Tuesday, December 26, 2006

COVER

Walaupun aku sangat suka buku, aku tak banyak baca novel sebab aku jarang beli buku (aku agak miskin, dude). Suatu hari aku terjumpa novel "A house for Mr. Biswas" oleh V.S Naipaul. Ada orang buang, ataupun tercicir (aku jumpa kat tempat pembuangan). Cover dia tak menarik, gambar mesin taip kuning, dan gambar kartun yang burok dan bukunya juga telah burok. Dibeli oleh seorang pengetua (dia ada cop nama dan alamat dia, tapi takde keje aku nak pulangkan, ha ha) pada tahun 70-an. Agak lama juga aku simpan, bila baru-baru ni aku tergerak nak baca. Celaka, ia adalah sebuah buku yang sangat bagus! (sebab aku suka tulisan humanis barangkali) Membaca buku ni satu pengalaman yang cukup menarik. (Buku ini ditulis pada 1961, pada 1962 Trinidad &Tobago merdeka daripada jajahan British). Pertembungan budaya Hindu dan post kolonial.

Setelah aku surf internet, aku kata, cis! cis! beberapa kali. Cetek betul pengetahuan aku tentang dunia penulisan. Rupanya V.S Naipaul, novelis British kelahiran trinidad ini adalah pemenang hadiah Nobel pada tahun 2001 . Dia juga telah dianugerahkan gelaran Sir pada 1990. Dia juga Indian pertama yang menang booker prize. "A house for Mr. Biswas" dikatakan oleh pengkritik daripada majalah TIME sebagai 100 novel terbaik sepanjang zaman. (Masa aku baca buku ni, aku andaikan ia adalah pengalaman bapa Naipaul sendiri, dan betul! wikipedia bagitau ada elemen yang diambil dari itu) Novel ni juga kemudiannya diadaptasi kepada pementasan muzikal.

Apa yang aku nak kata ialah cover bagi sesebuah buku. Buku yang ada kat aku, covernya tak menarik langsung. (bila aku surf internet, cover dia dah lain, tak sama macam yang aku ada, dorang dah cetak dengan lebih menarik). Bagi orang yang cetek pengetahuan dalam dunia penulisan macam aku, kami cuma kenal penulis superstar je. Jadi sebab cover dia burok aku sangka ceritanya dan penulisnya tak best lalu agak lama juga aku simpan tak baca.

(oh, aku nak cari buku terbaru Naipaul : "Magic seeds", complete review.com punya rating adalah A, tau.)

Thursday, December 14, 2006

Tribute Untuk Naratif Ogonshoto

Naratif Ogonshoto
Anwar Ridhwan
Seperti putaran bola yang dilambung ke dalam roda roulette, dia keluar dari kasino terbesar di Malagana dengan tidak tahu kemanakah kakinya akan mahu ditujukan. Wang pendapatannya bulan itu sebagai kuli dalam sebuah tongkang nelayan cuma tinggal beberapa sen dihakis seperti keyakinannya yang terbang setelah bola dan roda itu berhenti pada nombor dan warna yang bukan dalam tebakan. Dia melintasi rumah-rumah pelacur yang suram, seperti suram yang jelas tampak pada mata pelacur-pelacur itu berselindung di balik pujuk-rayu-goda-senyum-ketawa yang setiap hari disolek pada wajah mereka. Dia menghalakan kakinya ke pantai, sudah jam 2 pagi masih ramai orang di sana-sini, pemabuk, kaki judi yang bangkrap sepertinya, pasangan kekasih yang berpeluk-peluk sebelum hilang dalam gelap, kelasi, gelandangan, anak-anak haram, pondan dan pelacur yang bosan menunggu di lorong dan mungkin beberapa orang mata-mata.

Dia melangkahkan kakinya ke gigi pantai, merasai pasir-pasir halus dan pukulan ombak pada kakinya yang telanjang. Dia teringat seorang resi tua di Aitu yang menyelam ke dalam laut mensucikan diri. Dihadapannya lautan pasifik yang gelap. Ada cahaya lampu kapal yang berkelip-kelip tapi kegelapan adalah dominan pada lautan dihadapannya. Tidak seperti resi itu fikirnya, dia melangkahkan kakinya semakin tenggelam ke laut adalah untuk menyertai kegelapan. Laut yang berombak menenggelamkannya ke paras dada ketika dia berkeputusan untuk berenang melawan ombak ke tengah laut. Ke tengah kegelapan. Dia mengayuh kaki dan tangannya, tidak mempeduli ke mana hala dan tujunya. Lagipun dia tidak punya apa-apa tujuan. Mungkin esok orang akan menemui mayatnya di pantai sebagai pemabuk dan penjudi yang bunuh diri.

Lama dia mengayuh dengan kekuatan kaki, tangan dan paru-paru seorang nelayan bila tak semena-mena tangannya menyentuh batu keras yang menggerutu. Dia terhenti, melepaskan lelahnya sambil menyedari dia telah jauh dari pantai yang terlihat terang dengan cahaya lampu. Dia memanjat bongkah batu yang agak tinggi itu, melentangkan diri di atas permukaannya yang hampir rata dan tertidur nyenyak.

Dia terjaga pagi itu apabila matahari hangat menghunjam wajah dan tubuhnya. Badannya terasa sakit-sakit, dia menggosok-gosok matanya cuba menangkap kembali ingatan malam tadi yang membawanya jauh ke pulau kecil bongkah batu hampir 1 kilometer dari pantai Malagana. Ketika itulah dia terdengar letupan kuat bersahut-sahut gunung berapi di Gora-gora, Rai-Rapa dan Futu-Ata. Dan kemudian ombak besar setinggi beratus kaki pun datang dari barat, dari lautan luas dihadapannya, melintasi pulau batunya dan kemudian melanyak Ogonshoto di belakangnya. Dan selain Nahkoda serta pengikutnya yang telah belayar dengan bahtera buatan tangan mereka pagi tadi, cuma dia seorang rakyat Ogonshoto yang terselamat dalam peristiwa tsunami yang menjadi penamat naratif Ogonshoto itu.

Sunday, December 10, 2006

6.30 a.m.
Dari tempat aku berdiri, tingkat 11 beranda apartment pinggir kota, cahaya kuning dan jingga di horizon, membirukan langit yang gelap. Matahari akan muncul, indah. Kalaulah aku tidak tahu bumi ini bulat dan masih belum tahu dari mana dan ke mana matahari itu muncul dan tenggelam, mungkin ia kan jadi lebih indah. Seperti kanak-kanak yang melihat bentuk-bentuk awan dengan takjub, mengimiginasi ia sebagai naga dan kuda terbang sebelum diajar bahawa itu adalah sekumpulan wap air lalu imej-imej ajaib itu pun melenyap dan terlupakan.
Kabus dan angin yang meresap fabrik nipis Pagoda, menyentuh kulit lalu mendinginkan. Aku menekan kunci pad bernombor pada telefon, aku mau dengar suaramu, cukuplah untuk memberi hangat, pada waktu-waktu dingin, indah dan sunyi seperti ini.