Wednesday, January 17, 2007

NATIVITI

sori, ini aku petik dari majalah NATIVITI:

"Rasa gua kita hanya patut baca buku yang menggigit dan menyengat. kalau buku yang kita baca tak kasi kejuts macam tengkorak kena hentak, apa kes beb?"

-Franz Kafka

Biasanya bagi aku, secara sifir mudahnya, penulisan atau buku yang bagus adalah yang dapat menggerakkan aku, sama ada secara ideanya atau secara semangatnya untuk menulis pula. Nativiti aku dapat dari Vovin dua hari lepas, dan sejak itu, ia telah menggerakkan aku menulis dua buah cerpen dan tiga buah sajak. Jadi Nativiti memang sudah menghentak tengkorak aku. Moga-moga menghentak tengkorak korang pulak.
(Oho, kalaulah ia sirkulasi bulanan)

Thursday, January 11, 2007

resolusi

Mereka berlima menyewa sebuah rumah di perumahan pangsa 4 tingkat PKNS, punya dua bilik tidur dan satu bilik stor di seksyen 6, Shah Alam. Rumah mereka di tingkat yang paling bawah, lantainya melekat ke tanah. Sekiranya hujan lebat, terutamanya dalam musim monsun, air yang agak hanyir akan masuk ke rumah mereka dari lantai yang telah retak di bahagian dinding. Bilik akan menjadi lembab dan di bawah tikar getah, air berwarna hitam melekat padanya seperti gam yang disapukan pada kertas. Kadangkala mereka terpaksa melapik helaian kertas akhbar yang tebal sekiranya air masuk terlalu banyak dan menggenangi lantai.

“Guna simen kalis air,” cadang Redza, seorang pelukis pelan sebuah syarikat jururunding arkitek, yang kemudiannya mereka adukan pada tuan rumah. Tuan rumah mahu PKNS bertanggungjawab kerana bayaran perkhidmatan telah dibayar setiap bulan. Dua kali mereka mengadu pada PKNS, dan jurutekniknya datang sebelum lenyap dalam kabinet fail, pangkalan data, carta alir kerja dan pembahagian tugas, sistem-sistem yang membentuk makhluk gergasi birokrasi yang digeruni.

Rumah ini sempit, lembab dan suram. Satu-satunya hiasan dinding adalah gambar Osama Laden sedang tersenyum yang digunting Husen daripada akhbar The Star, digantung seperti gambar dewa.