Dengan nama Allah, yang maha pemurah lagi
penyayang. Setelah kami mendengar rayuan tuan-tuan, nah sekarang kami telah pun
memilih tuan-tuan sebagai ketua. Maka dengan ini, giliran tuan-tuan pula
mendengar rayuan kami, daripada rakyat kebanyakan kepada pemimpinnya. Dengarlah
daripada setiap golongan, sama ada yang menyokong tuan-tuan, atau tidak
mengundi tuan-tuan. Si kaya, atau si miskin, berkeupayaan atau capik. Bukan
hanya daripada orang sekeliling tuan-tuan yang kebanyakannya, menjaga perut dan
kocek, dengan mengampu-ngampu. Tujuan kami satu, sama sahaja seperti tuan-tuan,
mahu memacu tanah air tercinta ini, menuju ke hadapan, tidak mahu suatu waktu, menoleh
ke belakang dengan sesal dan malu. Ini masa depan kami sendiri, maka kami berhak
menentukan, dengan tuan-tuan di hadapan, menyuluh jalan.
Sesungguhnya, tidak ada siapa yang kalah atau
menang. Sebenarnya, keputusan ini adalah rahmat, dan Tuhan masih melihat tanah
air ini dengan pandangan kasih-sayang. Rahmatnya, kita masih belum sedia untuk
pertukaran kuasa, kerna lihat sahaja bagaimana sentimen kebencian, kecurigaan
dan kemarahan itu menyala di merata-merata. Rahmatnya keputusan ini juga, dapat
pula membuka mata pemerintah, betapa sebahagian rakyat, telah mulai menolak dan
membantah, maka dengarlah. Jangan dihukum, dan jangan dipinggir. Jangan
dibenci, dan jangan dipandang dengan mata mengeji. Kami ini rakyat, maka kami
ini tuan, tuan-tuan berkhidmat, berdiri di hadapan.
Jangan menyalahkan orang lain, jangan menyemai
rasa curiga, terimalah keputusan dengan berlapang dada. Perkauman itu durjana,
kan merobek negara menjadi huru-hara. Kebencian dan kemarahan itu asalnya
syaitan, membuat kita bermusuh dan bercakaran. Kita ini bersaudara, tak kira
rupa, bangsa dan agama, kerana kita adalah rakyat Malaysia.
Ingatkah tuan-tuan pada manifesto dan aku janji? Tapi
ingatlah tuan-tuan yang janji itu bukan untuk memancing undi, janji diberi adalah
untuk membangunkan pertiwi. Janji bukan kerana pilihanraya, janji kerana mahu
melihat rakyat sejahtera. Jangan! celakalah tuan-tuan, kalau sudah memikir
bagaimana untuk menang pilihan raya akan datang. Bukan itu agenda tuan-tuan
dijulang. Fikirlah strategi membantu rakyat, kerana kuasa itu tanggungjawab
berat. Fikirlah bagaimana membawa negara ke mercu ketamadunan, semoga akhirnya
tercapai jua wawasan. Negara ini kaya, kaya dengan sumber, kaya dengan rakyat
yang pelbagai, pergunakan sebaiknya, untuk kebaikan seluruh, bukan untuk kroni
dan empunya tubuh.
Kepada Pemimpin BN,
Maka sekali lagi tuan-tuan kami pilih sebagai
kerajaan persekutuan. Walaupun ada kekalahan, tetapi majoriti kami percaya, dan
masih menaruh harapan pada Barisan. Segala jasa dan perjuangan sejak merdeka,
hingga membangunkan ini negara, sungguh kami tidak pernah lupa. Tetapi jangan
fikir jiwa dan suara kami boleh dibeli, sedang kami tidak pernah lupa mengenang
budi. Jangan jadikan kami seperti orang dungu. Kami melihat, kami mendengar,
kami merasa dan kami memikir. Jangan menakut-nakutkan kami dengan sentimen
bangsa, kerana kami bangsa Malaysia yang sudah mendewasa. Jangan mencengkam
pikiran kami dengan sekatan dan ketakutan, jangan menyekat dengan undang-undang
ketinggalan zaman, kerana nanti akhirnya kami kan memberontak. Kami bukan
penurut kerana Tuhan memberikan kami otak. Kritikan bukan bermakna benci,
kritikan kerana sama-sama mahu membaiki diri. Bersedialah untuk lebih terbuka,
memberi ruang bersuara dan berbincang, berbeza pendapat dan berdebat, kerana
manusia hebat, ia sedia untuk menerima pendapat. Zaman telah berubah, generasi telah berganti,
jangan dikongkong oleh politik zaman bahari. Jangan berpolitik kerana wang,
jangan menggunakan wang untuk berpolitik. Jujurlah, jangan berat sebelah, mohon
maaflah, sekiranya tersalah.
Kepada Pemimpin PR,
Bersyukurlah, kerana tuan-tuan telah berjaya
memerintah tiga buah negeri. Jangan direbut-rebut kuasa, jangan bertelingkah
kerana berbeza idealogi. Jangan membakar
kemarahan dan kebencian. Jangan perguna kami seperti lembu laga, dicucuk lalu
meranduk, menggila merata-rata, ditunggang dengan ditutup mata. Hentilah kerja-kerja
politik jalanan, kerana tuan-tuan lebih baik dari itu. Fokuslah bagaimana
membangukan negeri dengan acuan sendiri, sebagaimana tuan-tuan yakin lebih baik
daripada pihak yang satu lagi. Tuan-tuan punya kuasa, pada negeri-negeri yang
unik dan hebat, maka tunjuklah pada rakyat, bagaimana tuan-tuan bermuafakat.
Pulau Pinang majukanlah ia, mungkin jadi lebih baik daripada Singapura, tapi
bumiputra jangan dilupa, bantulah mereka. Bukan dengan wang, tapi dengan sokongan,
berilah mereka peluang, tunjukkan bagaimana mereka boleh berdiri sendiri. Selangor
negeri kaya, maka pelihara. Kongsikan kekayaan dengan rakyat, moga semuanya
mendapat manfaat. Rakyat yang berbilang bangsa itu, satukanlah ia, dengan
tuan-tuan sebagai contoh. Tidak mencuriga, bukan sekadar hubungan yang rapuh.
Saling bersahabat, dan saling membantu, memacu Selangor, sebagai negeri paling
maju. Kelantan pula kaya budaya, tunjukkan contoh sebuah negeri pimpinan ulama.
Bagaimana Islam itu syumul dan adil, bukan retorik dan ajaran semata, tetapi
dipraktik dan diamal sentiasa. pemimpin jadilah seperti kandil, cahayanya kan membukakan
mata. Kukuhkanlah ekonomi, semoga rakyat dapat berdikari.