Friday, November 17, 2006

Jingga
(telefon seorang kawan pada 6.30 a.m)
dan fajar
malaikat datang dengan matahari di bahunya
kabus
(tadi malam hujan lebat, lebat)
masa lalu pun hilang sepertinya
meresap ke atmosfera
seperti suaranya
dalam frekuensi-frekuensi
yang tak tertangkap pun.

Ke Makam Penyair - Mengingati Usman Awang (12 Julai 1929 – 29 Nov. 2001)


kata-kata
pun tertanam di makam
kebenaran telah pun
tertulis di kertas
kemboja
pun mengharum
itu pun suara orang kebanyakan
marhaen dan yang dilupakan
yang tertindas dan melarat
pun bersiponggang
dari celah-celah
puisi
menggema dari suara
yang masih pegang
tali benar itu benarlah
yang masih melawan
dan terus terjah
manusia palsu
pun segala serigala


"Kesusasteraan harus mencerminkan masyarakat zamannya! Dan masyarakat zaman kita yang harus dicerminkan tidak lain dari perjuangan rakyat, rakyat yang inginkan kebebasan dari segala belenggu yang merantainya, dari penekanan-penekanan dan dari penindasan yang menindasnya."
-Usman Awang dan A.Samad Said (1963) Tema dan Tugas Sastera Melayu Moden, Penerbitan Federal Berhad, KL)

Sunday, November 12, 2006

Teh o manis
sang surealis
adalah gadis-gadis cantik
syorga
Teh o manis
sang anarkis
adalah laut luas
dan camar

Friday, November 10, 2006

Pearls Before Swine - Stephen Pastis


Stephen Pastis adalah bekas peguam lulusan sarjana sains politik, University of California. Berhenti menjadi peguam untuk menjadi pelukis komik lerang sepenuh masa. Pearls Before Swine memenangi anugerah "Best Newspaper Comic Strip" pada tahun 2004. Komik dalam genre komedi gelap dengan topik2 seperti pembunuhan, politik, depresi, bunuh diri dan stereotaip etnik ini menggunakan watak-watak anthropomorphic yang mengisahkan dua orang sahabat, Rat, sang megalomania dan fatalis yang menganggap dirinya yang paling bijak, dan Pig, si dungu yang telah dihalau dari masyarakat babi-babi berbudaya. Watak-watak lain adalah Zebra, yang selalu menjadi buruan pemangsa terutamanya buaya, Goat, watak yang paling bijak, dan sepersaudaraan Crocodiles yang lembab dan tolol yang selalu gagal ketika cuba memburu mangsanya terutama Zebra. Komik meta-comic ini juga kadangkala membuat jenaka terhadap komik-komik lain seperti Cathy, Dilbert, B.C, Garfield, Get Fuzzy & etc.
http://www.comics.com/comics/pearls

Saturday, November 04, 2006

Revolusi, reformasi, evolusi - Mukhsen

"Revolusi tidak mungkin akan berlaku di Malaysia, reformasi pernah gagal, cuma sekarang kita sedang perlahan-lahan berevolusi," Nasre menghembus asap Gudang Garam dari bibir gelapnya. Keasyikan politik adalah seperti asap rokok, ia perlahan-lahan membuat kamu sakit, tapi tetap ia sangat asyik untuk kamu lepas. "Marx mahukan revolusi," kataku. Nasre diam, menyedut puntung rokoknya dalam-dalam hingga cengkung pipinya, bara membakar cepat lalu memercik api kecil seperti bunga api dari tembakau kasar Gudang Garam. Rokok proletariat.

Wednesday, November 01, 2006

Der Prozeß (Perbicaraan) - Franz Kafka


Tetapi tangan salah seorang lelaki itu memegang kerongkong K., ketika seorang lagi menikam pisau ke hatinya lalu diputar, dua kali. Dalam waktu penglihatannya mulai padam, K. melihat rapat muka kedua lelaki tersebut, rapat di hadapan mukanya, menonton hasil perbuatan mereka. "Macam anjing!" kata salah seorang dari mereka, ianya bagaikan kehinaan itulah yang harus membunuh dia.