Tuesday, September 16, 2008

Selamat Hari Malaysia!!

Semua orang berbeza, dan semua orang sama. Cuma kita selalu memikir perbezaan terlalu dalam supaya kita ini istimewa kerana tidak sama dengan orang lain. Kita cuma dapat menerima perbezaan sekiranya ia tidak berkonflik dengan keinginan-kepentingan kita sendiri. Sebenarnya isu apa yang paling asas ialah kepentingan diri sendiri.
Keinginan / kepercayaan kita mustahil akan selalu harmoni dengan keinginan / kepercayaan orang lain. Itu fakta. Kemudiannya bagaimana kita mempertahankan keinginan kita itu, itulah yang menentukan segala-galanya. Disitulah berlakunya toleransi, tolak ansur dan penyerahan, dan disitu juga berlakunya pandang rendah, kebencian, dan pergaduhan.
Sebaiknya, penyelesaian paling tepat ialah menang-menang. Itu yang mungkin berlaku dalam membentuk kemerdekaan kita. Cuma apabila generasi, sosio-ekonomi dan persekitaran berubah, situasi menang-menang itupun berubah penafsirannya. Melaksanakan dan mengekalkan situasi menang-menang itu bukanlah perkara mudah. Kita mencuba-mencuba-mencuba, seharusnya atas dasar bahawa tidak ada satu pihak pun yang sempurna. Duduklah dalam satu bulatan, buang jauh-jauh cauvinis, dan dengar tanpa prejudis. Apabila kita dengar dengan peka, kita akan faham.
Atau kita memilih menang-kalah. Yang kita fikir jawapan paling mudah, menentukan, dan muktamad. Dan duduklah di dalam dewan atau parlimen seperti monyet-monyet. Yang menjerit-jerit dan tidak pernah mendengar. Yang hanya mahu melihat orang lain kalah dan pergi mampus.

Sunday, September 14, 2008

Tribute kepada Tiga Tahun Lapan Bulan; Saleh Daud dan kepada sifat-sifat perkauman kita. (Ia dua perkara yang berbeza ya)

Mat Tonggek berlari di denai kebun getah yang penuh belukar. Dia terdengar bahawa askar Jepun telah sampai di Kampung Mengkudu. Orang Jepun itu macam mana?-fikirnya. Dia dengar seperti orang Cina. Tetapi pendek-pendek. Macam babi?-fikirnya. Dia kenal beberapa orang Cina, tapi dia tidak pernah kenal orang Jepun. Tapi orang Cina dia cuma kenal sahaja, seperti Ah Kong, yang berkedai di pekan. Dan anak perempuannya. Walaupun dia berahi dengan anak perempuan Ah Kong yang putih licin itu, tapi dia cuma kenal sahaja. Tidak lebih. Tidak pernah pun dia cuba tegur. Tidak pernah pun dia cuba bercakap-cakap. Walaupun dia berahi. Lagipun Ah Kong menjual arak. Mat Tonggek tidak minum arak walaupun ada ramai orang Melayu yang mabuk. Mat Tonggek bukan Mat Tunggang-fikirnya sambil ketawa dalam hati.

Mat Tonggek berlari di celah-celah belukar. Oksigen keluar masuk melalui hidung dan mulutnya, laju-laju. Ada bunyi dengus yang berirama. Silara pokok-pokok getah yang bersambung-sambung jadikan suasana mendung, walaupun sebenarnya cuaca tengah hari cerah. Orang yang menoreh mungkin baharu balik. Mat Tonggek rasa penat sangat berlari, tetapi keinginannya untuk melihat orang Jepun membuak-buak. Seperti berahinya mahu melihat anak perempuan Ah Kong yang putih dan sepet matanya. Mat Tonggek terasa ketuanannya mengeras.