Tuesday, November 29, 2011

KISAH-KISAH ORANG MALANG DAN KASIHAN SERTA SEEKOR ARNAB

ARBIAH

Arbiah menggosok matanya dengan dengan kedua-dua belah tapak tangan. Arbiah masih mamai, tetapi dia tahu van telah hampir sampai ke perhentian untuk dirinya. Penggera automatik telah diset dalam dirinya oleh rutin hampir setiap hari untuk dia terjaga pada waktu itu. Palma tangannya yang masih belum terlepas dari muka, menutup mulutnya yang ternganga kerana menguap. Dia tidak merasa segar, tetapi tidur singkat itu telah sedikit melegakan kepenatan berdiri beberapa jam menyusun pek minuman. Van biru itu berhenti hampir mendadak.

Arbiah menepuk lembut peha Maria di sebelah, ”pergi dulu kak,” suara Arbiah perlahan antara dengar dan tidak. Maria yang terpejam matanya dengan kepala mereng hampir menyentuh bahu tidak perduli sapaan Arbiah, sengaja atau memang dia tidak sedar. Sekilas Arbiah memandang ke tempat duduk belakang. Yang lain juga sedang tidur, hanya Noni merenung ke luar tingkap dengan wajah sugul dan keletihan, dan perlahan-lahan Arbiah menarik pintu van. Arbiah tidak mengucap terima kasihpun pada pemuda si pemandu van. Arbiah tahu, ucapan itu tidak akan dipedulikan pun, tidak akan ada ucap balas, malah anggukan atau raut wajah yang dia menghargai ucap terima kasihnya. Sebaik sahaja Arbiah menutup pintu van, ia terus sahaja melaju.

Arbiah melihat sebentar van biru yang tertulis bas kilang di dindingnya, sebelum ia melenyap dalam suram senja, lampu jalan dan kenderaan-kenderaan. Arbiah melihat jam pada telefon bimbitnya, sudah 7.47pm. Hampir sama waktunya setiap kali dia pulang. Berhati-hati, Arbiah melangkahi longkang jalan, sebelum melalui denai berlopak, yang menjadi laluan penghuni rumah flat kejiranannya ke perhentian bas. Arbiah berselisih dengan beberapa orang lelaki Bangladesh berpakaian corak garang seperti pelakon Hindustan. Arbiah tidak mempedulikan mereka, dan mereka tidak mempedulikan Arbiah.

Arbiah fikir orang-orang sekeliling tidak pernah peduli padanya, dan dia fikir ia memang patut orang lain untuk tidak peduli padanya. Tidak ada satu kriteria padanya untuk orang lain peduli. Tidak cantik, tidak pandai, tidak kaya, tidak peramah, malah tidak ada apa-apa kelebihan. Macam diantara beribu-ribu pek minuman, ada satu yang tidak memenuhi kriteria-kriteria kualiti yang ditetapkan, yang rosak, yang perlu diabaikan, rejected, tidak signifikan, tidak dipeduli, dan begitulah dia.

Sambil melangkah menuju ke blok rumah flatnya, Arbiah pandang ke langit,”Tuhan, adakah Engkau juga tak peduli aku?” Arbiah lihat di ufuk yang masih tersisa sedikit benderang matahari yang sudah tak nampak jasadnya; sekilas tahi bintang melintas. Kemudian satu lagi. dan lagi sampai tujuh kali. Tiba-tiba Arbiah rasa sebak, macam ada padang rumput yang luas dan menghijau menghampar dalam hatinya. Dan Arbiah boleh lihat, pada rerumput di padang itu embun-embun sedang bergantungan, macam air matanya yang hendak mengalir. ”Tentu sekali tidak ada apa-apa yang terlepas daripada pandangan-Nya,” fikir Arbiah sebelum setitik airmatanya jatuh.

MAHADIR

Mereka kata mereka telah pun sarapan awal. Mahadir kata dia juga, walaupun sebenarnya tidak. Mahathir fikir tidak mengapa kerana tengah hari nanti mereka akan makan lagi apabila semuanya selesai. Sekarang sudah jam 10.20am, dan Mahadir fikir dia patut sarapan tadi. Sekarang dia lapar. Tetapi Mahadir fikir, dalam keadaan sekarang tentu dia tidak berselera makan. Dan kerana itulah dia tidak bersarapan sebelum keluar dari rumah tadi. Apabila ditanyakan ibunya, katanya dia akan bersarapan dalam perjalanan nanti. Bila ibunya bertanya kemana, Mahadir tidak menjawab, dan terus sahaja keluar. Mahadir fikir dia tidak patut buat begitu pada ibunya. Mahadir keluarkan sebatang rokok, menyalakannya dan menurunkan tingkap. Yang lain-lain hanya mendiamkan diri.

Mahadir fikir macam ada rama-rama dalam perutnya. Asap rokok yang disedutnya terasa hambar. Mahadir fikir mungkin kerana perutnya kosong. Mungkin juga kerana ia rokok seludup murah. Mahadir menjentik puntung yang masih banyak berbaki keluar dari tingkap, melantun di atas tarmac lalu baranya memecah. “Sekarang!” Nazim tidaklah menjerit, tetapi suaranya didengar mereka cukup jelas dan keras menyentak mereka menyerbu keluar dari kereta. Mahadir memegang kejap hulu parang.

.....

HUSEN

Rumah kongsi yang dibuat ala kadar itu panas sungguh. Husen fikir dia tak mahu bekerja, dia mahu tidur, tadi malam dia bermain pakau sehinggalah waktunya Rahardjo bangun untuk sembahyang subuh. Husen menang hampir 400 ringgit, lalu dia fikir mengapa tidak untuk dia berehat sahaja hari ini. Tapi rumah kongsi yang beratap zink dengan lantai dan dinding plywood itu seperti bilik sauna. Belakang Husen basah kerana peluh. Husen melihat jam swatch pasar malam digitalnya menunjukkan pukul 12.04 pm. Husen bangun dan duduk melunjur, meregang-regangkan ototnya. Husen buka bajunya yang basah di bahagian belakang dan melemparkannya di satu sudut tempat pakaian berlonggok. Husen mengeluarkan sebatang gudang garam lalu dinyalakan. Tembakar kasar itu terbakar rakus, Husen menyedut asapnya dalam-dalam dan dia merasai kesegaran. Husen bangun dan mencapai walkman Sunny kepunyaan Mahyudin dan kaca mata hitamnya.

Husen berjalan dari kongsi ke tapak pembinaan berlenggeng tanpa baju, jalannya terhenjut-henjut mengikut irama Bung Rhoma yang mendakap di telinganya.Tetapi hari ini panas sungguh, Husen fikir matahari macam sejengkal sahaja daripada kepalanya. Belakangnya terasa basah.

......................

SUHAIL

Suhail membaca Metro setiap hari. Suhail tertanya-tanya, bagaimanakah ada sahaja berita aneh dan mengejutkan yang tersiar di dalamnya. Manusia telah jadi gila, atau manusia itu memang telah sedia gila. Kegilaan yang memang telah sedia ada, tersimpan dalam hati. Kalaulah Suhail membaca Freud, tentu Suhail akan kata tersembunyi di bahagian bawah aisberg yang tenggelam tak nampak.

Suhail membaca Metro setiap hari. Ia memberi kelegaan bahawa masih ada lagi manusia-manusia yang lebih malang dan hina daripadanya. Suhail suka membaca gosip selebriti. Dalam hatinya penuh girang macam ada bunga popi mengembang bila ada sahaja yang ditimpa malang. Apek ditangkap kerana ganja. Video porno Ariel tersebar. Fasha Sanda berebut jantan dengan Tiz. Artis ditangkap khalwat. Artis kantoi mabuk. Artis bercerai. Ah, dengan segala macam keindahan dan kemewahan dunia mereka, manusia-manusia cantik dan kacak, bergaya dan popular, mereka tetap juga malang dan hina. Suhail paling suka berita talak-cerai-mahkamahsyariah. Suhail sungguh hairan, bagaimana perempuan-perempuan cantik ini selalu sahaja dicerai. For god sake, bukankah mereka cantik? Adakah menjelang malam apabila mereka mahu bersama suami, mereka akan bertukar menjadi pontianak yang hodoh?

Selepas membayar untuk Metro, Suhail melintas jalan sambil matanya leka membaca berita muka hadapan. Sebuah kancil turbo melaju melanggarnya hingga Suhail melambung dan terpusing-pusing, sebelum tersangkut di atas dahan yang merendang di tepi jalan. Suhail mati serta-merta.

Esoknya, gambar mayat Suhail tersangkut di atas pokok tersiar di muka depan Metro dengan tajuk “Lelaki mati kemalangan tersangkut di atas pokok”. Apabila ditanyakan pada ibunya adakah sebelum kejadian malang tersebut Suhail ada menunjukkan sikap aneh, kata ibunya, “anak itu memang aneh sejak kecil.”

Entahkan begitu, entahkan ibunya cuba bersinikal, tidaklah diketahui orang.