Tuesday, June 29, 2010

Mungkin

Kata penyokong England , kalau gol lampard dikira England mungkin boleh menang. Aku rasa kalu gol Lampard dikira, German akan menang jugak, mungkin 6-2.

Monday, June 28, 2010

40 ulama dan perubahan UMNO.

Tanpa kemasukan 40 ulama itupun UMNO telah pun Islam. Maka apabila UMNO merasa seronok dengan kemasukan kumpulan 40 itu, maka kita tertanya-tanya atas dasar apa? Adakah sama seronoknya DAP apabila masuknya orang Melayu ke dalam parti mereka atau seronoknya PAS apabila orang bukan Islam menyertai PAS? Maka adakah sebelum ini UMNO tidak disokong ulama sama seperti DAP tidak disokong Melayu dan PAS tidak disokong oleh bukan Islam? Adakah sebelum ini tidak ada ulama dalam UMNO sehingga perlu heboh-heboh? Malahan kumpulan ulama ini katanya “bukan untuk berpolitik walaupun UMNO adalah sebuah parti politik,” lalu menunjukkan yang mereka tidak akan aktif untuk merebut jawatan sama ada dalam parti atau untuk menjadi calon pilihanraya.

Secara asasnya, UMNO mahukan imej-imej Islamik yang telah dikalahkan oleh PAS. Kemimpinan sedia ada tidak mempunyai imej-imej Islamik ini walaupun merupakan parti Melayu yang secara amnya Islam. UMNO adalah merupakan parti nasionalis semi sekular yang konservatif dan kelihatannya tetap mahu mempertahankan pegangan ini. Perubahan imej PAS daripada parti teokonservatif yang keras kepada parti yang lebih liberal menimbulkan ancaman kepada UMNO. Saya percaya, kemasukan kumpulan ulama ini hanyalah usaha-usaha kosmetik bagi menarik golongan Melayu atas pagar yang menyokong PAS seperti artis yang bertudung ketika ke mahkamah syariah untuk urusan cerai atau ditangkap khalwat.

Apa yang diusahakan ini adalah untuk menarik golongan atas pagar yang tidak menyokong UMNO kerana beranggapan UMNO tidak Islamik, dan kumpulan ini cukup sedikit kerana lebih ramai telah pun berdiri di dalam pagar PAS. Dasar UMNO yang konservatif tidak berubah. Saya tertanya-tanya mengapa UMNO tidak mahu menjadi lebih liberal. Ia boleh menarik sokongan cukup banyak, daripada penyokong PKR, DAP dan golongan muda atas pagar. Sedang PAS bergerak ke arah itu, mengapa tidak UMNO? Saya kira mungkin KJ boleh diharap. Hanya masalahnya pemimpin atasan dan orang-orang tua yang masih terperangkap dengan idea konservatif terlalu banyak kuasa dalam UMNO dan kerajaan.

Friday, June 18, 2010

Draf Bab 1.4 : Hasnah Pulang Dari Mahkamah.

Hujan sudah mulai mereda. Bilah pengelap cermin bergerak seragam dalam satu perpuluhan lima saat. Rintik-rintik halus yang jatuh pada cermin hadapan disapu ketepi dan ke bawah. Dua bilah itu seperti sepasang penari, yang akan menari setiap kali hujan, tetapi tidak pernah bersentuhan, sampai bila-bila. Syahdu dan melankoli hujan menjadi latar tarian dua jiwa yang sama itu, tapi selamanya tak akan menyatu. Pemain cakera melagukan it ain’t me babe, dan itu Baez dan Dylan sedang menari di atas cermin. Hasnah terasa pipinya basah dan hangat bila airmatanya jatuh menjurai. Fikirnya, mengapa kesudahannya tidak seindah yang mereka telah impikan. Dia kira, segala yang mereka harungi berdua seakan-akan tidak punya apa-apa makna, palsu dan tidak ada erti. Cinta sejati hanyalah lafaz, kata perpisahan itupun hanya lafaz. Dia memikir-mikirkan perasaannya, dan bagaimana pula perasaan lelaki itu ketika melafazkannya. Betapa mudah semuanya berubah. Dia tidak melihat isyarat merah sehinggalah ia sudah terlalu hampir. Literal.

Hasnah menekan pedal brek kuat-kuat, tayar proton saganya berhenti berpusing, tetapi kerana basah jalan menjahanamkan daya geseran, ia tetap sahaja melunjur, lalu bertembung sebuah Hilux yang sedang melintas. Hasnah merasai impak stereng tanpa beg udara pada mukanya, seperti tengkoraknya pecah, mulutnya, giginya, hidungnya, dahinya, merasai kesakitan yang maha bangsat.

Awan gelap mulai sirna, dan matahari yang tadi dilindung, muncul perlahan, dan mendung pun diganti dengan sinar keemasan, dan bumi, jalan tar, kenderaan, tiang lampu, pepohon, rumput, pemandu motorsikal dan burung gagak yang basah disimbah hujan tadi, kini dilimpah cahaya kekuningan, cukup indah, seperti mikrobutiran emas telah jatuh dari langit. Hasnah merasai kesakitan pada seluruh anggota badan, organ-organnya. Darah merata-rata. Dalam kabur-kabur Hasnah melihat seseorang menghampiri tingkap keretanya yang meretak. Dalam gambaran yang memecah kerana retakan itu, dan samar-samar dia melihat lelaki itu datang.

“Abang?”

“Akak tak apa-apa?”

“Kenapa abang tinggalkan Hasnah? Hasnah rasa macam nak mati.”

“Mengucap kak, mengucap,” lelaki itu telah membuka pintu.

Hasnah dapat lihat kini wajahnya bukanlah lelaki yang difikirkan. Perasaan malu datang. Hasnah mahu memalingkan wajahnya, tetapi parah pada anggota kepalanya tidak member izin. “Dalam waktu begini pun, engkau tetap tidak datang,” fikir Hasnah dan menghembus keluhan.

Thursday, June 17, 2010

melayu

Terdapat beberapa maksud yang diberikan terhadap perkataan Malay dalam laman web urban dictionary di sini http://www.urbandictionary.com/define.php?term=malay

walaupun ini bukan contoh yang terbaik berdasarkan konsep asas urban dictionary itu adalah kamus, tetapi inilah salah satu maksud Malay yang diberikan.

I’m not malay. But been living with them almost whole my life. I first realised that malay are rediculous when I entered UiTM in West M’sia. My perception toward them changed. I aggree that they’re lazy in so many things & talk big but do less. I always feel frustrated when dealing with them either in government or private sector & most of the time I end up push them or scold them. If government dont have a policy to help them, i think they’re end up jobless. Malays are too emotional than rationale in handling issues.

from my personal experiences!! malays are too dependant on our stupid REALLY REALLY STUPID RACIST government.


Selain itu, maksud-maksud yang lain juga menjurus kepada perkara-perkara yang sama, iaitu melayu malas dan terlalu bergantung pada status bumiputra dan bantuan kerajaan, berfikiran sempit, tidak rasional, bodoh dan lembab pemikirannya.

Secara umumnya, mungkin apa yang telah ditulis di dalam urban dictionary dalam mendefinasikan Malay itu bersifat rasis, atau pandangan yang kurang matang, (contohnya menuduh melayu emosional, padahal diri sendiri menulis secara emosional-from my personal experiences!! malays are too dependant on our stupid REALLY REALLY STUPID RACIST government) tetapi itulah pandangan yang saya percaya dimiliki oleh ramai rakan-rakan bukan Melayu di Malaysia. Mungkin majoriti bukan Melayu mempunyai pandangan sama seperti maksud-maksud yang telahpun di tulis di dalam laman web tersebut.

Dan kita sebagai Melayu mungkin akan merasa marah dan kecil hati terhadap apa yang telah ditulis, mungkin kita akan menjadi benci kepada kaum lain, mungkin kita jadi bertambah curiga, mungkin kita mahu melibas kepala mereka dengan parang panjang, atau menikam perut mereka dengan keris;

tetapi sekiranya kita menerima pandangan ini secara terbuka dan berlapang dada, saya kira ia lebih mudah, dan lebih baik pula, kerana kita akan berusaha menjadi lebih rajin, lebih bijak dan terbuka. Kalau memang kita telah sedia rajin dan bijak, menerima pandangan sebegini, menambahkan lagi kerajinan dan kebijaksanaan kita. Dan hasilnya tentu sahaja lebih baik. Tentu sahaja lebih baik berbanding melolong-lolong seperti anjing.

Maka apabila saya melihat kemunculan kumpulan-kumpulan pejuang melayu seperti PERKASA BANGKIT, GERTAK, Pro-WARIS dan sebagainya yang katanya memperjuangkan hak-hak melayu, saya sangat-sangat menunggu kemunculan kumpulan melayu yang memperjuangkan penghapusan hak-hak melayu. Mungkin Persatuan Melayu Menentang Status Bumiputra, atau singkatannya, PEMALAS.

Oh Ya, kerana membaca maksud di Urban Dictionary, saya cuba untuk menjadi lebih rajin lagi. :)