimpunan agung UMNO bukan perkara baru. Menyerang UMNO sebagai rasis setiap kali ia bercakap tentang orang Melayu adalah dangkal memandangkan parti itu sendiri perkauman sifatnya. Sudah pastinya UMNO akan bercakap tentang orang Melayu, sebagaimana MIC bercakap tentang orang India dan MCA bercakap tentang orang Cina, kerana itulah sifatnya parti-parti yang membentuk Barisan Nasional ini.
(Kerana itulah saya kira projek 1Malaysia PM agak mengelirukan masyarakat, dan dari segi akan umbinya ia tidak berjaya meningkatkan kesefahaman antara kaum. Kepentingan yang bercanggah antara memenuhi tuntutan konsep 1Malaysia dan tuntutan parti (kaum) yang diwakili menimbulkan salah faham, contohnya bilamana Muhyidin sendiripun terkeliru yang mana mahu didahulukan, Melayu atau rakyat Malaysia. Tetapi itulah UMNO, dan itulah BN, dan itulah Malaysia yang telah dibentuk oleh BN melalui pecah perintahnya).
Sedang Pakatan meremehkan UMNO sebagai parti perkauman, saya kira Pakatan sendiri masih terkial-kial memecahkan tembok perbezaan yang telah lama wujud terutamanya antara PAS dan DAP. Walaupun ada usaha-usaha yang bersungguh-sungguh di kalangan pemimpin tertentu, masih ramai yang pemikirannya terperangkap dalam tempurung perkauman dan idealogi yang sempit.
Meletakkan kesefahaman menjatuhkan BN sebagai yang paling utama dan menyapu ke bawah tikar perbezaan-perbezaan idealogi dan agenda boleh menjadi nanah yang merosakkan selain sebagai sumber rujuk BN untuk meremehkan Pakatan, yang boleh sahaja melemahkan keyakinan rakyat akan kebolehan pakatan memerintah negara. Dari apa yang saya lihat sebagai rakyat biasa yang berada di luar lingkungan parti, saling kerjasama antara pakatan masih belum meyakinkan. Di kalangan pemimpin sendiri masih ada yang agak jumud, yang buktinya dapat kita lihat pada sikap sesetengah pemimpin ketiga-tiga parti sejak awal kemenangan tidak terduga di beberapa buah negeri sewaktu PRU12 sehinggalah menjelang PRU13 ini.
Walau bagaimanapun sebagai orang muda yang sangat cintakan kesaksamaan tanpa mengira warna kulit dan idealogi, secara peribadi saya melihat Pakatan mempunyai harapan yang lebih cerah menghapuskan sentimen prejudis perkauman yang telah sekian lama wujud di negara kita (BN terlalu sempit acuan pemikirannya dengan banyak contoh betapa sentimen perkauman itu terlalu kuat menguasai atmosfera politiknya). Malahan mungkin daripada pemerhatian saya kesefahaman dan kematangan penyokong parti-parti dalam Pakatan adalah lebih baik daripada sangkaan pemimpin pakatan sendiri, contohnya peristiwa-peristiwa sewaktu perhimpunan bersih, dan beberapa peristiwa yang melingkari penubuhan beberapa buah negeri awal kemenangan PRU 2008 dahulu.
Soal yang paling utama ialah; apa yang perlu dibuat oleh Pakatan? Contoh mutakhir sewaktu serangan UMNO terhadap DAP sebagai parti 100 kali rasis dari mereka, apa yang boleh dibuat oleh Pakatan secara kolektif? Membiarkan DAP sendiri menyelesaikannya dan menyapu isu ini ke bawah karpet lagi?
Sewaktu bersih 2.0, ada beberapa peristiwa yang sangat menarik perhatian saya, betapa pada akar umbi terlihat satu perhubungan yang cukup ikhlas, memberi pengertian baru kepada hubungan antara kaum negara kita. Saya tidak mahu bersih 3.0, yang saya kira akan banyak membazirkan tenaga, dan hasilnya pun payah untuk sampai kepada masyarakat umum. Dalam fikiran saya alangkah lebih baik satu perhimpunan agung pakatan dapat dibuat sebagaimana perhimpunan agung parti. Daripada memecah-mecahkan agenda dan strategi politik, mengapa tidak disepakatkan dengan memberi pula peluang kepada pemimpin akar umbi menyuarakan pandangan dan pendapat sebagai satu keluarga pakatan? Hasilnya yang saya kira lebih baik berbanding berarak di jalanan dengan banyak sekatan dan halangan. Harus disedari sosio politik masyarakat Malaysia, adalah tidak sama dengan negara-negara Arab untuk bermimpi berlakunya Arab Spring.
Melalaui perhimpunan agung ini, saya kira banyak isu boleh diketengahkan, daripada dilonggokkannya dan dibiarkan membusuk. Selain membincangkan halatuju dan kesepakatan secara bersama dan menyeluruh, ia dapat pula mengeratkan hubungan antara pemimpin dan akar umbi yang berbeza parti sekaligus menangkis serangan UMNO terhadap keutuhan pakatan dalam Pakatan. Aturcaranya boleh sahaja meniru perhimpunan agung parti, tetapi dengan penyesuaian yang saya kira boleh difikir sendiri oleh pemimpin-pemimpin parti.
Dari segi publisiti, saya kira hasilnya adalah lebih baik berbanding perhimpunan jalanan. Dari segi strategi politik ia dapat pula mendiamkan UMNO yang bising-bising tentang siapa yang menunggang siapa. Mungkin ada beberapa perkara pahit yang perlu ditelan terutamanya berkaitan agenda dan idealogi yang berbeza, tetapi percayalah yang pahit itu ubat. Adalah lebih baik yang pahit itu ditelan daripada membiarkan barah merebak senyap-senyap dan membunuh. Saya percaya, sekiranya perhimpunan ini dapat direalisasikan sebelum PRU 13 nanti, hasil yang positif, dengan izin Tuhan, dapat sahaja dicapai. Syarat utamanya ialah kesediaan untuk saling bertolak ansur dan memahami.
No comments:
Post a Comment