Masalah mulai timbul apabila kita hanya membenarkan sesuatu perkara, dan melupakan perkara yang lain, yang kita tolak hanya kerana mahu mencari satu jawapan sahaja. Contohnya kita hanya menerima1+1=2, dan menolak 1+1=1+1 atau 1+1=4-2 dan sebagainya walaupun ia juga boleh diterima secara logik. Kadang-kala, pembundaran dan majoriti digunakan sewenangnya, hingga akhirnya sesuatu yang bukanlah benar secara keseluruhannya diterima umum sebagai benar. Dalam kehidupan kita, kita selalu obses mencari manakah yang salah dan manakah yang benar, mengkelaskan, menganalisis, mentafsir dan sebagainya semoga kita memperolehi satu jawapan yang benar/betul dan selalunya ia berpunca daripada persoalan-persoalan yang menjurus ke arah itu. Sebagai contoh kita selalu bertanya, “adakah kita sebuah negara demokrasi?” berbanding untuk bertanya “demokrasi yang bagaimanakah negara kita ini?”.
Secara lebih mudah mungkin kita boleh melihat pada 3 jawapan pelajar yang berusia 7 tahun apabila disoal gurunya.
Guru : apakah cita-cita kamu?
Murid 1 : Arkitek
Murid 2 : Entah
Murid 3 : Superman
Diantara Murid 1, 2 dan 3, kita selalu mengaggap jawapan murid 2 dan 3 tidak sah/salah dan di sinilah kesilapan kita apabila terlalu obses mendapatkan jawapan benar dan salah. Jawapan seorang murid 7 tahun tentang cita-cita pada dasarnya bukanlah lahir dari dirinya sendiri atau kebolehannya dalam sesuatu bidang, tetapi lebih kepada persekitaran yang mempengaruhi seperti ibu-bapa, rakan-rakan, media, pengalaman dan sebagainya. Jawapan 2 dan 3 itu juga adalah sah dan benar, yang menunjukkan dirinya sebagai seorang budak berusia 7 tahun, yang lebih senang bermain-main, dan tidak dapat menjangkau persoalan apa sebenarnya kehidupan setelah dewasa dan apa nerakanya kerjaya itu. Ketiga-tiga jawapan pada dasarnya tidak salah, dan boleh sahaja dimasukkan di dalam Buku Rekod Pelajar dan ternyata ia juga memenuhi tujuan dan objektif soalan itu dikemukakan, iaitu untuk memahami pelajar.
Begitu juga apabila anda bertanya, “kenapa tidak update blog?” dan apabila saya menjawab “entah” ia juga sebenarnya satu jawapan yang betul. Ha ha.