Friday, March 18, 2011

Inilah interloknya yang sebenar.

Inilah komedi yang sungguh menggelikan hati. Akhirnya kita semua dapat menyaksikan realiti sebenar interlok antara kaum di Malaysia. Bukan sebagaimana yang diimaginasikan oleh Abdullah Hussein. Walau bagaimanapun, biarpun setiap kali memikirkan perkara ini saya akan tersenyum sendiri akan leluconnya yang cukup ironis, saya juga kasihankan Abdullah Hussein. Niatnya menulis Interlok bagi memperkukuhkan perpaduan kaum, sekarang ini menjadi punca perbalahan kaum pula.

Saya percaya watak-watak dalam novel Interlok hanyalah imaginasi (1)Abdullah Hussein, dan bagaimana watak-watak itu bertembung juga hanyalah satu imiganisasi, dengan latar belakang pra merdeka yang real. Temanya adalah perpaduan kaum, dan saya percaya Abdullah Hussein menulis novel ini dengan sedaya upaya menunjukkan betapa pentingnya kaum-kaum utama, Melayu, Cina dan India bersepadu, dan saling bantu membantu (2).

secara asasnya, Interlok dibidas malahan sehingga dibakar dan minta diharamkan. adalah disebabkan watak seorang pariah. Persoalannya, tidak adakah pariah yang datang ke Tanah Melayu? Mereka dikapalkan dan dihantar tentu sekali bersama pariah-pariah yang lain. Maka, apabila Abdullah Hussein memilih untuk menulis tentang seorang pariah, apakah yang menyebabkan mereka marah? Agaknya mereka tidak bersetuju apabila Abdullah Hussein mengangkat seorang pariah sebagai hero?

Tidak, kemarahan sebenar bukan itu. Saya percaya ramai yang membakar interlok tidak membaca pun keseluruhan novel. Bukan itu yang menjadi hal. Perkataan pariah dalam interlok hanyalah pencetus kepada perasaan tidak puas hati yang telah lama membuku. Sebagai kaum yang paling terkebelakang diantara 3 kaum utama ini, penghinaan selalu sahaja dilemparkan kepada mereka. Ungkapan dan perkataan yang menghina kaum India selalu sahaja disebut, seperti keling, hitam, gelap, paria sama ada secara sedar atau tidak, di belakang, mahupun terang terang, malahan di kaca TV. (2) Semua ini puncanya adalah daripada prejudis perkauman, sama ada oleh orang India sendiri, ataupun kaum lain. Prasangka yang tidak ditangani secara baik ini boleh sahaja bertukar menjadi tragedi.

Sebagai sebuah karya sastera, Interlok tidak sepatutnya diubah walau satu perkataan pun, dan saya percaya unsur-unsur perkauman dan pernghinaan terutamanya terhadap kaum India tidak wujud sama sekali di dalam novel ini (4). Walau bagaimana pun untuk ia menjadi teks komponen sastera di sekolah, tidak begitu sesuai atas kemungkinan provokasi-provokasi di dalam bilik darjah yang boleh menimbulkan ketegangan disebabkan kurang matangnya kita menilai sastera. Sedangkan ahli akademik dan penulis sendiri boleh sahaja gagal menginterpretasi karya sastera ini, inikan pula pelajar tingkatan 5. Saya kira banyak lagi karya-karya sastera berbahasa melayu yang baik yang boleh dijadikan teks. Penyelesaian terbaik, kerajaan perlu menarik balik Interlok dengan perakuan bukan sebab ia karya rasis, dan membayar pampasan kepada Abdullah Hussein, atau gantikan sahaja karya beliau yang lebih baik, iaitu imam. Atau karya lain seperti Siapa kekah bidan sepiah.

Sesungguhnya interlok yang ditulis Abdullah Hussein itu tidak benar,imaginasi seorang novelis, tetapi interlok yang berlaku disebabkan novel inilah realiti yang sebenarnya untuk rujukan perhubungan kaum di Malaysia. Penuh prejudis masing-masingnya.

___________________________________________________________________

(1) Watak rekaan. Tidak berkaitan dengan yang hidup atau mati.

(2) Pada dasarnya usaha-usaha kerajaan membentuk perpaduan kaum terutamanya melalui sayembara telah menyaksikan banyak karya sastera atau teks lain berwatakkan Ali-Ah Chong-Muthu, termasuk juga saya kira Interlok. Sama ada ditulis dengan niat memenangi sayembara, atau menaikkan nama penulis atau benar-benar tulus ikhlas untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kita, adalah mesti diakui hubungan antara kaum kita secara realitinya tidak sama sebagaimana imaginasi penulisan-penulisan perpaduan ini. Kerana itu saya kira, kebanyakan karya-karya sebegini akhirnya menjadi karya propaganda kerajaan, berbanding sebuah karya sastera yang tulen dan baik walaupun memenangi banyak hadiah dan diiktiraf.

(3) Dalam iklan 1Malaysia di kedai kopi, ada disebut "hitam" kepada watak Sathia.

(4) Entah bagaimana Uthaya Sankar dan rakan-rakan mahukan 100 pembetulan lain seperti papadom, tuak, berkulit hitam, anjing orang putih dan lain-lain lagi. Akhirnya nanti karya ini akan menjadi sarkas apabila orang cina dan melayu mahu membuat pembetulan juga.

4 comments:

fadz said...

wah, sekali bersuara, mengaum!

Taf Teh said...

Manusia secara lumrahnya amat sensitif...

mukhsen_x said...

lumrahnya, gua dah malas. ha ha

mukhsen_x said...
This comment has been removed by the author.