Wednesday, May 30, 2007

Belum dikenalpasti

Selepas Sultan Mahmud mangkat di julang, Orang Laut mula tersisih dari istana. Mereka menghindar ke pulau-pulau kecil sekitar perairan Tanah Melayu, menjadi lanun, merompak pedagang-pedagang Eropah dan China. Salah sebuah kumpulan lanun yang tidak bernama diketuai seorang lelaki gelap dan bertubuh sasa, dengan tangkal-tangkal melilit lengan, bisep, kaki, pinggang dan dikalung di leher, dari keturunan yang pernah sangat dekat dengan istana kesultanan Melaka, lalu dia dihormati dan digeruni pengikut dan lawan.
Suatu hari kami bertemu di kuala Sungai Pahang, aku mahu mencari barang dagang untuk dibawa ke Riau, atau ke Melaka. Dia ditemani dua orang pengikutnya, yang senyap dan mengekori setiap langkah, seperti bayang-bayang, dan seperti sahaya. Kami saling kenal kerana sama-sama pernah berhamba dengan Sultan Mahmud, si homoseks yang kami bernasib baik kerana tidak punya wajah cantik. Kami juga sama-sama menyisih dari istana bila Bendahara menaiki takhta, kerana kami sama percaya pada prinsip bahawa sesekali Melayu tidak akan pernah derhaka kepada rajanya, apatah lagi mengakui orang yang telah berkomplot membunuhnya. Kata orang, itu prinsip yang bodoh, tetapi begitulah, kerana orang bijak selalunya tidak punya prinsip, lalu kami senang dengan kobodohan yang ditafsirkan sebegitu.
Namanya Saleh, dan untuk beberapa tahun setelah kami meninggalkan istana, aku lihat dia semakin kurus dan gelap, hingga aku hampir-hampir tidak dapat mengecam dengan rambut panjang dan jambang yang tidak diurusnya. Kemudian kami bersapa-sapa seperti lagaknya dua orang sahabat yang telah lama tidak bertemu, bertanya khabar itu dan ini, berbasa-basi sebelum percakapan mulai berkisar hal-hal besar lalu intonasi yang mesra mulai mendatar dan kaku.

“Aku mahu langgar Riau.”

Celaka lelaki ini, aku tahu dia punya cita-cita besar, tetapi melanggar Riau adalah cita-cita yang tidak pernah aku jangkau akan ada dalam pemikiran Orang Laut yang sejak azalinya penyetia yang membuta tuli.

“Aku mahu langgar Riau dan kahwin sama Kamariah.”

4 comments:

kingbinjai said...

sambung

mukhsen_x said...

ha ha, panjang ah nak sambung. aku rasa macam novel pulak. biar dulu ah. ha ha.

Anonymous said...

intro yang menarik dan berat (melibatkan sejarah) - pada pendapat saya yang mentah sgt dalam bidang penulisan...
anyway go on...saya nantikan kemunculan cerpen ni

mukhsen_x said...

oo. tapi panjang. banyak nak kena tulis. :P. anywy, ni citer sekitar 1700-1800. aku suka sejarah time ni sebab banyak perang. ho