Monday, June 28, 2010

40 ulama dan perubahan UMNO.

Tanpa kemasukan 40 ulama itupun UMNO telah pun Islam. Maka apabila UMNO merasa seronok dengan kemasukan kumpulan 40 itu, maka kita tertanya-tanya atas dasar apa? Adakah sama seronoknya DAP apabila masuknya orang Melayu ke dalam parti mereka atau seronoknya PAS apabila orang bukan Islam menyertai PAS? Maka adakah sebelum ini UMNO tidak disokong ulama sama seperti DAP tidak disokong Melayu dan PAS tidak disokong oleh bukan Islam? Adakah sebelum ini tidak ada ulama dalam UMNO sehingga perlu heboh-heboh? Malahan kumpulan ulama ini katanya “bukan untuk berpolitik walaupun UMNO adalah sebuah parti politik,” lalu menunjukkan yang mereka tidak akan aktif untuk merebut jawatan sama ada dalam parti atau untuk menjadi calon pilihanraya.

Secara asasnya, UMNO mahukan imej-imej Islamik yang telah dikalahkan oleh PAS. Kemimpinan sedia ada tidak mempunyai imej-imej Islamik ini walaupun merupakan parti Melayu yang secara amnya Islam. UMNO adalah merupakan parti nasionalis semi sekular yang konservatif dan kelihatannya tetap mahu mempertahankan pegangan ini. Perubahan imej PAS daripada parti teokonservatif yang keras kepada parti yang lebih liberal menimbulkan ancaman kepada UMNO. Saya percaya, kemasukan kumpulan ulama ini hanyalah usaha-usaha kosmetik bagi menarik golongan Melayu atas pagar yang menyokong PAS seperti artis yang bertudung ketika ke mahkamah syariah untuk urusan cerai atau ditangkap khalwat.

Apa yang diusahakan ini adalah untuk menarik golongan atas pagar yang tidak menyokong UMNO kerana beranggapan UMNO tidak Islamik, dan kumpulan ini cukup sedikit kerana lebih ramai telah pun berdiri di dalam pagar PAS. Dasar UMNO yang konservatif tidak berubah. Saya tertanya-tanya mengapa UMNO tidak mahu menjadi lebih liberal. Ia boleh menarik sokongan cukup banyak, daripada penyokong PKR, DAP dan golongan muda atas pagar. Sedang PAS bergerak ke arah itu, mengapa tidak UMNO? Saya kira mungkin KJ boleh diharap. Hanya masalahnya pemimpin atasan dan orang-orang tua yang masih terperangkap dengan idea konservatif terlalu banyak kuasa dalam UMNO dan kerajaan.

1 comment:

Anonymous said...

wow...sy sedang mengokak dunia maya ni....tetiba terjumpa entry yg menarik ini..walaupun dh lama di poskan..tetap bagus untuk dibaca... =)