Tuesday, May 29, 2007

Ana

Dunia ini dipenuhi sampah, kamu sapu dan bakar menjadi debu dan asap, kamu lega ia lenyap, tetapi ia akan datang juga hari esok, oh bukan, malah sesaat selepas kamu bakar ia. Jadi biarkan dunia ini berputar, sehingga suatu hari mereka akan terlenyap sendiri, manusia sampah yang tamak akan membuat lebih banyak sampah, jadi jangan khuatir, tidak perlu mati-mati revolusi, mereka akan celaka sendiri-sendiri, tidak perlu disapu ombak besar atau dibakar lava gunung berapi, mereka akan membakar diri mereka selepas sedar betapa mereka hina sebagai manusia. Mereka tidak akan mati, tetapi mereka tersiksa oleh kesedaran betapa mereka wujud sebagai sampah. Kepuasan itu cuma datang sekejap, cukup sekejap hingga mereka tak pernah merasa puas, demi Tuhan sehinggalah mereka kuasai seluruh dunia dan isinya, mereka telan seperti kanibal kerana kata mereka itulah puncak perasaan kepunyaan, ia tidak akan! Selepas itulah mereka akan tersiksa bukan kepalang, bila mereka kemudian setelah tidak mampu lagi merasa apa-apa kecuali kekosongan.
Kita tidak akan menemui utopia kerana ia utopia, cuma memperakui kesucian kita sebagai bukan sampah sudah cukup menciptanya dalam pemikiran-khayalan kita. Tetapi sebenarnya siapakah kita, dalam golongan mana jasad yang sedang kita akui sebagai diri sendiri ini berdiri, malah aku juga? Dimanakah garis sempadannya?
Ah, kesunyian selalu membuat aku keliru. Di atas meja ada surat dari Ana. Aku sepatutnya renyukkan dan campak ia sebagai sampah, atau bakar menjadi debu dan asap, lalu lenyap. Tetapi ia masih di atas meja, di sebelah buku-buku yang aku baru pinjam dari perpustakaan, aku tidak lagi membukanya, tapi aku sangat pasti ia dari Ana. Kenapa kita mempunyai perasaan cinta tuan-tuan? Aku percaya ia bukan semata-mata supaya perempuan beranak dan menerus zuriat, menyambung kesinambungan manusia di muka bumi, supaya ia tidak pupus dan terus imortal. Tetapi aku juga percaya cinta itu tidak pernah suci. Semua orang menagih cinta kerana mereka percaya melalui itu mereka akan meraih sesuatu, yang selalunya dicita kebanyakan kita sebagai kebahagiaan. Kita mahu cinta kerana mahu bahagia, tanpa sedar ia penuh dengan kekotoran, tipu muslihat, kebencian, khianat dan rasa bersalah di dalam pundinya. Seperti isi surat berenvelop biru di atas meja itu, ya, pasti, aku sangat pasti seperti isi surat itulah kalau nanti aku baca ia.

1 comment:

kingbinjai said...

oit kat sini rupanya kau