Friday, May 10, 2013

RAYUAN RAKYAT.



Dengan nama Allah, yang maha pemurah lagi penyayang. Setelah kami mendengar rayuan tuan-tuan, nah sekarang kami telah pun memilih tuan-tuan sebagai ketua. Maka dengan ini, giliran tuan-tuan pula mendengar rayuan kami, daripada rakyat kebanyakan kepada pemimpinnya. Dengarlah daripada setiap golongan, sama ada yang menyokong tuan-tuan, atau tidak mengundi tuan-tuan. Si kaya, atau si miskin, berkeupayaan atau capik. Bukan hanya daripada orang sekeliling tuan-tuan yang kebanyakannya, menjaga perut dan kocek, dengan mengampu-ngampu. Tujuan kami satu, sama sahaja seperti tuan-tuan, mahu memacu tanah air tercinta ini, menuju ke hadapan, tidak mahu suatu waktu, menoleh ke belakang dengan sesal dan malu. Ini masa depan kami sendiri, maka kami berhak menentukan, dengan tuan-tuan di hadapan, menyuluh jalan.

Sesungguhnya, tidak ada siapa yang kalah atau menang. Sebenarnya, keputusan ini adalah rahmat, dan Tuhan masih melihat tanah air ini dengan pandangan kasih-sayang. Rahmatnya, kita masih belum sedia untuk pertukaran kuasa, kerna lihat sahaja bagaimana sentimen kebencian, kecurigaan dan kemarahan itu menyala di merata-merata. Rahmatnya keputusan ini juga, dapat pula membuka mata pemerintah, betapa sebahagian rakyat, telah mulai menolak dan membantah, maka dengarlah. Jangan dihukum, dan jangan dipinggir. Jangan dibenci, dan jangan dipandang dengan mata mengeji. Kami ini rakyat, maka kami ini tuan, tuan-tuan berkhidmat, berdiri di hadapan.

Jangan menyalahkan orang lain, jangan menyemai rasa curiga, terimalah keputusan dengan berlapang dada. Perkauman itu durjana, kan merobek negara menjadi huru-hara. Kebencian dan kemarahan itu asalnya syaitan, membuat kita bermusuh dan bercakaran. Kita ini bersaudara, tak kira rupa, bangsa dan agama, kerana kita adalah rakyat Malaysia.

Ingatkah tuan-tuan pada manifesto dan aku janji? Tapi ingatlah tuan-tuan yang janji itu bukan untuk memancing undi, janji diberi adalah untuk membangunkan pertiwi. Janji bukan kerana pilihanraya, janji kerana mahu melihat rakyat sejahtera. Jangan! celakalah tuan-tuan, kalau sudah memikir bagaimana untuk menang pilihan raya akan datang. Bukan itu agenda tuan-tuan dijulang. Fikirlah strategi membantu rakyat, kerana kuasa itu tanggungjawab berat. Fikirlah bagaimana membawa negara ke mercu ketamadunan, semoga akhirnya tercapai jua wawasan. Negara ini kaya, kaya dengan sumber, kaya dengan rakyat yang pelbagai, pergunakan sebaiknya, untuk kebaikan seluruh, bukan untuk kroni dan empunya tubuh.

Kepada Pemimpin BN,
Maka sekali lagi tuan-tuan kami pilih sebagai kerajaan persekutuan. Walaupun ada kekalahan, tetapi majoriti kami percaya, dan masih menaruh harapan pada Barisan. Segala jasa dan perjuangan sejak merdeka, hingga membangunkan ini negara, sungguh kami tidak pernah lupa. Tetapi jangan fikir jiwa dan suara kami boleh dibeli, sedang kami tidak pernah lupa mengenang budi. Jangan jadikan kami seperti orang dungu. Kami melihat, kami mendengar, kami merasa dan kami memikir. Jangan menakut-nakutkan kami dengan sentimen bangsa, kerana kami bangsa Malaysia yang sudah mendewasa. Jangan mencengkam pikiran kami dengan sekatan dan ketakutan, jangan menyekat dengan undang-undang ketinggalan zaman, kerana nanti akhirnya kami kan memberontak. Kami bukan penurut kerana Tuhan memberikan kami otak. Kritikan bukan bermakna benci, kritikan kerana sama-sama mahu membaiki diri. Bersedialah untuk lebih terbuka, memberi ruang bersuara dan berbincang, berbeza pendapat dan berdebat, kerana manusia hebat, ia sedia untuk menerima pendapat.  Zaman telah berubah, generasi telah berganti, jangan dikongkong oleh politik zaman bahari. Jangan berpolitik kerana wang, jangan menggunakan wang untuk berpolitik. Jujurlah, jangan berat sebelah, mohon maaflah, sekiranya tersalah.

Kepada Pemimpin PR,
Bersyukurlah, kerana tuan-tuan telah berjaya memerintah tiga buah negeri. Jangan direbut-rebut kuasa, jangan bertelingkah kerana berbeza  idealogi. Jangan membakar kemarahan dan kebencian. Jangan perguna kami seperti lembu laga, dicucuk lalu meranduk, menggila merata-rata, ditunggang dengan ditutup mata. Hentilah kerja-kerja politik jalanan, kerana tuan-tuan lebih baik dari itu. Fokuslah bagaimana membangukan negeri dengan acuan sendiri, sebagaimana tuan-tuan yakin lebih baik daripada pihak yang satu lagi. Tuan-tuan punya kuasa, pada negeri-negeri yang unik dan hebat, maka tunjuklah pada rakyat, bagaimana tuan-tuan bermuafakat. Pulau Pinang majukanlah ia, mungkin jadi lebih baik daripada Singapura, tapi bumiputra jangan dilupa, bantulah mereka. Bukan dengan wang, tapi dengan sokongan, berilah mereka peluang, tunjukkan bagaimana mereka boleh berdiri sendiri. Selangor negeri kaya, maka pelihara. Kongsikan kekayaan dengan rakyat, moga semuanya mendapat manfaat. Rakyat yang berbilang bangsa itu, satukanlah ia, dengan tuan-tuan sebagai contoh. Tidak mencuriga, bukan sekadar hubungan yang rapuh. Saling bersahabat, dan saling membantu, memacu Selangor, sebagai negeri paling maju. Kelantan pula kaya budaya, tunjukkan contoh sebuah negeri pimpinan ulama. Bagaimana Islam itu syumul dan adil, bukan retorik dan ajaran semata, tetapi dipraktik dan diamal sentiasa. pemimpin jadilah seperti kandil, cahayanya kan membukakan mata. Kukuhkanlah ekonomi, semoga rakyat dapat berdikari.

No comments: